GDRG Home

THE GOLD DINAR RESEARCH GROUP

Universiti Sains Malaysia, Penang

About Us | Members | Activities | Articles | Photo Gallery | The Dinar | Zakat | Mahr | Dinar Trade Network| Bookshop | Links | Announcements | Contact Uss

 

Back to Articles in Media

Guna mata wang dinar agenda terpenting zaman ini.

Umar Azmon Amir Hassan. Utusan Malaysia: Forum (09/07/2001)

Saudara Pengarang,

PERDANA Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad adalah pemimpin yang pertama yang membangkitkan isu menyatupadukan umat menerusi satu mata wang.

Orang Melayu sudah lupa dan orang Islam juga sudah lupa bahawa satu ketika dahulu umat Islam mempunyai mata wang tersendiri iaitu menggunakan dwilogam emas dan perak. Dengan wang inilah mereka berniaga dan berurusan dengan syariat. Ulama juga turut lupa. Mereka tidak pun menyelidik bagaimana timbulnya duit kertas yang menjadi amalan dunia sejagat dan dengan sekali gus mengambil alih mata wang syariat.

Malang sekali, di antara banyak wang kertas, wang kertas dolar Amerika Syarikat menjadi wang nombor satu dunia hingga banyak negara mempergadaikan harta negara mereka dengan menyimpan dalam bentuk dolar.

Bagaimana ini terjadi dan dibiarkan berleluasa. Orang Islam tidak boleh menerima ini semua lagi. Orang Islam yang berfikiran waras harus menolak penghambaan baru ini dan berusaha untuk mengatasinya. Inilah keadilan yang utama yang harus dituntut sebab ia melibatkan semua orang.

Wang kertas tidak mempunyai piawaian. Berat timbang dan lain-lain mempunyai piawaian. Seandainya ukuran berat dan panjang berubah setiap hari, ini akan pasti merumitkan dan membingungkan pembina dan peniaga.

Binaan akan jadi tidak teratur kerana ukuran meter berubah setiap hari dan berat simen pun berubah setiap hari.

Justeru, dari dahulu supaya tidak keliru dan membingungkan semua yang berkaitan dengan ukuran, timbang dan waktu mempunyai piawaian.

Tetapi apabila pihak bersekutu (Amerika Syarikat, Britain, Rusia dan Perancis) telah pasti akan memenangi Perang Dunia Kedua, mereka telah menetapkan dolar Amerika Syarikat dengan emas di Bretton Wood.

Pada masa yang sama turut diwujudkan Bank Dunia, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perlu disebut bahawa kemenangan Perang Dunia Kedua ialah kemenangan sosialis antarabangsa terhadap sosialis kebangsaan dan bermulalah apa yang dipanggil globalisasi atau dalam lain perkataan satu negara dunia.

Tidak ada ulama Islam yang menghadiri perjanjian di Bretton Woods itu, malah tidak ada ketua negara lain yang hadir selain daripada ketua negara-negara pihak bersekutu. Negara-negara lain belum wujud justeru, mata wang mereka pun belum wujud dengan mutlak.

Negara lain semua dianggap mundur dan bukan demokratik. Negara Arab terjerumus dalam sistem sosialis dan ada pula menjadi tali barut Amerika Syarikat seperti Arab Saudi. Tidak ada siapa pun mengiktiraf negara mereka dan mata wang mereka.

Akhirnya, pada 1971, Amerika Syarikat menarik balik sandaran emas pada mata wangnya maka mata wang tidak lagi mempunyai piawaian. Para peniaga haru-biru kerana tidak tahu berapakah pertukaran yang harus digunakan kerana nilainya berubah setiap ketika.

Ini bercanggah dengan amalan orang Barat yang moden sebab mereka mempunyai piawaian dalam semua hal. Serba-serbi ada piawaian hingga hendak buat tandas pun ada piawaiannya.

Jika hendak berjalan, jadual kereta api, kapal terbang dan lain-lain dikawal rapi. Tetapi mata wang tidak ada piawaian. Mata wang juga tidak demokratik sehinggakan satu dolar Amerika Syarikat bersamaan satu karung guni wang lira Turki. Ini tidak munasabah.

Jadi saranan Dr. Mahathir mengenai blok perniagaan dinar dan penggunaan dinar emas amat wajar sekali dan menjadi agenda terpenting zaman ini. Mata wang yang tidak terikat kepada mana-mana negara.

Mengapakah kaum ulama masih hendak berdiam diri. Mata wang juga sebahagian daripada agama. Buku fikah penuh dengan perbincangan mengenai mata wang, dinar dan dirham.

Jika dilihat buku berjudul Mamluk Economics iaitu terjemahan daripada kitab seorang alim bermazhab Shafie, Taqi al-Din Ahmad ibn Ali al-Maqrizi, jelas bahawa mata wang adalah sebahagian daripada agama.

Dipetik daripada buku yang sama dalam bab empat, beliau berkata, sebenarnya menurut riwayat yang pertama menempa dinar dan dirham ialah Adam a.s. yang bersabda bahawa kehidupan tidak menyeronokkan tanpa dwi mata wang itu (al-Maqrizi memetik perkara ini dari kitab Tarikh Dimashq tulisan Hafiz ibn Asakir).

Ibn Taymiyyah juga ada mengulas tentang krisis kewangan yang dihadapi oleh kerajaan Mamluk. Wang emas dan perak digunakan sehinggalah kejatuhan kesultanan Uthmaniah. Jika ada satu bidaah yang besar maka kegunaan wang kertas adalah bidaah tersebut. Mungkin ulama terlupa kerana leka hendak berebut kuasa.

UMAR AZMON AMIR HASSAN, Kuala Lumpur.

 

Last Updated: 07/06/03 ©NE2002

 

Gold Dinar Research Group