Dokumen: DTMK-01-03-01

 

Garis Panduan Am Penggunaan Yang Dibenarkan

 

1.1        Tujuan Garis Panduan

 

Garis panduan ini menerangkan secara umum dasar dan peraturan penggunaan sumber-sumber Teknologi Maklumat (TM) dan Komunikasi Elektronik (KE) yang terdapat di Universiti Sains Malaysia (USM) dan boleh di terima pakai sebagai Garis Panduan Am untuk dokumen DTMK-01-03-00.

 

Mana-mana dasar dan garis panduan terperinci untuk setiap sumber tersenarai adalah mengatasi Garis Panduan Am.

 

 

1.2        Skop Garis Panduan

 

            1.2.1     Sumber

 

Sumber-sumber yang tersenarai didalam dokumen, juga sumber-sumber yang tidak tersenarai tetapi dianggap sebagai sumber TM dan KE oleh Majlis Teknologi Maklumat USM (MTM) adalah juga tertakluk kepada garis panduan ini.

 

            1.2.2     Pengguna

 

Semua pengguna adalah tertakluk kepada garis panduan ini. Sesiapa yang tidak diberi kebenaran adalah dianggap sebagai penceroboh, dan boleh diambil tindakan yang sesuai mengikut kesalahan yang dilakukan, sebagaimana tersebut didalam Dasar Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Elektronik, USM.

 

 

1.3        Peraturan Am

 

Semua kemudahan dan peralatan TM dan KE yang disediakan oleh USM adalah hak USM.

 

Pengguna berdaftar diberikan keistimewaan untuk menggunakan kemudahan dan USM berhak menarik balik kemudahan yang diberikan pada bila-bila masa.

 

Kemudahan dan peralatan TM dan KE yang disediakan oleh USM hanya boleh digunakan untuk tujuan yang berkaitan dengan fungsi USM. Penggunaan selain daripada yang berkaitan dengan fungsi universiti adalah tidak dibenarkan, seperti untuk tujuan komersial dan kepentingan politik.

 

Penggunaan untuk tujuan peribadi yang berpatutan dibenarkan sekiranya ia tidak melibatkan peningkatan kos dan penggunaan sumber universiti yang ketara, sehingga menghalang peluang pengguna lain untuk menjalankan fungsi utama universiti.

 

Pengguna yang menggunakan peralatan TM dan KE  peribadi didalam kampus USM juga tertakluk kepada dasar dan peraturan ini.

 

Sebarang penggunaan adalah tertakluk kepada undang-undang / peraturan USM, negeri dan negara. Universiti tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang penyalahgunaan yang dilakukan oleh pengguna.

 

Setiap pengguna semestinya mematuhi dasar dan peraturan yang ditetapkan. Disamping itu, setiap pengguna disaran supaya menjadi pengguna beretika dan menghormati pengguna lain.