THE GOLD DINAR RESEARCH GROUP |
|
Universiti
Sains Malaysia, Penang
|
About Us | Members | Activities | Articles | Photo Gallery | The Dinar | Zakat | Mahr | Dinar Trade Network| Bookshop | Links | Announcements | Contact Uss
|
Krisis ekonomi: Kita perlu kreatif Utusan Malaysia: Rencana (02/04/1998)
|
|||||
KEGAWATAN mata wang sekarang ini memberikan pelbagai kemungkinan. Suatu kemungkinan yang kita idamkan ialah negara Amerika Syarikat (AS) juga tumbang seperti tumbangnya Beruang Rusia apabila nilai rublenya hilang. Mungkin ini bukan suatu harapan kosong kerana umum mengetahui bahawa negara Amerika merupakan negara terkaya dengan hutang. Hanya kepercayaan kita sahaja yang memberikan kekukuhan terhadap dolar dan juga terhadap Amerika. Walaupun ada yang mendoa dan mengharapkan keruntuhan AS dalam krisis ekonomi yang sedang berjangkit ini kita juga perlu bersedia menerima cabaran krisis supaya kita boleh memperolehi manfaat darinya. Krisis menandakan waktu untuk perubahan dan memungkinkan kita mencari kebebasan dalam pelbagai aspek. Inilah masanya untuk kita lebih kreatif dan masa untuk mencari paradigma baru dan keluar daripada sistem ekonomi bertempurung yang mengongkong masyarakat sejagat dengan kezaliman spekulasi. Kita perlu ingat sebagai contoh, getah sintetik tidak dihasilkan ketika kemewahan bekalan getah asli tetapi ketika krisis bekalannya terjadi. Kata orang necessity is certainly the mother of invention. Begitu juga ketika 'Zaman Jepun', kita dapati cerita tentang ahli masyarakat yang terserlah kepintaran apabila berada dalam kesempitan. Kita pernah dengar cerita kepandaian mereka membuat pelbagai barangan dengan menggunakan barangan tempatan dalam keadaan terdesak kerana tiada bekalan dari luar negara. Walau bagaimanapun yang utama pada zaman Jepun tersebut ialah usaha kita untuk mendapatkan kemerdekaan daripada pihak Inggeris menjadi lebih terangsang kerana kita mula berfikir tentang kebolehan orang Jepun. Jika Jepun boleh mengalahkan Inggeris kenapa kita tidak boleh? Kita mula mencari erti kebebasan. Negara Rusia tumbang, bukan kerana bedilan meriam tetapi disebabkan nilai mata wang rublenya merosot dan seterusnya peta negaranya dilukis semula dengan saiz yang lebih kecil berpandukan indeks bandingan wang yang merudum. Negara Islam di selatan Rusia pun terbebas dengan mudah. Ketika mengharapkan kebebasan daripada pengaruh 'kuasa pasaran' kita juga perlu menilai semula model ekonomi semasa dan mencari masalah dan kekangan yang menyebabkan kita boleh dimanipulasi dan dispekulasi oleh pihak luar bukan sahaja dalam bidang ekonomi malahan dalam masalah politik negara. Dalam bidang industri secara amnya kita dapati pertumbuhan kebanyakan negara terlalu berasaskan hutang. Malahan di peringkat individu pun orang yang berkeupayaan berhutang lebih dihormati daripada orang yang mempunyai wang tunai seperti yang kita lihat bagaimana pemegang kad Amex dan Visa begitu disanjungi. Projek mega dalam bidang industri walaupun menjana banyak peluang pekerjaan, merupakan manifestasi budaya pertumbuhan di atas hutang. Akhirnya bukan sahaja pekerja terperangkap dengan hutang, pihak negara pun boleh tergugat dengan hutang mega. Dalam menangani keserabutan sekarang kita perlu menilai semula pendekatan kita terhadap beberapa aspek perindustrian negara dengan mengambilkira pengurangan pertumbuhan yang bertunjangkan hutang atau keupayaan berhutang. Kita harus sedar bahawa projek mega memerlukan hutang mega dan seterusnya memerlukan hasil yang banyak untuk melupuskan hutang. Seterusnya masalah sampingan seperti pendatang haram dan juga kemusnahan sumber alam itu sendiri tidak dapat dielakkan dalam cubaan kita memperbetulkan kepincangan pembayaran huang. Desakan produktiviti daripada ceti seperti Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia memudahkan peristiwa Chernobyll dan Bhopal berlaku di mana-mana pun. Beberapa pandangan dalam industri tertentu berikut mungkin boleh digunakan sebagai asas lampas minda (brainstorming) untuk keluar daripada kaedah lazim yang mencengkam dan mencari paradigma baru tetapi mengambil kira tradisi yang ada sebelum wujudnya sistem ekonomi berkrisis. * Industri Kecil dan Sederhana: Kita patut menggalakkan konsep small is beautiful. Saiz industri ini membolehkan kita tidak terikat dengan beban hutang. Kaedah perkongsian keuntungan dan risiko secara langsung di antara pemodal dan pengusaha (tanpa pergantungan pada institusi orang tengah seperti bank dan ceti) boleh dilakukan untuk mengelakkan perangkap hutang. Pemodal untuk modal sederhana tidak semestinya pihak bank. Tabungan bersama secara koperasi atau modal daripada rakan dan saudara boleh digunakan untuk qirad dan mudharabah. Pada masa dahulu kita sudah sebenarnya tahu memproses gula, beras, tepung beras dan minyak sendiri. Apabila industri gergasi yang memproses barangan tersebut dibina, kita mula lupa kepandaian sendiri lantas mengharapkan orang lain memproses untuk kita. Oleh itu projek satu kampung satu produk sekarang perlu dikembangkan supaya masyarakat kita bebas semula dari industri gergasi yang sentiasa terperangkap dalam pasaran saham. Industri gergasi juga kerap kali merupakan suatu industri monopoli. Dalam krisis, industri gergasi juga akan memonopoli beban hutang riba. * Industri Maklumat: Zaman siber memberi implikasi bahawa operasi perkhidmatan sekarang tidak terikat dengan lokasi tertentu. Ini bermakna banyak urusan di zaman ini tidak memerlukan infrastruktur dalam bentuk bangunan mega kerana kita boleh berhubung walau di mana sekalipun kita berada. Dengan hanya berbekalkan PC laptop dan sistem Internet kita boleh berhubung biarpun berada di benua yang berbeza. Pelaburan mega untuk membina bangunan gergasi sudah tidak diperlukan lagi kerana ia bertentangan dengan perkembangan dan kemudahan di zaman IT. Era ini juga menyaksikan video conferencing, pembelajaran secara jarak jauh berkomputer, telemarketing dan sememangnya menunjukkan tidak perlu lagi binaan besar untuk menjadi dewan mesyuarat dan persidangan, bangunan universiti dan kompleks perniagaan. Masing-masing boleh berada sama ada di hutan atau di gurun tetapi masih boleh berurusan di antara satu dengan yang lain. Zaman pembinaan bangunan gergasi sebagai tempat tumpuan sudah berlalu. Begitu juga dengan shopping malls yang besar sudah tidak diperlukan. Kompleks begini memerlukan masyarakat pengguna yang rela berhutang. Akhirnya kita menjadi masyarakat pengguna yang dipergunakan (consumers are consumed). * Industri Pendidikan: Sistem pengkorporatan sedikit sebanyak membayangkan sistem wakaf yang berkaitan dengan bidang pendidikan sudah mula terhapus. Sistem wakaf terutama di masa lalu banyak membantu pelajar dan pengajar menghapuskan kebimbangan tentang punca rezeki dan membolehkan masing-masing menumpukan perhatian tentang pelajaran. Sekarang pelajar terpaksa memikirkan tenang kaedah berhutang sebelum mengisi borang permohonan universiti. Banyak institusi pendidikan dahulu ditaja melalui sistem wakaf. Kaedah wakaf dahulu membolehkan sebahagian daripada infrastruktur wakaf digunakan untuk tapak perniagaan supaya keuntungannya atau wang sewanya boleh menampung perbelanjaan perjalanan institusi wakaf yang berkenaan. Oleh itu sewa wang kedai-kedai di atas tanah wakaf umpamanya memang telah menyumbang kepada kos pengurusan masjid, kos pendidikan dan sebagainya. Pelajar-pelajar mungkin perlu didedahkan dengan lebih praktikal dibandingkan dengan teori. Sistem master/apprentice perlu dikembangkan. Di dalam hal ini perantis dilatih supaya kelak beliau juga boleh menjadi seorang master yang bebas dan berdikari. Pendidikan mestilah mengelak daripada menghasilkan seorang pekerja yang terperangkap dengan hutang dan kerja di kilang atau di pejabat sahaja tetapi membentuk seorang insan yang bebas dan seterusnya membebaskan masyarakatnya pula daripada pelbagai bentuk penindasan. Pendidikan yang terlalu lama dan terlalu berorientasikan teori mungkin tidak memberi manfaat yang bersesuaian dengan wang yang disumbangkan oleh pembayar cukai. * Industri Pertanian: Industri pertanian mendapat liputan yang baik sejak krisis ini bermula. Kita mula sedar bahawa selama ini kita terlalu bergantung dengan barangan import dan bukan setakat pemain import malahan buruh, eksekutif atasan dan modal pun import. Sehingga kegawatan ini berlaku barulah kita tahu bahawa ayam kita pun makan makanan import. Bukan setakat haiwan kita sahaja yang makan makanan import bahkan tanaman seperti padi, getah dan sawit pun bergantung kepada baja dan racun import yang diproses oleh syarikat kimia gergasi yang berasal dari luar negara. Kesedaran ini mestilah dipupuk lagi supaya kita bebas daripada pergantungan terhadap barangan luar negara. Projek pertanian malahan projek apa sekali pun mestilah berkonsepkan mesra alam. Manusia sebenarnya yang patut menyesuaikan diri dengan alam dan bukan sebaliknya. Projek dusun pelancongan, calet terapung untuk memancing dan beriadah, projek organic farming dan projek penanaman padi bersama penternakan ikan di bendang boleh diklasifikasikan sebagai projek mesra alam. Keadaan penanaman padi ketika musim kekurangan air dengan bantuan air dari empangan gergasi mungkin perlu dikaji. Projek empangan besar memerlukan perbelanjaan atau hutang yang besar juga. Kita tertekan untuk mendapatkan hasil yang lumayan untuk melunaskan hutang. Baja dan racun import yang banyak lazim diperlukan. Akhirnya sumber air kita tercemar dan ikan-ikan air tawar yang berada di dalam sistem tali air pun turut musnah. Yang mendapat untung ialah syarikat kimia gergasi dari luar negara dan badan-badan kewangan yang memungut untung riba daripada pinjaman pelaburan tadi. Apabila kita mula boleh menjelaskan hutang mereka pun mengubah nilai mata wang kita supaya hutang tetap bertambah dan tidak akan terjelas selama-lamanya. Mungkin kita boleh mencuba mencari spesies padi huma yang boleh digunakan di musim kemarau. Padi huma memang tidak memerlukan air yang banyak.Penyelidikan mencari baka yang optimum harus dibuat supaya kita dapat menanam padi atau tumbuhan yang tidak memerlukan kita mengubah alam tetapi kita yang patut mengadaptasi dengan keadaan. Oleh itu di musim berair kita tanam padi yang lazim dan di musim kemarau kita tanam spesies padi huma. Ini suatu kemungkinan. Di dalam keadaan terdesak kita seharusnya berani mencuba apa sahaja. Pada masa yang sama kita juga sepatutnya menambahkan lagi produktiviti di dalam bidang ternakan dan menambahkan kandungan tempatan di dalam makanan haiwan dan berusaha meningkatkan penggunaan baja dan racun tempatan yang bersifat organik dan asli. Sehubungan dengan industri pertanian, kita perlu memperluaskan projek pasar tani, pasar malam dan pasar sehari. Pasar sebegini memberi peluang hasil pertanian segar terjual secara terus tanpa orang tengah. Pengguna tidak perlu membayar kos penyejukan, kos pendinginan udara dan beban sewa premis perniagaan yang mahal. * Industri Hartanah dan Harta Sebenar: Pembelian hartanah dan barangan seperti emas dan perak mestilah dilihat sebagai pelaburan sebenar. Inilah peluang untuk menukarkan kertas dengan barangan fizikal. Penghantaran harta sebenar seperti emas ke sesuatu negara seperti ufti bunga emas sentiasa dikaitkan dengan penjajahan sesebuah negara. Dahulu kita terpaksa menghantar emas ke pihak Siam secara paksa. Sekatan Korea dan Indonesia antara rela dan terpaksa menghantar emas ke pihak Amerika. Korea konon berbangga menjadi pengeksport gelang emas sementara AS menjadi pengeksport kertas yang utama. Hartanah dan emas perak adalah lambang kemakmuran negara malahan tanda kewujudan negara. Negara mana yang tidak bertanah? Berikan mereka kertas dan kita ambil semula harta dan barangan sebenar. * Industri Kewangan: Krisis ini menjadi sukar dikawal kerana mata wang sebenarnya sudah tidak ada piawaian lagi. Sejak Nixon memutuskan hubungan di antara emas dengan dolar Amerika semua mata wang sedunia sudah terapung. Apa saja boleh berlaku. Yang malangnya sistem mata wang tanpa piawaian ini akan menyebabkan negara yang berhutang tidak akan terjelas hutangnya kerana nilai simbol wangnya sentiasa boleh diubah-ubah. Logikkah sistem wang yang mengatakan hampir 5,000 keping syiling 1 sen Malaysia sama berat dengan 1,000 keping syiling 1 sen Amerika? Adakah syiling mereka lebih tumpat? Adakah kita boleh menerima berat khayalan dan paksaan yang ada pada mata wang Amerika tersebut. Bagaimana kita boleh bercakap tentang trilion dolar/won/rupiah sedangkan kita tidak ada trilion unit emas sebagai sandaran. Goethe (1749-1832), seorang sarjana Barat (Jerman), telahpun mengkritik sistem wang yang mencetak kertas berdasarkan emas yang belum digali dan belum tentu wujudnya lagi. Tidak hairanlah kita seolah-olah diperhambakan oleh sistem mata wang dolar - suatu simbol wang yang mewakili hutang negara Amerika. Selagi kita menjadi pengeksport emas ke Amerika dan mengimport kertas dolar selagi itulah kita akan terhamba. Untuk kebebasan kita perlu kembali kepada piawaian emas malahan kembali kepada emas dan perak sebagai mata wang. Emas merupakan pemusnah wang kertas tanpa sandaran yang boleh dipermainkan dan dipolitikkan. Emas merupakan kunci kebebasan daripada spekulasi, manipulasi dan inflasi. Emas akan memperhambakan dolar. Inilah ketikanya untuk kita bersama-sama dengan pemimpin negara membebaskan diri kita dari kongkongan sistem wang yang tidak ada piawaian. Kesungguhan, keikhlasan dan kerjasama di peringkat antara negara yang terlibat mahu pun di peringkat parti sama ada penyokong atau pembangkang boleh menyaksikan kita menangani cabaran krisis dan mencari harapan untuk kebebasan manusia sejagat. Oleh: DR. HAKIMI IBRAHIM |
|||||
Last Updated: 07/06/03 ©NE2002