PERATURAN KESELAMATAN PENGGUNAAN SIANIDA

 

 

 1.    Takrifan

 

Sianida ditakrifkan sebagai hidrogen sianida (HCN) secara khususnya dan sebatian-sebatian berkaitan [contoh; KCN/NaCN, sianogen (cyanogen) dan sianogen halida]  yang mungkin menghasilkan ion sianida atau sianogen atau menghasilkan HCN apabila berasid

 

2.     Sumber dan Pengunaan Sianida

 

Garam sianida (natrium atau kalium sianida)

 

Biasanya digunakan untuk proses elektrosaduran,  pengekstrakan emas dan perak daripada bijih, pembersihan logam dan pembuatan pewarna, pigmen, perantaraan nilon dan agen pengkelatan.Apabila tersentuh air atau asid, sebatian-sebatian ini  akan menghasilkan gas hidrogen sianida.

 

Sianida terhalogenat (kloro-, bromo- dan iodosianida).

 

Apabila tersentuh air, sebatian-sebatian ini akan menghasilkan asid sianik dan apabila tersentuh asid, akan menghasilkan gas hidrogen sianida.

 

Nitril (merupakan terbitan-siano sebatian-sebatian organik).

 

Asetonitril (MeCN), biasanya digunakan sebagai pelarut di dalam makmal. Walaupun kurang toksik (LD50=120 mg/kg) daripada hidrogen sianida (LD50=0.5 mg/kg), asetonitril boleh menghasilkan sianida takorganik melalui metabolisma. Nitril aril lebih stabil daripada nitril alifatik dari segi kestabilan terhadap metabolisma kepada sianida. Pirolisis akrilonitril (bahan mentah untuk pembuatan plastik dan gentian tiruan) akan menghasilkan hidrogen sianida.

 

Sianamida, asid sianoasetik, ferisianida dan ferosianida kurang toksik (LD50=1000-2000 mg/kg) tetapi boleh menghasilkan sianida apabila tercampur dengan alkohol.

 

Bahan-bahan semula jadi seperti sutera, wul dan tembakau serta bahan tiruan seperti poliuretana dan poliakrilonitril juga menghasilkan sianida apabila dibakar.

 

3.     Keracunan dan Pendedahan Sianida

 

Garam sianida (natrium atau kalium sianida) adalah sangat toksik. Ia boleh diserap melalui kulit, dan apabila bertindak balas dengan air atau asid, sebatian-sebatian ini menghasilkan gas hidrogen sianida yang boleh dihidu, dan ini merupakan jalan dedahan kepada sianida yang paling biasa.

 

Penghiduan sebanyak 50 ml (1.85 mmol/l) hidrogen sianida atau penelanan sekurang-kurangnya 250 mg garam sianida takorganik boleh menyebabkan maut dalam masa beberapa minit. Dianggarkan bahawa dedahan kepada 270 ppm hidrogen sianida boleh membunuh dalam masa lebih kurang 6 minit. Jika terdedah pada 18 ppm selama beberapa jam, seseorang akan terasa pening, letih dan meloya.

 

NIOSH-USA telah menetapkan had dedahan tersyorkan (REL) sebanyak 4.7 ppm atau 5 mg sianida per meter kiub udara (5 mg/m3 ).

 

OSHA-USA pula telah menetapkan had dedahan terbenarkan (PEL) untuk hidrogen sianida sebanyak 10 ppm (11 mg/m3 ) di dalam ruang kerja semasa 8-jam kerja.

 

Manakala  American Conference of Governmental Industrial Hygienists telah memberikan hidrogen sianida suatu nilai had siling sebanyak 4.7 ppm  (5 mg/m3 ) di dalam ruang kerja dan nilai ini tidak seharusnya dilebihi.

 

Di Malaysia, Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan) 2000 telah menetapkan had dedahan terbenarkan (PEL) untuk hidrogen sianida sebanyak 4.7 ppm (5 mg/m3 ) dan had siling kepekatan (dalam bentuk zarah) dalam udara sebanyak 5 mg/m3 bagi Ca(CN)2, KCN dan NaCN.

 

Dedahan kepada sianida boleh berlaku melalui penyedutan, penelanan, sentuhan pada mata atau kulit, dan penyerapan melalui kulit, mata dan membran bermukus. Dedahan melalui penyerapan kulit kerap berlaku akibat zarah atau larutan sianida yang terpercik ke atas kulit atau ke dalam mata. Bahaya ini lebih ketara jika sarung tangan atau goggle keselamatan tidak digunakan. Manakala dedahan secara penghiduan berkemungkinan besar berlaku apabila larutan yang mengandungi sianida dineutralkan atau diasidkan, dan ini menghasilkan gas hidrogen sianida (HCN).  Di samping itu, dedahan secara penghiduan juga boleh berlaku  apabila sianida yang didedahkan di udara bertindak balas dengan lembapan udara yang akan membebaskan gas HCN.

 

4.     Pengesanan dan Tanda Keracunan Sianida

 

Hidrogen sianida merupakan gas tak berwarna yang mempunyai bau ‘pahit’ badam (kepekatan 0.58 ppm dalam udara sudah cukup untuk gas ini dicamkan), tetapi tidak semua orang boleh mengesan bau ini.

 

Natrium dan kalium sianida pula ialah pepejal tak berwarna yang mempunyai bau ‘pahit’ badam apabila terdedah pada udara lembab.

 

Simptom awal selepas sahaja tertelan sianida ialah rengsangan pada lidah dan membran mukus, manakala simptom awal penghiduan hidrogen sianida ialah pening kepala, perasaan gelisah, ‘vertigo’, keletihan dan kekeliruan.

 

Paras kedua keracunan sianida akan menunjukkan kesan kesedaran yang terganggu (“impaired consciousness”), koma dan geleparan (“convulsions”). Kulit akan terasa sejuk, lembab dan berlengas. Denyutan nadi akan menjadi lemah dan lebih pantas.

 

Kesan seterusnya keracunan sianida ialah hipotensi, aritmia kompleks, keruntuhan sistem kardiovaskular, odema pulmonari dan akhirnya kematian.

 

5.     Peraturan Keselamatan Penggunaan Sianida                     

 

            5.1     Kebenaran Menggunakan Sianida

 

(i)    Semua penggunaan  sianida hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Jabatan  masing-masing. Salinan  kebenaran bertulis tersebut hendaklah dikemukakan kepada Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kampus masing-masing beserta dengan maklumat-maklumat berikut;

 

(a)          Nama Pengguna

(b)          Nama Penyelia

(c)          Kuantiti Maksimum Sianida yang disimpan/digunakan

(d)          Lokasi Penyimpanan &  Penggunaan

(e)          Tujuan Penggunaan

 

            5.2       Penyimpanan

 

(i)       Kuantiti sianida yang  disimpan/distok hendaklah pada tahap yang minimum, dan semua bekas sianida mestilah dilabel dengan jelas sebagai bahan toksik.

 

(ii)      Semua stok sianida (terutamanya KCN/NaCN) tidak dibenarkan sama sekali disimpan di kawasan atau di atas rak/meja terbuka. Sebaliknya hendaklah disimpan di dalam almari/peti berkunci dan  sentiasa dikunci. Anak kunci almari/peti tersebut hendaklah disimpan oleh seseorang yang dipertanggungjawabkan oleh Ketua Jabatan masing-masing dan yang sedia mengetahui langkah-langkah keselamatan dalam penanganan sianida. Akses kepada anak kunci kabinet ini mesti dihadkan kepada individu yang dipertanggungjawabkan  sahaja. 

 

(iii)     Inventori stok sianida hendaklah disediakan dan diselenggarakan.  Rekod-rekod berkenaan penggunaan sianida tersebut hendaklah   dikemaskinikan pada setiap kali berlaku penambahan dan pengurangan.

 

(iv)       Jangan sama sekali mengeluarkan stok simpanan melebihi daripada yang diperlukan. Habiskan stok yang sedia ada sebelum stok yang baru dikeluarkan/dibuka.

 

(v)        Sianida yang disimpan hendaklah sama sekali tidak disimpan bersama-sama dengan bahan-bahan yang tidak serasi dengannya, terutamanya asid-asid mineral.

 

(vi)      Penyimpanan cecair HCN di dalam kawasan makmal tidak dibenarkan sama sekali, kecuali di dalam selinder penyimpanan komersial yang selamat.  Sekiranya penyimpanan selain itu diperlukan, maka hendaklah disimpan di dalam kebuk wasap yang mempunyai edaran udara yang mencukupi [Sila rujuk perkara 5.3 (ii)] atau di kawasan-kawasan yang dipasangkan dengan sistem/kebuk  ekzos setempat (local exhaust hood)  yang berasingan.

 

5.3       Pengendalian

 

(i)        Eksperimen-eksperimen  yang melibatkan sianida mestilah dijalankan oleh sekurang-kurangnya dua orang, dan mereka ini mestilah cekap dengan kaedah rawatan kecemasan untuk keracunan sianida serta cara menangani tumpahan sianida. Sarung tangan (PVC, nitril atau neopren) dan goggle keselamatan mestilah digunakan sepanjang masa.

 

(ii)        Semua kerja atau eksperimen hendaklah dijalankan di dalam kebuk wasap yang dikhususkan untuk sianida sahaja dan mempunyai halaju  udara  yang tidak kurang daripada 100 kaki/minit atau 0.75 meter/saat. Sila rujuk Panduan Keselamatan Kebuk Wasap yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti.

 

(iii)     Label  amaran seperti LAMPIRAN A hendaklah ditampal di setiap pintu makmal/bilik/kawasan kerja yang menggunakan sianida. Pintu-pintu kebuk wasap juga hendaklah ditampal dengan label amaran seperti yang dilampirkan pada LAMPIRAN B.

 

(iv)       Mereka yang tidak diberikan kuasa (unauthorized person) atau yang tidak berkenaan tidak dibenarkan memasuki atau berada  di dalam bilik/makmal/kawasan yang dilabelkan sebagai makmal penggunaan sianida.

 

(v)       Makmal atau kawasan penggunaan sianida hendaklah  dilengkapi dengan penyiram kecemasan (emergency shower) dan peralatan-peralatan pencegahan kebakaran yang mencukupi. Pastikan alat pemadam api mudah alih adalah daripada jenis serbuk kering ABC dan bukannya jenis CO2.

 

(vi)      Sianida  hendaklah sama sekali tidak ditempatkan bersama-sama atau dibawa bersama-sama dengan sebarang asid. Bekas yang mengandungi asid atau sisa berasid tidak dibenarkan diletakkan di dalam kebuk wasap penggunaan sianida.

 

 (vii)     Elakkan sebarang sentuhan  kulit atau mata dengan pepejal, larutan dan cecair sianida. Pakaian keselamatan yang bersesuaian hendaklah digunakan sepanjang masa pengendalian sianida tersebut, terutamanya sarung tangan (neoprene, getah/PVC atau nitril)  dan goggle.

 

(viii)     Sekiranya eksperimen yang melibatkan sianida perlu dijalankan di luar kawasan makmal atau kawasan kawalan, eksperimen tersebut hendaklah samasekali tidak  ditinggalkan tanpa pengawasan dan sekurang-kurangnya 2  orang mesti sentiasa  berada di kawasan eksperimen tersebut.

            

(ix)       Semua bekas yang mengandungi sianida hendaklah sentiasa ditutup rapat. Bekas-bekas yang mengandungi sianida, terutamanya cecair hendaklah diletakkan di atas dulang atau bekas berlapis dua  untuk membendung sebarang tumpahan. Semua bekas sianida tersebut hendaklah dilabel dengan betul dan terang.

 

(x)       Untuk membendung tumpahan yang mungkin berlaku, suatu talam boleh diletakkan di dalam kawasan kerja kebuk wasap. Suatu bekas yang mengandungi larutan tampan berpH tinggi (contohnya pH 10) seharusnya disediakan dan diletakkan di dalam kebuk wasap untuk merawat sebarang tumpahan.

 

(xi)       Suatu bekas larutan 30% natrium hipoklorit atau pelentur biasa (contohnya kloroks) dan juga botol untuk sisa sianida boleh diletakkan di dalam kebuk wasap. Semua radas yang telah tersentuh sianida mesti ditinggalkan di dalam kebuk wasap sehingga dibersihkan.

 

(xii)      Radas kaca dan permukaan yang tercemar dengan sianida bolehlah dicuci di dalam sebuah besen atau bikar yang besar dengan larutan tampan pH 10, kemudian dibilas dengan larutan natrium hipoklorit. Tambahkan lagi 30 ml larutan natrium hipoklorit dan dibiarkan terendam selama 3 jam sebelum dibilas dengan air. Air rendaman/basuhan ini (yang bersifat sedikit berbes) perlu dineutralkan dahulu dengan asid cair sebelum dilakukan pelupusan selanjutnya.

 

(xiii)     Selepas tamat eksperimen, pastikan semua sisa sianida telah dikumpulkan, radas-radas telah dibersihkan mengikut tatacara yang diberi di atas dan bekas sianida dikembalikan ke kabinet berkunci.  Botol/bekas  sisa sianida mesti dilabel dengan jelas dan diletakkan di dalam kebuk wasap yang berkenaan.

 

            5.4       Pelupusan

 

(i)        Sisa-sisa sianida hendaklah sama sekali tidak dituang ke dalam sinki atau dibiarkan meruap di dalam kebuk wasap. Sisa-sisa tersebut boleh dicairkan dengan sejumlah larutan 30% natrium hipoklorit, dan seterusnya dilakukan pelupusan dengan kaedah pengolahan dalam tapak (*) atau dikumpul untuk  dihantar ke tapak pelupusan Syarikat Kualiti Alam Sdn. Bhd selanjutnya. Sila rujuk Prosedur Pengurusan dan Pelupusan Sisa Kimia Universiti yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti.

 

*            dijalankan  oleh/atau di bawah penyeliaan ahli kimia yang terlatih dan  memahami konsep tindakbalas kimia yang terlibat.

 

6.     Kecemasan dan Rawatan Keracunan

 

6.1      Sebarang tumpahan dan pendedahan sianida hendaklah diambil tindakan  dengan serta merta.  Hubungi Pasukan Respon Kecemasan (Emergency Response Team- ERT) USM.

 

                        (i)         Kampus Induk, Pulau Pinang

                                         

Nombor telefon yang boleh dihubungi apabila berlaku kecemasan(Kampus Induk, Pulau Pinang)

Jabatan

Nombor Telefon

Waktu Pejabat

Selepas Waktu Pejabat

Jabatan Keselamatan (ERT)

2424/3423/04-657 3970

Pusat Kesihatan

3999

04-6581764 (Dr. Akhbar Ali)

Unit Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan

4073

-

           

                        (ii)        Kampus Kejuruteraan, Seri Ampangan, Pulau Pinang

 

 

Nombor telefon yang boleh dihubungi apabila berlaku kecemasan (Kampus Kejuruteraan, Seri Ampangan, Pulau Pinang)

Jabatan

Nombor Telefon

Waktu Pejabat

Selepas Waktu Pejabat

Jabatan Keselamatan (ERT)

5033

Pusat Kesihatan

5206/5207/5201

05-7171227

(Dr. Muhammad Naeem Khan)

Unit Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan

5520

-

Hospital Parit Buntar

05-7169999

 

 

           

                        (iii)       Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan

 

 

Nombor telefon yang boleh dihubungi apabila berlaku kecemasan (Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan)

Jabatan

Nombor Telefon

Waktu Pejabat

Selepas Waktu Pejabat

Jabatan Keselamatan (ERT)

4063

Jabatan Keselamatan HUSM

3117

HUSM

3217

Unit Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan

 

4679

-

 

           

6.2     Sekiranya berlaku kebocoran gas HCN atau tumpahan sianida di sesuatu kawasan, penghuni hendaklah mengosongkan kawasan tersebut dan mengambil tindakan  segera untuk membendung dan merawat tumpahan  tersebut.

 

 

(i)       Kebiasaannya, tumpahan cecair sianida yang sedikit di kawasan yang mempunyai edaran udara yang memuaskan (seperti di dalam kebuk wasap)  seboleh yang mungkin hendaklah tidak dicairkan atau diserapkan bagi mengelakkannya daripada merebak atau meruap ke kawasan yang lebih luas. Edaran udara yang memuaskan mencukupi untuk mengeringkan tumpahan sianida tersebut.

 

(ii)       Bagaimanapun, sebarang tumpahan larutan garam sianida seperti KCN/NaCN  hendaklah tidak dibiarkannya kerana tindakbalasnya dengan lembapan udara akan membebaskan gas HCN. Tumpahan tersebut hendaklah dicairkan dengan larutan natrium hipoklorit (5.25% NaOCl berat/isipadu) untuk mengoksidakan sianida (cyanide) kepada sianat (cyanate) oleh seseorang yang memakai pakaian perlindungan diri seperti respirator, sarung tangan yang sesuai dan seumpamanya. Selepas pengoksidaan tersebut, tumpahan hendaklah diserap dengan bahan penyerap yang tidak mudah terbakar dan dilupuskan mengikut kaedah Pengurusan dan Pelupusan Sisa Kimia Universiti. 

 

6.3   Sekiranya seseorang mengalami pendedahan sianida, Rawatan Kecemasan untuk Keracunan Sianida berikut hendaklah dilakukan dengan serta-merta bagi menyelamatkan mangsa.

  

PANDUAN RAWATAN KECEMASAN UNTUK KERACUNAN SIANIDA

Kepantasan memberi rawatan kecemasan adalah penting.

Hubungi  Pasukan Respons Kecemasan (ERT) USM dengan segara.

 

Jangan biarkan pesakit bersendirian.

Penghiduan

Ubahkan pesakit dari tempat kejadian ke kawasan lapang. Pesakit hendaklah direhatkan dan diselimutkan supaya panas. Berikan oksigen (+).

 

Jika pernafasan telah berhenti, mulakan teknik pemulihan pernafasan (‘artificial resuscitation’) dengan menggunakan alat pernafasan mekanikal.(*)

Sentuhan kulit

Tanggalkan semua pakaian yang tercemar. Jirus/simbah kulit yang tercemar dengan air yang banyak. Kemudian rawatkan seperti kes Penghiduan.

Sentuhan mata

Jirus/simbah mata dengan air yang banyak selama sekurang-kurangnya 15 minit. Kemudian rawatkan seperti kes Penghiduan.

Termakan

Jika pesakit sedar, kumurkan mulut dahulu, kemudian berikan buburan arang aktifan (‘activated charcoal slurry’) sebanyak 50 g dalam 300 ml air.

Kemudian rawatkan seperti kes Penghiduan.

Bawa pesakit dengan segera ke Pusat Kesihatan/Hospital.

(+) Rawatan Pengunaan Oksigen

Terdapat banyak bukti tentang keberkesanan oksigen dalam merawat mangsa keracunan sianida. Pemberian oksigen ialah rawatan awal yang paling berguna dan berkesan untuk keracunan sianida. Dicadangkan supaya di premis-premis yang sianida digunakan, oksigen perubatan (‘medical oxygen’) disediakan, bersama dengan seorang yang terlatih dalam penggunaan/rawatan oksigen perubatan dan teknik bantuan pernafasan (‘artificial respiration’).

 

                        (*)Teknik Bantuan Pernafasan (‘artificial respiration’)

 

Bantuan pernafasan secara mulut ke mulut (‘mouth to mouth resuscitation’) tidak digalakkan demi mengelakkan keracunan sekunder kepada pemberi pertolongan cemas; sebaliknya, bolehlah digunakan alat mekanikal seperti topeng dan beg yang disambungkan kepada bekalan oksigen. Perlu dipastikan alat pernafasan mekanikal yang digunakan mempunyai injap supaya udara yang dihembuskan oleh pesakit tidak dihidunya kembali.

 

7.     Penguatkuasaan

 

7.1    Setiap Ketua Jabatan bagi Jabatan masing-masing dipertanggungjawabkan bagi memastikan pemakaian dan penguatkuasaan peraturan-peraturan ini di Jabatan masing-masing dan Jawatankuasa akan menjalankan pemeriksaan dari masa ke masa bagi memastikan peraturan ini dilaksanakan.

 

7.2       Setiap Jabatan berkuasa  untuk mengubahsuai dan menambahbaikan peraturan-peraturan ini  bagi diterimapakai di Jabatan masing-masing, tetapi hendaklah sama sekali tidak mengurangkan kandungan-kandungan peraturan ini tanpa kebenaran Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti.

 

Lampiran A

Lampiran B

biblografi

 

 

Tarikh Kelulusan : 2 Januari 2003  (Mesyuarat  ke-17,  JKKPU)

 

 

Hakcipta Terpelihara ©  JKKPU, USM, 2004