Ekspo Konvokesyen 2004 Dan Hari Terbuka Ke-33 Universiti Sains Malaysia (ConvEx ‘04) merupakan satu aktiviti tahunan yang secara tradisinya diadakan bersempena dengan majlis konvokesyen pada setiap tahun. Aktiviti ini diadakan bagi menyambut dan meraikan para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka di Universiti Sains Malaysia. Oleh yang demikian, pihak Jawatankuasa Pelaksana Ekspo Konvokesyen  Universiti Sains Malaysia sidang 2004/2005 secara sukarela menerima mandat ini bagi meneruskan tradisi yang telah lama bertapak di bumi Universiti Sains Malaysia ini. “ConvEx Pemacu Ke Arah Keintelektualan” menjadi tema Ekspo Konvokesyen 2004 Dan Hari Terbuka Ke-33 Universiti Sains Malaysia (ConvEx ‘04) atas kesepakatan semua Ahli Jawatankuasa Pelaksana.

Pelbagai aktiviti yang menjurus kepada keintelektualan dan kesejahteraan telah dirancang dan diatur dengan teliti. Pihak penganjur juga mengatur beberapa aktiviti yang juga mengenengahkan hasil kreativiti dan inovasi warga kampus khasnya dan masyarakat luar amnya di samping menerapkan nilai-nilai mencintai budaya, alam sekitar dan perpaduan dalam masyarakat. Semua aktiviti yang diatur adalah melibatkan semua lapisan masyarakat di samping menampilkan imej Universiti Sains Malaysia sebagai pusat penyelidikan dan keintelektualan yang terulung di Malaysia dan di dunia.