PENGUMUMAN : Yuran Penyertaan Seminar bagi pembentang dan peserta organisasi/syarikat/institusi dikurangkan dari RM400 kepada RM300, dan yuran bagi pelajar dan orang awam dikurangkan dari RM150 kepada RM100, Harap maklum.

MUKADIMAH

Dalam era yang sangat dinamik ini, segalanya bergerak dengan pantas dan perubahan hidup berlaku tanpa henti. Sesuatu yang mungkin tidak mampu dibayangkan seabad lalu, telah wujud dan sedang berlaku di hadapan kita. Dinamisme yang menjadi ciri kehidupan moden ini berlaku dalam semua bidang kehidupan baik dalam bidang sains, teknologi, politik, ekonomi, sosial, keilmuan, alam sekitar dan sebagainya.

Selain kadar perubahan yang pantas, pada era ini kita juga menyaksikan liputan dinamisme dan perubahan itu berlaku secara sangat meluas dan global. Sesuatu yang berlaku di satu penjuru alam dengan mudahnya akan turut dirasai di penjuru alam yang lain. Perubahan-perubahan yang dimaksudkan di sini bukan sahaja perubahan ilmu dan kemanusiaan, tetapi juga meliputi perubahan alam. Hal ini kerana kedua-duanya saling berkaitan. Usaha menerokai alam untuk pembangunan ilmu dan kebendaan sering pula dikaitkan dengan kesan negatif kepada alam.

Realiti ini menjadi cabaran kepada para sarjana dan pemikir Islam khususnya dan umat Islam umumnya pada abad ini untuk memastikan bahawa fiqh dan pemikiran Islam yang tepat terus diterima dan dihayati oleh masyarakat. Ini kerana sering timbul keraguan dalam kalangan masyarakat, termasuk masyarakat Islam sendiri mengenai kemampuan fiqh dan pemikiran Islam dalam menangani pelbagai persoalan yang lahir dalam era yang penuh dinamik dan global ini. Tambahan pula fiqh dan pemikiran Islam mempunyai silsilah dan berkesinambungan daripada hasil ijtihad dan pemikiran sarjana Islam silam yang lebih tertumpu kepada lingkungan suasana kehidupan di Timur Tengah yang berbeza dari realiti di tempat-tempat lain. Selain itu, timbul persoalan mengenai kewujudan prinsip, kaedah, pendekatan, pandangan mahupun pemikiran sarjana Islam silam dan kontemporari yang boleh dikaitkan dengan konsep pembangunan yang lestari dan holistik. Berdasarkan senario di atas, maka Bahagian Pengajian Islam mengambil inisiatif untuk menganjurkan Seminar Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari dengan menjadikan kesejahteraan sejagat sebagai tema utama.

OBJEKTIF

Penganjuran seminar ini pada asasnya mempunyai dua matlamat utama, iatu:

•  mendedahkan ciri-ciri fiqh dan pemikiran Islam yang mengambil kira kebahagiaan di dunia dan di akhirat, iaitu untuk kepentingan jangka pendek dan panjang, selain mengutamakan kepentingan individu dan masyarakat serta sebagai rahmat kepada manusia dan alam sejagat.

•  menerokai dan mengenalpasti dalil-dalil, prinsip, kaedah, hukum-hakam, pandangan dan pemikiran yang bersifat lestari dalam khazanah fiqh dan pemikiran Islam silam dan kontemporari. Ia seterusnya dapat menilai kelangsungan dan kesesuaian pemakaiannya dalam konteks pembangunan kehidupan umat Islam kontemporari dalam segenap aspek hidup meliputi kerohanian, kebendaan, kemanusiaan, keilmuan, sosiopolitik, ekonomi, alam sekitar, sains, teknologi dan sebagainya.

SUBTEMA SEMINAR

Subtema seminar ini akan merangkumi pelbagai bidang ilmu, iaitu:

•  Konsep fiqh dan pemikiran Islam lestari.

•  Kelestarian fiqh dan pemikiran Islam sama ada dalam politik, ekonomi, sosial, sains, teknologi dan alam sekitar.

•  Prinsip dan kaedah dalam fiqh dan pemikiran Islam untuk pembangunan lestari.

•  Cabaran fiqh dan pemikiran Islam semasa.

ANJURAN

Seminar ini dianjurkan bersama oleh Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Lestari dan Korporat, USM.

PEMBENTANG DAN PESERTA

Sebanyak 30 kertas kerja dijangka dibentangkan oleh ahli akademik dan pakar dalam berbagai-bagai bidang ilmu. Seramai 200 orang peserta pula dijangka hadir yang terdiri daripada ahli akademik, pelajar ijazah tinggi, pegawai-pegawai kerajaan, wakil NGO serta orang awam.