Saudara Pengarang,
SAYA berhajat untuk menceritakan pengalaman saya dalam
penggunaan emas dan perak sebagai mata wang atau kaedah tukar barang
untuk berniaga.
Sejak tahun 1990 lagi, saya dan sebilangan umat Islam
yang tinggal di England telah memahami bahawa wang kertas yang dikeluarkan
oleh bank negara sesebuah negara itu adalah dipunyai oleh sekumpulan
keluarga yang mencengkam kehidupan setiap insan di dalam dunia ini.
Tambahan lagi, setiap helai wang kertas itu tidak bernilai
langsung di sisi Allah s.w.t hanya sihir silap mata yang memberikan
keyakinan bagi setiap mereka yang segan berfikir.
Malah setiap kali wang kertas ini digunakan, akan bertambahlah
cengkaman kuat itu ke atas setiap manusia amnya dan umat Islam khasnya.
Setelah kami fahaminya dengan jelas, maka kami perlu
membuat sesuatu untuk membawa kembali perniagaan yang adil dan diredhai
Allah.
Pertamanya, kami berpendapat kami mesti berniaga secara
pertukaran barang seperti sebiji kelapa ditukarkan dengan nilainya yang
sama iaitu 5 biji telur. Kemudian mengapa tidak sekilo beras dengan
sekeping dirham perak dan seekor kambing dengan dua keping dinar emas?
Di awal musim bunga 1994, kami mula berniaga di Slough,
England. Kami menggunakan kawasan di luar masjid Slough sebagai tempat
berniaga dan kami namakannya free halal market (pasar bebas halal).
Di pasar ini semua peniaga boleh datang tanpa lesen
atau bayaran. Hanya setiap tukar barang mestilah menggunakan emas atau
perak atau benda-benda yang bernilai di sisi Allah yang ditukarkan dengan
barang-barang yang hendak dibeli.
Syarat yang lain ialah undang-undang perniagaan Rasulullah
s.a.w seperti tidak boleh membeli di pasar ini dan menjualnya dengan
lebih murah di pasar lain yang anggaran jaraknya beberapa meter daripada
pasar itu.
Kami berniaga di pasar ini selama setahun. Setiap permulaan
hari perniagaan adalah sukar. Mula-mula kami bertukar barang. Perniagaannya
lembap. Bagaimanapun apabila perak dan emas digunakan, sekejap sahaja
perniagaan menjadi rancak.
Apa yang saya sangat-sangat berasa syukur ialah di saat
itu juga kami merasai anugerah Allah kepada orang yang cuba menegakkan
perintah-Nya. Kami tersenyum sambil meleleh air mata dan tersedu-sedu
kerana kami nampak dan merasai nikmat-Nya.
Biasanya, orang akan bersyukur apabila faham atau nampak
rahmat Allah setelah ia berlalu tetapi kami menikmatinya semasa rahmat
dan nikmat itu diturunkan.
Dapatlah kami imbasan mengapa Saidina Abu Bakar as-Siddiq
r.a berpusing-pusing di kala Nabi Muhammad s.a.w mengumumkan bahawa
syurga telah ditentukan kepada beliau. Alhamdulillah.
Pengalaman lain yang ingin saya kongsi bersama ialah
semasa kami berniaga kami tidak pernah putus atau kesempitan makanan
di rumah.
Kami tidak menjadi kaya raya tetapi hidup kami selesa.
Rumah tangga kami permai dan tenteram.
Ini hanya kami sedari apabila merenung ke belakang selepas
beberapa bulan meninggalkan perniagaan di Slough oleh sebab-sebab yang
tidak dapat saya elakkan.
Dua pengajaran daripada pengalaman itu ialah pertama,
pasar itu adalah kepunyaan orang-orang yang berniaga dan membeli-belah
di situ. Berkat dan rahmatnya di rasai oleh mereka yang berkaitan sahaja.
Kedua ialah, jika kita percaya kepada Allah dan Rasul-Nya,
Allah tidak akan mensia-siakan kita. Dinar emas dan dirham perak ada
disebut dalam al-Quran. Malaysia negara kita. Dinar dan dirham ada di
sini. Kita boleh berniaga menurut perintah Allah. Insya-Allah.
- KHAIRUDIN HUSSIN, Kuala Lumpur.