Ezra Pound, pada tahun 1937 menghurai dalam puisi tentang riba dalam 
          Cantos beliau. Katanya Usura Contra Naturam atau riba itu bertentangan 
          dengan fitrah. Beliau mementingkan wang dari logam yang tidak boleh 
          'beranak pinak' (faedah riba) kerana tidak boleh dicetak sewenang-wenangnya 
          (Metal is not reproduceable). 
        Kritikan seperti dari Ezra Pound dan Goethe tenggelam dalam sifat tamak 
          dan rakus manusia dan akhirnya kertas itu kini mengambil peranan penting 
          sehinggakan boleh disewa dan dijual beli. Juenger seorang ahli falsafah 
          Jerman pula dalam tahun 1949 telah menulis tentang kemusnahan wang apabila 
          emas dan perak tidak digunakan lagi sebagai wang. (Lihat The Destruction 
          of Money dalam The Failure of Technology oleh Juenger). 
        Richard Wagner pula melalui operanya Der Ring Des Nibelungen-Das Rheingold 
          telah memerihalkan tentang kuasa yang disebabkan oleh penyimpanan emas 
          di gua yang terkawal (Fort Knox?) dan melalui rantaian riba (Ian Dallas 
          1990). 
        Sekarang sistem kertas itu juga membolehkan hasil negeri kita diuftikan 
          secara tidak langsung kerana wang kertas boleh disusut nilai sewenang-wenangnya. 
          Malahan nasib pemimpin pun bergantung pada kertas yang boleh diberi 
          indeks bandingan dengan wang kertas cetakan Amerika Syarikat. Yang menghairankan 
          ialah kita boleh menerima 1000 keping syiling 1 sen Amerika Syarikat 
          untuk ditukarkan dengan hampir 4000 keping syiling 1 sen Malaysia. Adakah 
          syiling mereka dibuat daripada emas atau ketumpatan logam syiling Amerika 
          Syarikat sangat tinggi? Jika tidak apakah yang menyebabkan syiling Amerika 
          Syarikat lebih berat walau pun bilangannya sedikit? Kenapa kita menerima 
          berat bayangan dan khayalan ini ? 
        Wang kertas memang sudah jelas merupakan suatu sistem wang paksaan. 
          Nilainya sekarang bukan sahaja boleh dipaksa tetapi mempunyai nilai 
          spekulasi dan manipulasi. Nilai wang emas dan perak tidak boleh dipaksa 
          kerana nilainya hanya menurut berat. 
        Wang Emas 
        Imam Malik radiallahu'anhu telah menjelaskan kepada kita bahawa wang 
          ialah apa-apa barangan yang lazimnya diterima pakai sebagai bahan tukaran. 
          Menurut sejarah Islam, tiada barangan yang boleh dipaksa menjadi wang 
          kerana manusia bebas menggunakan apa sahaja barangan sebagai tukaran. 
          Wang kertas seperti dolar Amerika Syarikat tidak ada sifat 'ayn (barangan 
          lazim yang ketara) malahan nilainya dipaksa oleh kuasa pasaran. Jika 
          kertas dianggap sebagai barangan pun nilainya hanyalah mengikut berat 
          kertas dan bukan menurut nilai nombor yang tertera di atasnya. 
        Wang kertas mungkin hanya boleh dianggap sebagai 'dayn' kerana ianya 
          bukan barangan ketara atau sebagai resit hutang untuk pemilikan emas 
          atau perak (itu pun jika ada sandaran antara kertas dengan emas). Tetapi 
          hukum Islam tidak membenarkan hutang dijadikan suatu bahan tukaran. 
          Penggunaannya pun mestilah terhad sebagai kontrak peribadi. Di dalam 
          Kitab Al-Muwatta (31.19.44) ada diriwayatkan tentang resit-resit yang 
          dijual beli di Pasar Al-Jar sebelum barangan sampai. Marwan ibn al-Hakam 
          telah menghantar pengawalnya untuk mengambil semula resit tadi dan mengembalikan 
          kepada tuan asalnya. 
        Sejarah Islam telah menunjukkan kepada kita bahawa wang emas (Dinar) 
          dan wang perak (Dirham) telah digunakan sehinggalah berakhirnya Kerajaan 
          Islam Turki. Piawaian menurut berat yang dikenali sebagai Piawaian Khalifah 
          Umar Al-Khattab radiallahu'anhu menentukan iaitu 10 dirham bersamaan 
          dengan 7 dinar. Setiap Dinar mestilah ada 4.25 gram emas dan setiap 
          Dirham ada 3 gram perak. Dinar dan Dirham telah digunakan untuk urusan 
          perniagaan, menabung dan juga untuk membayar zakat (Umar Vadillo 1996). 
        
        Umar Vadillo juga menyatakan dalam buku yang sama bahawa Shaykh Muhammad 
          'Illish (1802-1881), seorang pakar pengajian fikah di Universiti Al-Azhar 
          telah menyebut di dalam fatwa beliau bahawa wang kertas tidak dizakatkan 
          sebagaimana wang emas dan wang perak kerana ia dianggap sebagai fulus 
          (wang syiling tembaga) atau loose change. Ia hanya mewakili wang dan 
          tiada nilai barangan. (Lihat fatwa beliau dalam terjemahan Al-Fath Al-'Ali 
          Al- Maliki ms 164-165). 
        Wang kertas bukan barangan. Jika hendak dizakat pun mestilah diukur 
          menurut berat bukan menurut nilai tertulis yang boleh pula berubah nilai 
          tukarannya dengan wang kertas lain. 
        Dalam Islam mata wang sememangnya berkait rapat dengan kerajaan. Kajian 
          Umar Vadillo juga menunjukkan bahawa Al-Qurtubi dalam Tafsir beliau 
          telah memberi tafsiran tentang ayat al-Quran yang bermaksud: 
        "Wahai orang yang beriman! Patuhlah kepada Allah dan patuhlah kepada 
          Pesuruh Allah dan mereka yang memerintah kamu....." (ayat 59 dari 
          surah An-Nisa) 
        Ayat tersebut merupakan satu perintah supaya umat Islam taat kepada 
          pemerintah dalam 7 perkara. Hal pertamanya ialah penempaan Dinar dan 
          Dirham dan yang lainnya ialah menetapkan berat dan ukuran, keputusan 
          mahkamah, haji, Jumu'ah, Hari Raya (Puasa dan Korban) dan Jihad. 
        Wang sejati yang bebas dari spekulasi menandakan bahawa kerajaan juga 
          merdeka dan bebas dari spekulasi. Tiada kemerdekaan tulen selagi tiada 
          mata wang tulen. Tidak hairanlah Al-Qurtubi meletakkan perkara Dinar 
          dan Dirham sebagai perkara utama tentang patuh dan taat kepada pemerintah. 
        
        Umpan Faedah 
        Syakh Muhammad Abduh (1845-1905) menfatwakan halalnya faedah dari wang 
          simpananan pos (Syakh Abdalqadir as-Sufi 1996). Kemudian muridnya Rashid 
          Redha telah meneruskan tesis tersebut seperti tulisan-tulisannya dalam 
          Al-Manar jilid VII ms 28. Abduh bermula dengan menghalalkan (islamisasi?) 
          faedah wang simpanan pos dan lanjutan dari itu sekarang ramai pula beranggapan 
          islamisasi bank dan bursa saham sudah memadai dalam menghadapi riba. 
        
        Tulisan ini ingin juga menghuraikan tentang 'pengaruh kefahaman' tentang 
          riba yang bermula dari Abduh menghalalkan faedah dan seterusnya di era 
          ini segolongan para korporat baru Islam merasa sudah cukup dengan melabelkan 
          bank dengan nama yang bermoral. Bursa-bursa Islam pun timbul beserta 
          dengan penggunaan instrumen kewangan lain tanpa menyedari hakikat wang 
          dan sistemnya. Dr Mahathir sendiri pernah memberi komen bahawa bursa-bursa 
          saham pun sudah mula menampakkan tabiat judi. (Utusan Malaysia 1998c) 
        
        Persoalan pokok bukannya tentang faedah. Persoalan faedah hanyalah 
          suatu decoy atau umpan untuk memerangkap kita dari zaman Abduh hingga 
          sekarang. Wang simpanan kita mungkin berbunga (atau untung?) sehingga 
          100 peratus tetapi sebenarnya faedah atau bunga itu tidak berfaedah 
          langsung jika wang boleh disusut nilai oleh ahli riba. Di negara jiran, 
          wang disusut nilai sehingga lebih dari 600 peratus lalu memiskinkan 
          rakyat. (Utusan Malaysia 1998c- Rupiah bermula dengan 2 500 setiap dolar 
          dan menjadi 16 000 setiap dolar selepas menerima bantuan IMF). 
        Jadi wang itu sendiri tiada nilai hakiki. Jelasnya umpan faedah tadi 
          menyebabkan kita akan terus berdebat tentang faedah dan tidak akan mempertikaikan 
          tentang sistem wang yang sudah tiada sandaran emas lagi. 
        Pengaruh kefahaman tentang riba berkaitan dengan faedah sahaja sememangnya 
          menular hingga sekarang. Jika begini tesis Abduh perlu dinilai semula 
          kerana fatwa beliau tidak melepaskan kita dari dipermainkan oleh para 
          spekulator yang boleh bermain dengan kadar faedah untuk faedah mereka. 
          Dalam pada itu mata wang pula boleh dijual beli. 
        Pengaruh perbicaraan tentang faedah tadi menyebabkan kita tidak boleh 
          balik ke akar umbi mengenai wang dalam Islam. Dari zaman Syakh Abduh 
          sehinggalah ke zaman Syakh Tantawi perkara ini masih berlarutan. Ramai 
          orang terperangkap dengan pengaruh kefahaman tentang riba yang hanya 
          memperkatakan tentang faedah sahaja. Jika tidak ambil faedah maka sudah 
          lepaskah kita dari riba? 
        Dilema bank 
        Peter Kershaw dalam bukunya Economic Solutions menyebut bahawa Thomas 
          Jefferson pernah mengatakan bahawa institusi bank lebih berbahaya ke 
          atas kebebasan kita berbanding dengan tentera-tentera musuh dan penciptaan 
          wang janganlah dibiarkan pada pihak bank. Jefferson berkata demikian 
          di Konvensyen Perlembagaan Amerika Syarikat, 1787 (Peter Kershaw 1994). 
        
        Mengadakan bank yang bermoral bukanlah jalan selesaian singkat. Kita 
          sepatutnya boleh berfungsi tanpa institusi orang tengah apabila berurus 
          niaga. Dari mula Islam bertapak sehinggalah jatuhnya Kerajaan Islam 
          Turki, kita tidak pernah perlu kepada institusi bank dan wang kertas. 
        
        Sistem Barat (capitalist) memerlukan pihak bank memberi modal atau 
          capital untuk memulakan perniagaan. Ini memudahkan kita terperangkap 
          dalam hutang riba kerana terpaksa membayar bunga. Kaedah perbankan ini 
          mirip kepada suatu sistem sewa wang. Menurut Imam Sahnun dalam 
          kitab Mudawwana al-Kubra (12:46) wang haram disewa. 
        Kaedah Islam mementingkan perkongsian. Seorang ingin berniaga dan modalnya 
          ialah kesungguhan, kepandaian dan titik peluhnya sementara orang lain 
          pula mempunyai modal harta atau wang ringgit. Kedua-duanya boleh berkongsi 
          dalam mencari keuntungan dalam perniagaan. Ini dikatakan kaedah qirad 
          dalam Islam. Mereka tidak memerlukan bank untuk mencari rezeki. Kaedah 
          perkongsian tidak melibatkan pinjaman dan wang bunga kerana semua sama-sama 
          berkongsi keuntungan atau pun kerugiannya. Ada yang rugi tenaga dan 
          ada yang rugi harta. Begitulah juga apabila mendapat keuntungan. 
        Wang E 
        Wang E merupakan lanjutan kepada perbicaraan tentang wang dalam era 
          ekonomi berelektronik. Menurut Kurtzman dalam bukunya 'The Death of 
          Money', sekarang, wang bukan lagi suatu barangan atau benda yang boleh 
          ditemui di tepi pantai atau di belakang bantal sofa tetapi ia telah 
          menjadi suatu sistem. Wang ialah suatu rangkaian yang terdiri dari berjuta-juta 
          komputer yang bertaut dengan saham, bond, kadar faedah, wang kertas, 
          pasaran hadapan, options, kad kredit, kad untuk fotokopi dan sebagainya 
          (Kurtzman 1993). Wang E ini terkait dengan supercomputers di Morgan 
          Stanley & Company dan komputer peribadi pelabur persendirian yang menggunakan 
          contohnya program atau sofwer Equalizer untuk membeli saham melalui 
          Charles, Schwab & Company. Rangkaian ini selari dengan rangkaian komputer 
          yang membuat carta risiko pelaburan yang menggunakan formula yang memenangi 
          Hadiah Nobel oleh Harry Markowitz dan Merton Miller dari Universiti 
          Chicago. 
        Sistem wang E ini tidak lagi memerlukan peti simpanan ataupun bank 
          kerana semua 'wang' berada di dalam cakera padat dan berpindah menurut 
          'lompatan elektron' ke sana kemari tanpa risau tentang sempadan negeri. 
        
        Wang ini begitu mudah meruap (volatile), tidak seperti wang emas yang 
          stabil sehinggakan kadar faedah, harga saham, harga wang dan harga bond 
          turun-naik tanpa terkawal lagi. Wang megabyte ini boleh bertukar rupa 
          dalam sekelip mata dari nombor-nombor dalam akaun simpanan berbentuk 
          dolar Amerika Syarikat (AS) menjadi nombor saham di Wall Street kemudian 
          mencari untung dengan melihat indeks Nikkei kemudian menjelma pula secara 
          berturutan menjadi Bhat, Deutschemark, Lira, Ringgit Malaysia sambil 
          melihat Klibor, bertukar kepada Rupiah, kemudian mengambil rupa dolar 
          AS dalam kuantiti yang lebih banyak dari asal. 
        Metamorfosis wang E ini boleh dilakukan secara pemprosesan selari atau 
          parallel processing dan mengambil masa dalam julat nano seconds sahaja. 
          Tidak perlu lagi pengawal yang gagah perkasa dan bersenjata untuk menjaga 
          wang E di supersafe bank dan tidak perlu lagi kepada ahli ekonomi kerana 
          sistem wang E ini hanya memerlukan supercomputer bersama dengan ahli 
          komputer, ahli matematik dan juga ahli fizik untuk menjadi programmer 
          atau 'tukang spekulasi'. Segala urusan perancangan, pembelian dan penjualan 
          dilakukan secara automatik sambil para spekulator mungkin tidur nyenyak. 
        
        Wang sekarang hanyalah imej di skrin komputer dalam bentuk indeks. 
          Berjuta-juta pelabur, ahli bank, pengurus dana, pemain saham, pembuat 
          polisi, orang kerajaan dan orang bukan kerajaan, Soros, Milken, Rothschild 
          dan ramai lagi melihat dan bermain dengan wang ini. Ketika inilah sofwer 
          untuk spekulasi dan manipulasi berdasarkan formula matematik, dan cakap-cakap 
          tentang hardware, MHz, Ram, MB, Pentium, dan lain-lain jargon komputer 
          menjadi amat penting. Maka beruntung besarlah syarikat-syarikat yang 
          mengeluarkan perkakasan dan sofwer dalam teknologi kewangan. Antaranya 
          ialah IBM, Unisys, dan DEC. 
        Pedagang atau peniaga tidak lagi perlu mengetahui tentang sejarah syarikat 
          mahupun pengurusannya. Jika sesuatu saham itu memadani suatu formula 
          matematik menurut harga, volatility dan dividen maka itu pun sudah cukup 
          untuk permainan spekulasi ini membawa keuntungan. Sementara itu penoreh 
          getah, penanam padi dan penangkap ikan terus memerah keringat sambil 
          hasil jualannya menjelma menjadi signal-signal elektronik dalam komputer. 
          Di pasaran hadapan komoditi, getah yang belum ditoreh pun sudah dijual 
          beli. Jika mereka memahami makna harta sebenar mungkin mereka tidak 
          akan menjual hasil mereka. Mereka akan menukar secara barter atau meminta 
          bayaran dalam bentuk syiling emas atau perak. 
        'Matinya wang sebenar' seperti emas dan perak menurut Kurtzman lagi, 
          iaitu dengan kedatangan wang E telah memulakan era bank menjadi outmoded 
          atau ketinggalan zaman. Apakah ini bermakna 'matinya sistem bank' walaupun 
          ada yang cuba beroperasi melalui islamisasi bank? Sistem bank Barat 
          hidup pada amnya di atas dasar menyewa wang tetapi sekarang riba dalam 
          bentuk menyewa wang pun sudah tidak lagi menguntungkan. Globalisasi 
          pasaran kewangan sudah menyebabkan sistem bank menjadi lapuk. Sekarang 
          adalah era riba global melalui sistem komputer high-tech. 
        Untuk mengendalikan 20 bilion dolar AS, pihak bank memerlukan bangunan 
          yang dipanggil bank, kenderaan seperti van, mesin ATM, beribu-ribu pekerja 
          yang menjadi kerani, pegawai pinjaman, supervisor, pengurus, pemandu, 
          pengawal dan lain-lain lagi. Pelaburan sememangnya besar tetapi untung 
          tidak seberapa. Dahulu dengan wang deposit oleh orang ramai pihak bank 
          boleh menetapkan kadar faedah.Sekarang dalam permainan derivatif orang 
          membeli 'kontrak kadar faedah' yang akan menentukan nilai dolar dan 
          wang lain yang bersandarkan kepada dolar. Dunia wang sudah terbalik. 
          Kadar faedah pula yang menentukan nilai wang! 
        Sekarang 20 orang pengurus dana dapat mengumpulkan 20 bilion dolar 
          dengan mudah. Dengan hanya berbekalkan satu supercomputer berserta dengan 
          program modeling pelaburan yang canggih mereka boleh membuat metamorfosis 
          wang tanpa pekerja dan bangunan untuk mendapat keuntungan berlipat kali 
          ganda dibandingkan dengan bank tadi. Mereka memperolehi keuntungan dari 
          lawatan siber melalui rangkaian kewangan berkomputer ke seluruh dunia. 
          Maka papalah negara-negara yang mereka lawati dalam sekelip mata sahaja. 
          Meranalah Korea, Indonesia, Thailand, Malaysia, Jepun malahan negara 
          di Barat sekalipun. Secara tidak langsung wang simpanan boleh meruap 
          apabila komputer dipasangkan. 
        Kedatangan wang E dalam sistem pasaran bebas juga telah menunjukkan 
          bahawa konsep negara dengan pemimpinnya juga telah tercabar. Signal 
          elektronik terpantul dari satelit atau melalui kabel bawah laut tanpa 
          mempedulikan lagi pihak imigresen atau pihak kastam. Sempadan negara 
          sudah tidak bermakna lagi. Pejabat cukai negara juga tidak dapat berbuat 
          apa-apa kerana wang megabyte berpindah pada kadar nanosaat. Kerajaan 
          manapun tidak dapat mencukai apa yang tidak dapat dilihat. Jika tiada 
          sumber cukai, maka dari mana kerajaan dapat mencari sumber wang untuk 
          memakmurkan negara? 
        Para pemimpin negara pun tidak dapat mengawal kadar faedah kerana kadar 
          faedah sebenarnya yang mengawal harga wang dan dengan itu sistem wang 
          E bebas dari pemimpin. Maka berlakulah kegawatan dalam sistem wang E 
          ini. Bagi mereka yang tidak memahami sistem wang E walaupun arif tentang 
          bank akan mengatakan ini adalah gejala korupsi, kronisme dan nepotisme. 
          Tetapi mereka lupa mengambil iktibar dari tanda tangan yang 'dipaksa' 
          oleh Camdessus terhadap Suharto. Wang IMF juga tidak dapat memulihkan 
          Indonesia setelah sekian lama perjanjian ditanda tangani. 
        Tidak mustahil kalau dikatakan IMF dan Bank Dunia pun tidak lagi mempunyai 
          wang yang mencukupi. Semua wang sekarang sudah berbentuk wang E dan 
          kebanyakan kerajaan tidak lagi mempunyai wang kerana 'disamun' oleh 
          pemain wang. Malahan kerajaan Amerika Syarikat pun berhutang lebih dari 
          5 trilion dolar sekarang (lihat US National Debt Clock 1998). Jadi dari 
          mana IMF boleh mendapatkan wang? Mungkin kita yang terlalu percaya kepada 
          omong-omongan IMF tentang wang. Mungkin juga sudah sampai masanya kita 
          berkata selamat datang semula kepada Dinar dan Dirham dan kad emas elektronik 
          (Gold Card) yang benar-benar menunjukkan transaksi wang emas dan perak 
          dan bukan sekadar nombor yang dispekulasi. Adakah era wang E akan membawa 
          kepada era wang emas semula? 
        Rumusan
         Dalam keserabutan krisis kewangan global ini kita perlu mencari jawapan 
          dengan kembali kepada amalan Islam. Sejarah Islam dengan jelas memperakui 
          emas dan perak sebagai wang. Wang ini tidak boleh dimakan usia, rosak 
          atau disusut nilai atau dicetak. Oleh yang demikian tidak ada lagi faktor 
          inflasi atau perjudian indeks simbol wang yang boleh berlaku. 
        Sistem kertas sepatutnya hanya boleh diterima sebagai 'fulus' atau 
          wang pecah. Dalam hal riba ini kerajaan Malaysia telah berani mencabar 
          sistem riba wang kertas dengan menyeru supaya diharamkan jual beli wang 
          (Mahathir 1997). 
        Kawalan Ringgit Malaysia (Utusan Malaysia 1998a) yang dilakukan sekarang 
          menunjukkan kesungguhan kita untuk menjadikan mata wang bebas dari para 
          spekulator dan dengan itu bebas dari ahli riba seperti Soros. Kita juga 
          mahu terlepas dari cengkaman parti riba seperti IMF. 
        Pembatalan wang kertas RM 1000 dan RM 500 sebenarnya ialah suatu langkah 
          yang sangat bersesuaian dalam mengetengahkan Dinar dan Dirham. Nilai 
          Dinar emas (yakni kepingan emas 22 karat seberat 4.25 gram) buat masa 
          ini, adalah tidak lebih dari RM 200 maka sekarang dengan pembatalan 
          tadi, sudah tidak ada lagi wang kertas yang melebihi nilai Dinar. Wang 
          kertas paling besar hanyalah RM 100. Sekarang wang kertas sudah mula 
          sesuai dijadikan sebagai 'fulus' yakni sebagai 'duit pecah' sahaja. 
          Kita berharap Dinar dan Dirham akan dapat diperkenalkan secara selari 
          dengan fulus (wang kertas yang tidak lebih dari RM 100 bersama dengan 
          syiling-syiling logam lain.) 
        Jika kita perkenalkan Dinar dan Dirham bermakna kita telah mengembalikan 
          sistem mata wang Islam. Secara serentak wang kertas yang masih 
          ada pun akan tersandar pada emas. Pihak kerajaan boleh menetapkan setiap 
          Dinar bersamaan dengan RM 200 sebagai contoh. Maka kita ada sistem yang 
          selari tanpa perlu membuang Ringgit Malaysia. Dengan itu kita tidak 
          perlu menjual emas kita untuk ditukarkan dengan dolar Amerika Syarikat 
          tetapi terus mencair atau meleburkannya untuk ditempa menjadi wang sejati. 
          Inilah yang dikatakan liquidity sebenar. 
        Apabila pengenalan wang sejati ini berlaku maka zakat wang, yakni Dinar 
          dan Dirham boleh dengan mudah dikira tanpa merujuk kepada kadar tukaran 
          asing atau harga belian atau jualan emas. Menurut amalan zakat setiap 
          40 keping Dinar yang cukup tempohnya wajib dibayarkan sekeping Dinar. 
          Setiap 200 keping Dirham pula dibayar 5 keping Dirham. 
        Usaha kerajaan untuk membebaskan kita dari cengkaman riba dengan membuat 
          perubahan ke atas sistem kewangan adalah bersesuaian dengan seruan Mufti 
          Mesir, Dr Nasir Farid Wasil (Utusan Malaysia 1998d) supaya ditegakkan 
          kembali kekuatan ekonomi Islam berasaskan mata wang emas dan perak bagi 
          menggantikan dolar Amerika Syarikat. Maka piawaian baru tetapi menurut 
          tradisi antara negara-negara Islam ialah Dinar dan Dirham 
        Sekarang yang menjadi sempadan untuk kembali kepada mata wang yang 
          menurut Piawaian Khalifah Umar Al-Khattab r.a. yakni Dinar dan Dirham 
          ialah faktor psikologi yakni kepercayaan yang mendalam terhadap kertas 
          dan kesungguhan politik kita dalam melaksanakan rombakan ini. 
        Nota: Dinar (syiling emas 22 karat seberat 4.25 gm), Dirham (syiling 
          perak seberat 3 gm). (Umar Vadillo 1996). 
        RUJUKAN 
        Adam Smith (George J W Goodman 1982) Paper Money Futura Macdonald 
          & Co. Almuwatta (terjemahan 1989, edisi baru 1997) 
        Almuwatta (terjemahan 1989, edisi baru 1997). Almuwatta of Imam 
          Malik ibn Anas-The First Formulation of Islamic Law. Terjemahan 
          oleh Aisha Bewley. Madinah Press 
        Dines letter 1997 The Dines letter (TDL), (August 30, 1997) TDL's 
          latest on currencies "The coming competing currency devaluations" 
          http://www.gold-eagle.com/editorials/dines830.html 
        Ezra Pound 1937 The Cantos of Ezra Pound-The Fifth Decade of Cantos 
          XLII2LI. lihat juga Usury and Ezra Pound dalam: http://www.english.upenn.edu/~afilreis/88/usury.html 
        
        Financial Times 1997 Asian currency crisis; Soros hits at Mahathir's 
          currency trade proposal. 22/9/97. http://www.ft.com/ 
        Ian Dallas 1990 The New Wagnerian. Freiburg Books 
        Imran N Hosein 1996 The Importance of The Prohibition Of Riba In 
          Islam. Ummavision Resources. 
        James Dines 1996 Mass Psychology. USA Import Publisher 
        Juenger F.G. 1949 The Failure of Technology-( lihat The Destruction 
          of Money). 
        Henry Regnery Company Louis MacNeice 1952. Goethe's Faust. Oxford 
          University Press 
        Mahathir 1997 Asian Economies: Challenges and Opportunities-Speech 
          by The Prime Minister Datuk Seri Dr Mahathir at The Annual Seminar of 
          The World Bank, Hong Kong. 20/9/97. http://www.smpke.jpm.my/pm3.htm 
        
        Mahathir 1998a Stable ringgit seen as key to recovery. 2/9/98 
          Wawancara dengan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad Di TV yang dituliskan 
          di alamat internet berikut: http://straitstimes.asia1.com.sg/klc/klc7_0902.html 
        
        Khalid Noorshah 1998 Wang Kertas Alat Perhambaan. Ruangan Pandangan 
          Songsang dalam MASSA bil. 126, 1998 
        Kurtzman. J 1993 The Death of Money. Simon and Schuster 
        Peter Kershaw 1994 Economic Solutions. Publication protected 
          by Common Law Copyright, 1994, Peter Kershaw. 
        Ranjit Gill 1997 Black September (lihat Bloody Bhat).Epic Management 
          Services P.L. 
        Shaykh Abdalqadir as-Sufi 1996 The Return of The Khalifate. 
          Madinah Press 
        Umar Ibrahim Vadillo 1996 The Return of The Gold Dinar. Madinah 
          Press 
        Utusan Malaysia 1998a Nilai ringgit ditetap. 2/9/98 
        Utusan Malaysia 1998b PM: Nilai ringgit mungkin diturun. 25/9/98 
        
        Utusan Malaysia 1998c IMF tidak menjamin pemulihan. 15/7/98 
        
        Utusan Malaysia 1998d Mata wang emas disaran ganti dolar AS 
          4/6/98
         U.S. NATIONAL DEBT CLOCK The Outstanding Public Debt as of 
          09/25/98 http://www.brillig.com/debt_clock/ 
        Bibliografi 
        Hakimi Ibrahim 1997 Haramkan perdagangan mata wang Utusan Malaysia 
          27/9/97 
        Hakimi Ibrahim 1998a. Erti mata wang Islam. Utusan Malaysia 
          6/2/98 
        Hakimi Ibrahim 1998b Wang E dalam era komputer. Utusan Malaysia 
          22/7/98 
         
        DR HAKIMI IBRAHIM 
        Pusat Pengajian Teknologi Industri Universiti Sains Malaysia 11800, 
          Minden Pulau Pinang 
        Tel 04-6533888-2109. hp 016 417 6559