GDRG Home

THE GOLD DINAR RESEARCH GROUP

Universiti Sains Malaysia, Penang

About Us | Members | Activities | Articles | Photo Gallery | The Dinar | Zakat | Mahr | Dinar Trade Network| Bookshop | Links | Announcements | Contact Uss

 

Back to Articles in Media

Cari Alternatif Kepada Ringgit

Dr Hakimi Ibrahim. Utusan Malaysia: Forum (11/07/1998)

Saudara Pengarang,

Syabas kepada Utusan Malaysia yang telah mencetuskan persoalan mencari alternatif kepada ringgit.

Dengan tersiarnya persoalan ini dalam ruangan Lidah Pengarangnya pada 12/6/98, maka jelaslah akhbar ini berani dan terkehadapan dalam mencari penyelesaian terhadap 'kegawatan ekonomi' dan kepincangan ummah tanpa terikat dengan mana-mana pihak.

Pemilihan alternatif yang sejagat dan mutlak seperti emas dan perak memang kena pada tempatnya kerana itu memang tradisi semua bangsa dan negara sejak zaman berzaman sehingga pihak elit mata wang membuat helang tentang mata wang.

Mereka menyorok emas dan perak lalu memberi kita kertas yang boleh dispekulasi. Tambahan pula sejak tahun 1971 lagi Nixon sudah membatalkan ikatan emas dengan wang kertas.

Orang seperti Soros akan sentiasa ada selagi sistem kewangan sekarang tidak berdasarkan ekpada apa-apa yang sejati. Jika kiota berani mencari alternatif dan bekerjasama dengan mereka yang mencari alternatif juga maka kita tidak akan gusar lagi tentang ringgit yang berubah.

Mungkin kita tidak perlu lagi memikirkan tentang turun naiknya ringgit seperti mana yang disebut oleh Perdana Menteri kerana kita akan menumpukan kepada kaedah 'barter' secara profesional.

malahan apabila kita gunakan emas dan perak sebagai mata wang semula kita boleh menyuruh Soros bermain dengan mata wang kertas yang pada hakikatnya tidak bernilai seperti wang kertas dalam permainan monopoli.

Akhirnya wang kertas hanya menjadi seperti mata wang di zaman Jepun yang berguni-guni banyaknya tetapi tidak laku. Ketika itu memang kita perlukan Soros untuk memusnahkan sistem wang kertas yang tiada sandaran ini melalui permainannya.

Tetapi kita perlu bersedia dan mengorak langkah ke alternatif ringgit yang sebenar untuk berkata demikian terhadap Soros.

Kita tidak perlu berteori dalam mencari alternatif kerana sudah ada amalan tentang wang dalam Islam. Jika berteori lagi ini bermakna kita akan berbahas dengan tidak berkesudahan tentang penggunaan emas dan perak sebagai mata wang.

Segala kaedah dan perundangan tentang mata wang pun sudah termaktub di dalam kitab. Tradisi wang emas dan perak bermula sejak sebelum zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah jatuhnya Kerajaan Islam Osmaniyyah.

Kembali ke pangkal

Yang jelas ialah sistem kewangan sejagat memang dikawal melalui manipulasi indeks wang kertas. Kita hanya perlu kembali ke pangkal jalan untuk membuat pembetulan supaya emas dan perak digunakan semula. Nilai emas dan perak hanya menurut berat maka spekulasi dan manipulasi serta inflasi tidak lagi boleh berlaku.

Paling mustahak ialah kita kena fahami bahawa sejarah dan penggunaan wang tidak pernah diabaikan dalam Islam. Semua masalah tentang wang terdapat di dalam al-Quran dan sunnah.

Sebutan tentang dinar (wang emas) ada di dalam al-Quran (Surah Al-Imran ayat 75). Sebutan dirham (wang perak) pula terdapat dalam bentuk jamak yakni darahim dalam Surah Yusuf ayat 20.

Ini bukan kembali ke zaman silam tetapi suatu perjalanan back to the future. Sebenarnay memang tiada sekatan untuk kita gunakan high tech dalam penggunaan emas dan perak.

Umar Vadillo, penulis buku The Return of The Gold Dinar, pernah menerangkan bahawa tiada masalah untuk menggunakan kad seperti 'kad pintar' apabila kita menggunakan mata wang emas dan perak seperti dinar dan dirham.

Apa yang penting ialah nilai kad pintar itu mestilah menunjukkan nilai sebenar emas dan perak yang terdapat di dalam wakala. Wakala ialah tempat menyimpan emas dan perak. Beliau tidak menggunakan perkataan bank kerana bank sekarang melakukan amalan menyewakan wang dan oleh itu 'menganak-pinakkan' wang tanpa izin dari penyimpan.

Sekiranya dengan izin pun itu masih menunjukkan amalan riba - yakni menjana wang dari wang (menyewa dan menjual beli wang). Tepatlah seruan Perdana Menteri supaya ditutup sahaja bank kerana tidak mempercayai kepada ekonomi negara.

Pihak bank hanya pentingkan untung sewa beli wang sahaja nampaknya.

Sementara itu, wakala hanyalah tempat atau ajen/wakil simpan wang emas dan perak dan kita bayar wang khidmat kerana menyimpan kepada mereka. Wakala tidak boleh menyewa wang kita kepada orang lain. Segala pelaburan mestilah dengan izin kita. Kita juga boleh ada rangkaian wakala di serata pelusuk dunia.

Kenyataan Mufti Mesir, Dr. Nasir Farid Wasil tentang perlunya kembali kepada emas dan perak jika mahu mengelak kongkongan Amerika juga mestilah diambil perhatian. Ini merupakan suatu kenyataan yang besar dari segi syariat.

Pandangan dari Mesir selama ini pun memang menjadi panduan umat Islam di seluruh dunia.

Sehubungan dengan 'kegawatan' dan mencari alternatif ini kita memang memerlukan seorang pemimpin seperti Dr. Mahathir yang berani mempertikaikan tentang dolar Amerika dan juga membuka pekung IMF.

Langkah beliau tentang profesional barter trading dan penggunaan mata wang tempatan memang suatu langkah yang baik.

Pada masa yang sama usaha yang saling melengkapi dengan apa yang diketengahkan oleh Dr. Mahathir telah turut dilakukan oleh Datuk Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan. beliau telah memulakan edaran dinar dan dirham di Kelantan dan di tempat lain.

Ini suatu kerjasama yang baik. Tindakan kita semestinya melepasi benteng politik yang cetek. Soros pun tahu berpolitik tanpa terperangkap dengan sempadan politik kenegerian.

Dalam Islam mata wang sememangnya berkait rapat dengan kerajaan. Al-Qurtubi dalam Tafsir beliau telah menyentuh tentang ayat 59 dari surah An-Nisa yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Patuhlah kepada Allah dan patuhlah kepada Pesuruh Allah dan mereka yang memerintah kamu ... "

Ayat tersebut merupakan satu perintah supaya umat Islam taat kepada pemerintah dalam 7 perkara.

Mencari ganti

Hal pertamanya ialah penempaan dinar dan dirham dan yang lainnya ialah menetapkan berat dan ukuran, keputusan mahkamah, haji, jumuah, Hari Raya (puasa dan korban) dan jihad.

negara-negara Eropah pun sudah mula mencari ganti dolar Amerika dengan menyarankan dolar Euro maka kita sepatutnya terlebih dahulu kehadapan kerana kita ada contoh dan teladan yang baik tentang mata wang emas dan perak.

Usaha Utusan Malaysia mempelopori gerakan ke arah mencari alternatif ringgit seharusnya disokong oelh semua pihak yang mahu bebas dari penindasan dalam sistem kewangan semula.

DR. HAKIMI IBRAHIM, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia, Minden, Pulau Pinang.

 

Last Updated: 07/06/03 ©NE2002

 

Gold Dinar Research Group