GDRG Home

THE GOLD DINAR RESEARCH GROUP

Universiti Sains Malaysia, Penang

About Us | Members | Activities | Articles | Photo Gallery | The Dinar | Zakat | Mahr | Dinar Trade Network| Bookshop | Links | Announcements | Contact Uss

 

Back to Articles in Media

Mencari alternatif kepada dolar AS.

Utusan Malaysia: Rencana (03/07/1998)

 

SEMALAM genaplah setahun krisis kewangan menggoncang dan menghuru-harakan ekonomi negara-negara 'harimau' dan 'harimau kecil' Asia Timur, khususnya Korea Selatan, Thailand dan Indonesia. Di ketiga-tiga negara tersebut, kita bukan sahaja menyaksikan pembaharuan ekonomi yang besar dan menyeluruh, tetapi juga pembaharuan politik, di mana perubahan pucuk pimpinan negara turut berlaku.

Malaysia mungkin bernasib baik kerana kita tidak meminta bantuan pakej penyelamat(?) daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF). Bagi mendapatkan bantuan IMF itu, kita terpaksa mematuhi syarat-syarat ketat yang bukan sahaja memberi kesan terhadap dasar ekonomi, tetapi juga dalam bidang politik dan sosial.

Kadar faedah perlu dinaikkan, subsidi tidak boleh diberikan, harga barangan pun melonjak, kos kehidupan turut meningkat, pekerja kehilangan pekerjaan dan kos kehidupan rakyat menjadi mahal.

Nampaknya negara-negara maju di Barat, di bawah kepimpinan Amerika Syarikat (AS), bukan sahaja menguasai dan mendominasi persada politik antarabangsa menerusi badan-badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tetapi juga melalui agensi-agensi ekonomi sejagat seperti IMF, Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

Negara-negara miskin dan membangun serta negara-negara Islam semuanya terus terbelenggu di dalam sistem yang ternyata berat sebelah serta tidak adil, dan tidak menghormati hak asasi negara-negara terlibat.

Di mana Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia (UNHRC) dan Amnesty International di dalam memperjuang hak-hak negara miskin dan membangun untuk menjadi negara maju, untuk menjadi masyarakat maju? Di mana hak demokrasi dan kesamarataan negara-negara miskin dan membangun di dalam PBB, IMF, Bank Dunia dan WTO?

AS mendesak negara-negara seperti Malaysia agar menghormati hak asasi individu dan hak demokrasi rakyat, tetapi apakah AS bersedia menghormati hak semua negara yang merdeka dan berdaulat untuk melepaskan kuasa vetonya di dalam Majlis Keselamatan PBB? Jawapannya pastilah: 'Tidak... Tidak...'

Kerana itu, kita wajar menerima krisis kewangan yang berlaku ini sebagai iktibar dan pengajaran paling penting untuk melakukan pembaharuan politik dan ekonomi di peringkat antarabangsa. Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah memulakan pembaharuan tersebut dengan membuat beberapa seruan penting.

Pertama, beliau menyarankan segala bentuk urus niaga yang spekulatif seperti pasaran mata wang antarabangsa dihentikan. Kedua, negara-negara boleh berdagang secara barter atau menggunakan mata wang sendiri atau mewujudkan mata wang bersama.

Kegiatan spekulasi dilihat menjadi 'ibu' kepada masalah yang kita hadapi. Kebanyakan institusi kewangan masa kini terjurus kepada kegiatan spekulasi seperti pasaran saham, pasaran komoditi, pasaran masa depan dan pasaran mata wang. Sebelum kita dapat menghentikan kegiatan spekulasi di peringkat antarabangsa, kita perlulah terlebih dahulu menghentikan kegiatan berkenaan di dalam negara.

Nilai saham syarikat sepatutnya tidak boleh diasaskan kepada kegiatan spekulasi. Namun dengan penyenaraian syarikat kepada Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), ia terdedah kepada serangan dan manipulasi. Kita mungkin terpaksa mewujudkan bursa saham baru yang memudahkan pelaburan tulen, tetapi menyukarkan kegiatan spekulasi seperti tiada kemudahan kontra dan tiada jualan pendek.

Bursa saham yang dibebaskan daripada unsur-unsur spekulasinya dapat membawa masuk pelaburan asing yang kita harapkan, dan bukan lagi 'wang panas' yang kita bimbangkan. Bersediakah kita melakukan ini?

Mata-mata wang dunia seperti ringgit Malaysia, baht Thailand, rupiah Indonesia, won Korea Selatan dan yen Jepun menjadi produk spekulasi kerana pergantungan kita terhadap mata wang dolar AS dalam perdagangan antarabangsa. Selagi wang kita terus-menerus dibandingkan dengan dolar AS, kita terbuka kepada serangan penyangak spekulasi. Sehubungan itu, saranan kedua Perdana Menteri perlu digerak dan direalisasikan.

Kini terdapat cadangan serta usaha untuk menggunakan dolar Singapura dan ringgit Brunei sebagai mata wang utama dalam perdagangan di peringkat ASEAN bagi mengurangkan kepentingan dolar AS. Pengenalan mata wang euro Eropah mulai tahun depan turut dilihat sebagai memberi alternatif kepada pergantungan terhadap dolar AS. Dengan membandingkan wang kita dengan beberapa mata wang lain, tidak hanya dolar AS, mata wang kita mungkin tidak mudah diserang.

Namun, ia tidak akan benar-benar menyelamatkan kita. Kini terdapat usaha ke arah mewujudkan sistem mata wang yang berasaskan kepada kekayaan sebenar dan bukan kepada indeks ekonomi seperti sekarang - sistem mata wang emas dan perak; dinar dan dirham. Tetapi itu cerita lain pada minggu lain.

Oleh: GAMAL NASIR [e-mel: gamal@utusan.com.my].

 

Last Updated: 07/06/03 ©NE2002

 

Gold Dinar Research Group