PENGENALAN
Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, perkembangan ekonomi
umat Islamnya boleh dibahagi kepada tiga fasa (Zin Mahmud 1999). Pertama,
daripada tahun-tahun 60-an dan 70-an. Kedua, daripada tahun-tahun 80-an
hingga hujung alaf lama. Fasa ketiga dan terbaru ialah pada alaf baru
ini. Fasa ini paling menarik kerana sistem ekonomi atau lebih tepat
sistem kewangan kapitalis dunia terpaksa dinilai semula akibat dari
krisis ekonomi Asia pada tahun 1997. Ini memberi peluang untuk model
kewangan menurut amalan Islam sebenar diketengahkan tanpa perlu kepada
islamisasi sistem riba kapitalis lagi.
FASA PERTAMA
Umat Islam di Malaysia mula mengorak langkah mengisi
dan mencari erti kemerdekaan terutamanya dari segi ekonomi dan politik
apabila merdeka pada tahun 1957. Maka aktiviti tahun-tahun 60-an dan
70-an berkisar kepada soal membangunkan umat Islam dalam bidang ekonomi.
Ketika itu, umat Islam di seluruh dunia masih teramat mundur dalam bidang
ekonomi.
Seperti yang lazim di kebanyakan negara, untuk menentukan
bahawa ekonomi negara bergerak ke arah kemakmuran maka Bank Negara (Central
Bank) ditubuhkan. Di Malaysia, Bank Negara Malaysia telah ditubuhkan
pada 26 Januari 1959. Antara lain Bank Negara Malaysia memainkan peranan
dalam memandu ekonomi negara ke arah pertumbuhan, tahap pengangguran
yang rendah, kestabilan harga, imbangan dalam pembayaran peringkat antarabangsa
yang baik, menghapuskan kemiskinan dan menstrukturkan masyarakat (Bank
Negara 2002). Dalam melaksanakan tanggung jawab Bank Negara itu, perkara
utama yang mesti dibuat ialah membekalkan matawang dan menjaga nilainya.
Dalam fasa ini bidang ekonomi di Malaysia amat ketara
dikuasai oleh orang bukan Islam. Kebanyakan negara-negara umat Islam
lain juga baru mencapai kemerdekaan dan cuba berusaha membangunkan negara
masing-masing tanpa perlu memikirkan tentang label-label Islam dalam
segala usaha ekonomi. Ini mungkin kerana tiada apa yang dimiliki untuk
'diislamkan' atau diberi identiti Islam.
Sememangnya, umat Islam memandang bidang ekonomi dunia
dikuasai oleh bukan Islam. Masalah yang paling besar adalah riba. Akan
tetapi umat Islam tidak dapat lari daripada riba kerana sistem ekonomi
dunia dikuasai orang bukan Islam. Maka fatwa yang dipakai ketika itu
adalah bahawa kedudukan ekonomi umat Islam berada dalam darurat. Oleh
itu riba yang asalnya dikenali sebagai bunga ditukar istilah menjadi
faedah, dan ia pula dianggap dibolehkan. Walaupun terdapat tentangan
daripada segolongan ulama, tetapi pemahaman mengenainya adalah begitu
(Zin Mahmud 1999). Walau bagaimanapun masalah riba pada peringkat ini
masih lebih bersifat masalah individu seperti sama ada menerima atau
tidak bunga yang diberi oleh bank-bank yang semuanya milik bukan Islam.
FASA KEDUA
Dalam fasa kedua, usaha ekonomi umat Islam tertumpu
kepada pembangunan dana dan perbankan bumiputera umpamanya Tabung Haji,
Bank Bumiputra, Bank Kerjasama Rakyat dan Amanah Saham Mara dan seterusnya
membawa kepada institusi-institusi seperti Bank Islam, Skim Perbankan
Tanpa Faedah (SPTF) dan Takaful. Dua institusi diberi di sini sebagai
contoh iaitu Tabung Haji dan Bank Islam.
Tabung Haji
Bertepatan dengan konsep Islam sebagai "Addeen" agama
untuk dunia dan akhirat, setiap ibadah yang difardhukan oleh Allah s.w.t.
memberi manfaat dunia dan akhirat. Atas iktikad mengerjakan haji, umat
Islam terdorong mengumpulkan wang bagi membolehkan mereka yang berkemampuan
memenuhi perbelanjaan ke Tanah Suci.
Bagi mengelakkan unsur riba' yang haram di sisi Islam,
berbagai kaedah tradisional menyimpan wang diamalkan. Ada juga yang
menjual ternakan dan harta benda warisan bagi mencukupkan perbelanjaan
ke Tanah Suci. Ini akhirnya mengakibatkan tekanan ekonomi ke atas diri
sendiri dan keluarga, semasa mereka di Tanah Suci dan setelah kembalinya
mereka dari menunaikan fardhu haji. Secara tidak langsung amalan ini
turut merosakkan struktur ekonomi luar bandar serta mengancam pertumbuhan
ekonomi negara.
Atas kesedaran dan keinsafan ini, serta bagi membantu
mereka menyimpan sedikit demi sedikit tanpa melibatkan perkara-perkara
yang haram, Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji ditubuhkan pada
bulan November tahun 1962, dan beroperasi pada 30 September tahun 1963.
Perbadanan ini wujud hasil penerimaan kertas kerja Profesor Di Raja
Ungku Aziz bertajuk "Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-bakal Haji" pada
tahun 1959.
Untuk mempertingkatkan lagi perkhidmatan dan kemudahan
kepada bakal-bakal haji, dalam tahun 1969 perbadanan tersebut dicantumkan
dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji yang beroperasi di Pulau Pinang,
dan dengan itu lahirlah Lembaga Urusan dan Tabung Haji atau ringkasnya
Tabung Haji.
Tabung Haji telah menetapkan matlamatnya iaitu memberi
perkhidmatan yang baik, sempurna dan memuaskan kepada jemaah haji Malaysia
dalam urusan menunaikan fardhu haji sambil memberi keuntungan yang maksimum
kepada pendeposit-pendeposit atas wang simpanan mereka.
Perkembangan Tabung Haji menunjukkan bahawa ia bukan
sahaja untuk menguruskan pemergian jemaah haji ke Tanah Suci, malah
ia juga berfungsi sebagai suatu badan alternatif kepada umat Islam Malaysia
untuk menyimpan wang sambil melabur secara halal dan mengikut lunas-lunas
Islam (Tabung Haji 2002).
Bank Islam
Bank Islam Malaysia Berhad mula beroperasi sebagai Bank
Islam Malaysia yang terulung pada 1 Julai 1983. Pada asasnya penubuhannya
adalah khusus untuk memenuhi keperluan kewangan orang Islam dan masyarakat
amnya.
Bank Islam disenaraikan di papan Bursa Saham Kuala Lumpur
(KLSE) pada 17Januari 1992, Bank Islam telah berkembang dengan 82 buah
cawangan di seluruh negara. Bank ini menawarkan 45 produk pelbagai dan
perkhidmatan Perbankan Islam.
Bank Islam turut membabitkan diri dalam perkembangan
sektor kewangan Islam yang berkaitan dengan perbankan, insuran (takaful),
pelaburan saham, penyewaan beli, penyelidikan dan latihan serta perkhidmatan
perbankan Islam yang berkaitan.
Peranan Bank Islam dikatakan adalah untuk merealisasikan
impian Malaysia dalam menubuhkan dan memperkembangkan sistem kewangan
Islam yang moden dan setanding serta sebagai altenatif kepada sistem
konvensional yang sedia ada.
Fasa kedua menyaksikan umat Islam di Malaysia mula berpengaruh
dalam bidang ekonomi termasuk dalam institusi-institusi kewangan tempatan
dan di luar negara. Masalah riba bukan lagi bersifat masalah individu.
Ia sudah mula menjadi masalah peringkat institusi yang dikuasai oleh
umat Islam. Sebagai contoh bank-bank kepunyaan umat Islam lazim diberi
label Islam atau nama-nama yang menggambarkan 'keislaman institusi'
untuk membezakan masing-masing dari institusi kapitalis-riba lain. Proses
penamaan ini seiring dengan trend semasa yang gemar dengan perkataan
islamisasi. Islamisasi bank seakan-akan menunjukkan kepada islamisasi
faedah kerana faedah merupakan perkara utama dalam perbincangan halal/haramnya
institusi bank. Sama ada sistem itu benar-benar berbeza lagi bebas atau
merdeka dari sistem riba belum lagi ternyata sehinggalah pada tahun
1997 apabila krisis ekonomi Asia berlaku.
Fasa Ketiga
Krisis ekonomi Asia yang bermula Julai 1997 memulakan
fasa ketiga sambil memaksa umat Islam memikir semula tentang apa yang
patut menjadi keutamaan dalam urusan ekonomi Islam. Mengapa ringgit
Malaysia dalam sekelip mata hilang nilainya sehingga 60% dan rupiah
Indonesia pula hilang 600% nilainya. Apa erti bunga atau faedah yang
lazimnya sekitar 10% jika kehilangan nilai matawang sebegitu dahsyat?
Kenapa faedah tidak berfaedah? Apa gunanya islamisasi bank atau islamisasi
faedah? Di manakah kemerdekaan bank-bank Islam? Apakah cukup sekadar
mengadakan bank Islam tanpa ada wang Islam? Apakah sebenarnya wang menurut
syariat Islam? Kenapa wang kertas boleh jadi bahan mainan spekulator.
Kenapa dolar tidak ada sandaran emas? Adakah dolar Amerika terus-menerus
mesti diterima sebagai piawaian matawang untuk umat Islam? Di mana dinar
emas dan dirham perak setelah jatuhnya kerajaan Khalifah Turki?
Soalan-soalan ini agak menarik. Lebih menarik lagi
ialah peristiwa krisis ekonomi ini dikaitkan dengan George Soros seorang
spekulator matawang. Beliau dikatakan menyerang baht Thailand yang akhirnya
membawa kepada kejatuhan nilai matawang negara-negara di rantau Asia.
Walau apapun beliau juga telah menunjukkan kepada umat Islam bahawa
sistem kapitalis boleh diperbodohkan. Oleh itu kenapa kita mesti mempercayai
dan mematuhi sistem tersebut? Kenapa perlu islamisasi sistem riba/kapitalis?
Krisis ekonomi Asia itu juga telah membawa kepada Perdana
Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad membuat gesaan di Hong Kong Supaya
diharamkan perdagangan matawang (Mahathir 1997). Sememangnya seruan
dari Malaysia itu mulanya tidak diminati oleh masyarakat kewangan dunia.
George Soros, cuba membangkang seruan tersebut (Financial Times 1997).
Walau bagaimanapun akhir-akhir ini saranan Dr Mahathir sudah mula diambil
perhatian malah disokong oleh George Soros pula. Dalam pada itu Dr Mahathir
sendiri telah membuat perubahan di Malaysia yang melibatkan kawalan
matawang sambil menolak peranan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) di
pentas kewangan dunia (Utusan Malaysia 1998a). Menurut Dr Mahathir selesaian
IMF sebenarnya semakin memeritkan lagi negara yang menerima pakai bantuannya.
Dalam perkembangan yang berkaitan Dr Mahathir (Utusan
Malaysia 1998b) berkata bahawa sebenarnya kawalan matawang oleh Malaysia
tidak perlu dilaksanakan jika rejim kewangan antarabangsa mampu menghalang
pihak tertentu 'merompak' kekayaan negara lain. Beliau juga menambah
bahawa struktur sistem kewangan antarabangsa perlu diubah bagi mengelakkan
pihak tertentu terus menyerang matawang negara membangun.
Krisis 1997 telah memulakan kesedaran dan permulaan
perubahan atau rombakan kewangan yang boleh mempengaruhi sistem riba
kewangan dunia. Setiap perubahan memerlukan kefahaman yang mendalam
tentang apa yang kita cuba nilaikan semula. Maka perbahasan dalam kegawatan
ekonomi perlu ditumpukan kepada persoalan asas tentang hakikat wang
dan sistem kewangan sekarang yang jelas gagal membawa kestabilan kerana
sistem yang ada semakin menampakkan sifat spekulatif sahaja. Dalam hal
perubahan ini kerajaan Malaysia telah mula mencabar sistem riba dengan
menyeru supaya diharamkan jual beli matawang (Mahathir 1997).
Kawalan Ringgit Malaysia (Utusan Malaysia 1998a) yang
dilakukan di Malaysia menunjukkan kesungguhan untuk menjadikan matawang
bebas dari para spekulator dan dengan itu bebas dari ahli riba seperti
Soros dan dari cengkaman parti atau institusi riba seperti IMF..
Dalam keserabutan krisis kewangan global ini kita perlu
mencari jawapan dengan kembali kepada amalan Islam. Sejarah Islam dengan
jelas memperakui emas dan perak sebagai wang. Wang ini tidak boleh dimakan
usia, rosak, disusut nilai atau dicetak.
Pembatalan wang kertas ringgit Malaysia RM 1000 dan
RM 500 sebenarnya ialah suatu langkah yang sangat bersesuaian dalam
mengetengahkan Dinar dan Dirham. Nilai Dinar emas (yakni kepingan emas
22 karat seberat 4.25 gram) buat masa ini, adalah tidak lebih dari RM
200. Maka dengan pembatalan itu, sudah tidak ada lagi wang kertas yang
melebihi nilai Dinar. Wang kertas paling besar hanyalah RM 100. Sekarang
wang kertas sudah mula sesuai dijadikan sebagai 'fulus' yakni sebagai
'duit pecah' atau loose change sahaja.
Dr Mahathir selanjutnya telah mencadangkan dinar emas
digunakan sebagai wang untuk urusan perniagaan antara negara-negara
Islam dan untuk simpanan nasional (Mahathir 2001). Sebelum itu beliau
telah merasmikan Royal Mint of Malaysia pada tahun 2000 (NSTP 2000).
Antara projek Royal Mint ialah menempa koin emas bernama Kijang Emas
iaitu emas bulion Malaysia setanding dengan koin Kruger, Eagle dan Maple
Leaf. Royal Mint juga sedang bekerjasama dengan Islamic Mint Malaysia
untuk menempa koin dinar emas.
MASALAH BERKAITAN FASA 1 DAN 2
Krisis ekonomi 1997 memerlukan kita melihat semula kenapa
fasa 1 dan 2 tidak menjadikan ekonomi umat Islam bebas dari sistem riba
dunia. Mengapa urusan ekonomi umat Islam boleh dipengaruhi oleh IMF,
FED dan dolar Amerika? Beberapa perkara asas perlu dikaji untuk tujuan
pembebasan sebenar. Antaranya ialah:
Hakikat Wang (Hakimi 1999)
Kecelaruan tentang wang sekarang memaksa kita memahami
secara lebih jelas tentang wang itu sendiri. Menurut Dr Mahathir wang
tidak boleh dijual beli kerana ianya tiada nilai intrinsik ( Mahathir
1998a ). Memang benar kenyataan itu keranawang sekarang hanyalah kertas
yang sah diperlakukan apabila kerajaan membuat periystiharaan tentang
nilainya. Ia tiada nilai sebenar seperti mana wang koin Dinar emas atau
Dirham perak. Jika wang sekarang tiada nilai intrinsik maka kenapa
ianya masih menjadi suatu komoditi untuk dijual beli?
Beberapa Masalah Wang Kertas
a) Wang kertas jika disimpan di rumah (dalam tabung
atau di bawah tilam misalnya) akan disusut nilai oleh kuasa pasaran
lebih-lebih lagi jika disimpan untuk jangka masa yang lama. Dalam keadaan
sekarang sekiranya dibandingkan dengan dolar Amerika Syarikat, uang
tersebut boleh disusut nilai dalam tempoh sehari malahan sejam sahaja.
b) Jika demikianlah sifat uang yang disimpan di rumah,
ini bererti kita 'terpaksa' menyimpan wang di bank kerana di situ lazimnya
wang akan ditokok tambah melalui faedah. Oleh itu susut nilai boleh
dielakkan menurut kadar semasa yang diberikan oleh pihak bank. Ini bermakna
faedah yang kita dapat dari bank bukanlah keuntungan tetapi pembetulan
untuk susut nilai yang berlaku.
c) Kemungkinan juga wang yang disimpan di bank pun tidak
selamat dari susut nilai yang berlebihan. Malahan wang kertas kita boleh
lupus langsung kerana sama ada akaun dibekukan atau bank ditutup. Keadaan
itu sudah menjadi agak lazim sekarang di beberapa negara luar. Faedah
100% setahun pun sudah tidak bermakna lagi apabila susut nilai wang
semakin menjadi-jadi seperti yang dialami di Indonesia iaitu wang disusut
nilai melebihi 600% (Utusan Malaysia 1998c).
d) Apabila kita meminjam 1juta rupiah dari sahabat kita
dan kita pulangkan 1 juta rupiah itu selepas 10 tahun sebagai contoh,
kita katakan tiada riba. Dari segi kuantiti memang betul tiada riba.
Tetapi 10 tahun lagi 1 juta rupiah tidak mempunyai nilai atau kuasa
membeli yang sama. Tentulah tidak adil peminjam membayar pada kadar
yang sama sebegini walaupun tidak digelar riba.
Contoh-contoh di atas dapat dikaitkan dengan kenapa
zaman sebelum merdeka dahulu kita boleh bercakap tentang setengah sen
dan suku sen. Menurut pakar ekonomi, perkara ini berlaku kerana faktor
inflasi. Tetapi mengikut takrifan Adam Smith (George J W Goodman 1982)
di dalam bukunya Paper Money, inflasi bermakna cukai tersirat yang disebabkan
oleh lebihan wang kertas yang tercetak.
Perlu diingatkan bahawa wang kertas seperti dolar Amerika
Syarikat dahulunya bersandarkan emas. Setiap cetakan wang kertas mestilah
bersandarkan jumlah emas yang tertentu. Dengan demikian wang kertas
yang kita gunakan sebenarnya ialah resit untuk kita tuntut emas dari
pihak yang berkenaan. Kertas ini dijamin oleh kerajaan biasanya dengan
tulisan 'sah diperlakukan' sebanyak mana yang tercatit di atasnya. Resit
ini sebenarnya jarang kita guna untuk menuntut emas tersebut. Sebagai
contoh pada muka hadapan wang kertas 10 dolar Amerika Syarikat siri
1928 ada tercatit " Redeemable in gold on demand at The United States
Treasury............." (Peter Kershaw 1994).
Sejak Ogos 1971 Presiden Nixon telah memutuskan hubungan
di antara emas dengan wang kertas dolar Amerika Syarikat. Ketika itu
pihak Amerika Syarikat memerlukan belanja yang banyak untuk membiayai
perang di Vietnam. Keputusan itu dibuat kerana tuntutan dari negara-negara
yang menyimpan dolar untuk mendapatkan emas sudah melebihi emas yang
ada di dalam simpanan. Ini berlaku kerana lebihan cetak wang kertas.
Keadaan ini menyebabkan negara Amerika Syarikat tergugat kerana peras
ugut melalui tuntutan emas (Adam Smith 1982, Kurtzman 1993).
Tanpa piawaian emas, pihak bank Amerika Syarikat bebas
mencipta wang melalui cetakan wang kertas tanpa ikatan dengan simpanan
emas lagi. Maka wang kertas dolar pun menjadi wang spekulasi kerana
tiada sandaran emas lagi. Semua wang kertas di dunia yang mengambil
dolar sebagai bandingan pun turut tiada bersandaran emas.
Kurtzman berkata keputusan yang dibuat Nixon telah menjadikan
wang yang asalnya suatu yang benar dan nyata kepada suatu abstraksi
tersimpul atau twisted abstraction (Kurtzman 1993). Dalam buku yang
sama dikatakan bahawa wang kertas itu masih lagi suatu nota janji untuk
pembayaran tetapi pembayaran apa kepada siapa? (It is still a promise
to pay. But to pay what to whom?)
Menurut James Dines, penulis buku Mass Psychology, tindakan
memarahi spekulator wang masih lagi belum mencukupi kerana katanya ini
adalah suatu low state of blame selagi kita belum mempertikaikan sistem
wang kertas itu sendiri dan kembali kepada emas dan perak semula (Dines
Letter 1997).
Lagi Masalah Wang Kertas:
Alat Perhambaan
Khalid Noorshah menghuraikan dalam ruangan Pandangan
Songsang MASSA tentang uang kertas sebagai alat perhambaan (MASSA bil.
126, 1998). Pandangan itu mungkin bukan songsang untuk sebahagian pemerhati
masyarakat seperti Goethe, Juenger, Ezra Pound dan Richard Wagner. Melalui
tulisan, ucapan, puisi, drama dan muzik, mereka telah mengupas tentang
sifat tamak manusia yang melabelkan dan memaksa kertas sebagai simbol
uang yang mewakili emas yang belum digali.
Goethe (1749-1832) mengkritik uang kertas (note) dalam
Faust seperti yang diterjemahkan oleh Louis MacNeice, pada tahun 1952
dalam buku Goethe's Faust:
Be it known to all men who may so require
This note is worth a thousand crowns entire
Which has its guarantee and counterfoil
In untold wealth beneath Imperial soil
And this hereby is a substitute approved
Until such time as the treasure can be moved.
Ezra Pound, pada tahun 1937 menghurai dalam puisi tentang
riba dalam Cantos beliau. Katanya Usura Contra Naturam atau riba
itu bertentangan dengan fitrah. Beliau mementingkan wang dari logam
yang tidak boleh 'beranak pinak' (faedah riba) kerana tidak boleh dicetak
sewenang-wenangnya (Metal is not reproduceable).
Kritikan oleh Ezra Pound dan Goethe tenggelam dalam
sifat tamak dan rakus manusia dan akhirnya kertas itu kini mengambil
peranan penting sehinggakan boleh disewa dan dijual beli. Juenger seorang
ahli falsafah Jerman pula dalam tahun 1949 telah menulis tentang kemusnahan
wang apabila emas dan perak tidak digunakan lagi sebagai wang. (Lihat
The Destruction of Money dalam The Failure of Technology
oleh Juenger).
Sekarang sistem kertas itu juga mengakibatkan hasil
negeri kita diuftikan atau dirompak secara tidak langsung kerana wang
kertas boleh disusut nilai sewenang-wenangnya. Malahan nasib pemimpin
pun bergantung pada kertas yang boleh diberi indeks bandingan dengan
wang kertas cetakan Amerika Syarikat. Yang menghairankan ialah kita
boleh menerima 1000 keping koin 1 sen Amerika Syarikat untuk ditukarkan
dengan hampir 4000 keping koin 1 sen Malaysia. Adakah koin mereka dibuat
daripada emas atau ketumpatan logam koin Amerika Syarikat sangat tinggi?
Jika tidak apakah yang menyebabkan koin Amerika Syarikat lebih berat
walau pun bilangannya sedikit? Kenapa kita menerima berat bayangan dan
khayalan ini ? Wang kertas memang sudah jelas merupakan suatu sistem
wang paksaan.
Perang Riba
Dalam penilaian semula sistem kewangan kita tidak harus
lupa kaitan sistem ini dengan masalah riba. Kita mesti memahami bahawa
kegawatan kewangan ini tidak dapat dipisahkan dari 'Perang Riba' sebagaimana
periystiharan perang oleh Allah dan Rasul-Nya di dalam Al-Quran terhadap
pengamal riba.
Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada
Allah dan tinggalkanlah sisa riba, jika kamu adalah orang-orang yang
beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (yakni meninggalkan sisa
riba), maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu.............................
(Surah al-Baqarah ayat 278).
Imran N Hosein, dalam bukunya The Importance of The
Prohibition Of Riba In Islam telah mengaitkan wang kertas dengan
riba (Imran N Hosein, 1996). Menurut beliau riba ditakrifkan sebagai
lebihan yang didapati melalui kaedah yang tidak adil iaitu antara lain
seperti penipuan, penyogokan, helah perniagaan dan urus niaga spekulatif.
Riba boleh berlaku di dalam bentuk 'pencurian yang sah' (legalised
theft) seperti yang berlaku di dalam sistem perbankan.
Berkenaan dengan wang kertas, penipuan (gharar) telah
menjadi asas keuntungan yang tidak adil. Ini berlaku melalui penggantian
wang sebenar (emas dan perak) dengan wang artificial yakni kertas. Lebihan
didapati dengan kaedah rejim kewangan mencipta wang dari cetakan berlebihan
ataupun menyusut nilai wang di tangan orang. Wang ini tidak membolehkan
kita menebus atau mendapatkan emas yang menjadi sandaran. Wang kertas
dan sistem perbankan sering menjadi simbol institusi penciptaan lebihan
(yakni riba). Apa yang dikatakan kuasa pasaran bersama-sama dengan sentimen
dan usaha pihak sesetengah bank pusat dapat menentukan tahap susut nilai
dan lebihan dalam pencetakan wang.
Pada asasnya perniagaan ialah suatu proses tukar barangan
(bartering). Dalam sejarah Islam apabila kita membeli sesuatu barangan
contohnya tanah atau beras, kita akan tukar dengan emas (dengan nama
Dinar atau apa sahaja) atau dengan perak (contohya dengan nama Dirham).
Islam melarang pertukaran uang dalam bentuk emas dengan emas atau perak
dengan perak jika terdapat lebihan kerana ini melibatkan riba.
Apabila sistem wang kertas digunakan maka pertukaran
wang dengan wang menjadi semakin rumit. Perubahan nilai simbol wang
yakni kertas menurut masa (hari, jam dan minit) menyebabkan urusniaga
terperangkap dalam pertukaran yang membolehkan lebihan didapati. Lebihan
secara helah indeks bandingan wang ini bersifat riba malahan (simbol)
wang yang kita perlukan untuk membeli barangan terperangkap dalam 'perniagaan
berindeks'. Barangan komoditi dan syarikat-syarikat pun terperangkap
dalam sistem berindeks ini. Seterusnya orang seperti George Soros pun
boleh berspekulasi melalui indeks tertentu contohnya dalam pasaran wang,
pasaran saham dan pasaran hadapan.
'ayn Wang Emas dan dayn Wang Kertas
Imam Malik radiallahu'anhu telah menjelaskan kepada
kita bahawa wang ialah apa-apa barangan yang lazimnya diterima pakai
sebagai bahan tukaran. Menurut sejarah Islam, tiada barangan yang boleh
dipaksa menjadi wang kerana manusia bebas menggunakan apa sahaja
barangan sebagai tukaran. Wang kertas seperti dolar Amerika Syarikat
tidak ada sifat 'ayn (barangan lazim yang ketara) malahan nilainya dipaksa
oleh kuasa pasaran. Jika kertas dianggap sebagai barangan pun nilainya
hanyalah mengikut berat kertas dan bukan menurut nilai nombor yang tertera
di atasnya.
Wang kertas mungkin hanya boleh dianggap sebagai 'dayn'
kerana ianya bukan barangan ketara. Dayn ialah resit atau surat hutang
untuk pemilikan emas atau perak (itu pun jika ada sandaran antara kertas
dengan emas). Tetapi hukum Islam tidak membenarkan hutang dijadikan
suatu bahan tukaran. Penggunaannya pun mestilah terhad sebagai kontrak
peribadi. Di dalam Kitab Al-Muwatta (31.19.44) ada diriwayatkan tentang
resit-resit yang dijual beli di Pasar Al-Jar sebelum barangan sampai.
Marwan ibn al-Hakam telah menghantar pengawalnya untuk mengambil semula
resit tadi dan mengembalikan kepada tuan asalnya.
Dari sejarah Islam kita tahu bahawa wang emas (Dinar)
dan wang perak (Dirham) telah digunakan sehinggalah berakhirnya Kerajaan
Islam Turki. Piawaian menurut berat yang dikenali sebagai Piawaian Khalifah
Umar Al-Khattab radiallahu'anhu menentukan iaitu 10 dirham bersamaan
dengan 7 dinar. Setiap Dinar mestilah ada 4.25 gram emas dan setiap
Dirham ada 3 gram perak. Dinar dan Dirham telah digunakan untuk urusan
perniagaan, menabung dan juga untuk membayar zakat (Umar Vadillo 1996).
Wang Kertas Tidak dizakat
Umar Vadillo juga menyatakan dalam buku yang sama bahawa
Shaykh Muhammad 'Illish (1802-1881), seorang pakar pengajian fikah di
Universiti Al-Azhar telah menyebut di dalam fatwa beliau bahawa wang
kertas tidak dizakatkan sebagaimana wang emas dan wang perak kerana
ia dianggap sebagai fulus (uang koin tembaga) atau loose change.
Ia hanya mewakili wang dan tiada nilai barangan. (Lihat fatwa beliau
dalam terjemahan Al-Fath Al-'Ali Al- Maliki ms 164-165). Wang kertas
bukan barangan. Jika hendak dizakat pun mestilah diukur menurut berat
bukan menurut nilai tertulis yang boleh pula berubah nilai tukarannya
dengan uang kertas lain.
Dinar-Dirham dan Pemerintah/Kerajaan
Dalam Islam uang sememangnya berkait rapat dengan kerajaan.
Kajian Umar Vadillo juga menunjukkan bahawa Al-Qurtubi dalam Tafsir
beliau telah memberi tafsiran tentang ayat al-Quran yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman! Patuhlah kepada Allah
dan patuhlah kepada Pesuruh Allah dan mereka yang memerintah kamu....."
(ayat 59 dari surah An-Nisa)
Ayat tersebut merupakan satu perintah supaya umat Islam
taat kepada pemerintah dalam 7 perkara. Hal pertamanya ialah penempaan
Dinar dan Dirham dan yang lainnya ialah menetapkan berat dan ukuran,
keputusan mahkamah, haji, Jumu'ah, Hari Raya (Puasa dan Korban) dan
Jihad.
Wang sejati yang bebas dari spekulasi menandakan bahawa
kerajaan juga merdeka dan bebas daripada kuasa spekulator. Tiada kemerdekaan
tulen selagi tiada wang tulen. Tidak hairanlah Al-Qurtubi meletakkan
perkara Dinar dan Dirham sebagai perkara utama tentang patuh dan taat
kepada pemerintah.
Faedah Yang Tidak Berfaedah
Persoalan pokok bukannya tentang faedah. Persoalan
faedah hanyalah suatu decoy atau umpan untuk memerangkap kita dalam
perdebatan halal/haram yang tidak berkesudahan. Wang simpanan kita mungkin
berbunga (atau untung?) sehingga 100 peratus tetapi sebenarnya faedah
atau bunga itu tidak berfaedah langsung jika wang boleh disusut nilai
hingga beratus-ratus peratus oleh institusi riba. Jadi wang itu sendiri
tiada nilai hakiki. Jelasnya isu halal/haram faedah dalam kontek wang
kertas hanya akan menyebabkan kita tidak nampak bahawa faedah sudah
tidak berfaedah jika wang sudah tiada sandaran emas lagi.
Bank Islam atau Wang Islam?
Secara amnya tujuan utama sesebuah bank ditubuhkan ialah
untuk menyimpan harta supaya selamat. Keselamatan ini mestilah
dari segi jaminan kuantiti dan kualiti ke atas barangan yang
disimpan. Lazimnya dahulu orang ramai menyimpan barang berharga mereka
pada tukang emas kerana mereka mempunyai peti besi untuk tujuan menyimpan
dengan selamat. Tukang emas akan mengeluarkan resit dengan janji akan
memulangkan simpanan tersebut. Menurut Mohammad Muslehuddin (1974) begitulah
caranya tukang emas menjadi pelopor sistem bank moden di England.
Dahulu emas dan perak digunakan sebagai wang dan nilainya
(beratnya) tidak berubah kerana sifat kimia dan fizikal logam tersebut
yang stabil. Tukang emas ketika itu dapat menjamin nilai wang kerana
berat emas dan perak tidak akan berubah kecualilah dikikis oleh tukang
emas tersebut. Resit-resit tadi adalah juga permulaan sistem wang kertas.
Tukang emas juga boleh menipu dengan mengadakan resit berlebihan dari
deposit emas. Begitulah juga cara pihak bank mencetak kertas berlebihan
kemudian meminjamkan kepada orang lain sambil mengenakan faedah. Mereka
mencipta wang dan mendapat faedah secara percuma.
Dalam sistem perbankan sekarang resit atau wang kertas
sudah diberi realiti dan dianggap sebagai wang (bukan setakat lambang)
malahan dicetak tanpa bersandarkan emas ataupun perak. Itulah yang terjadi
apabila Nixon memutuskan ikatan emas dengan dolar pada tahun 1971. Lambang
wang sudah menjadi wang. Kualiti uang sudah tidak terjamin sebagaimana
yang kita lihat dalam fenomena kejatuhan nilai wang sesetengah negara
sehingga beratus-ratus peratus pada tahun 1997. Perkara asas yang perlu
diketengahkan ialah bank lazim mahupun bank Islam tidak lagi dapat menjamin
kualiti wang. Pihak bank mungkin boleh menjaga kuantiti kerana institusi
tersebut dapat mencetak wang tanpa sandaran. Jika tidak dapat menjamin
kualiti wang, ini bermakna sistem bank atas nama apapun sebenarnya sudah
gagal berfungsi. Ini seolah-olah peti besi tukang emas (bank) sudah
dicerobohi.
Penceroboh itu mungkin orang luar seperti spekulator
matawang tetapi pihak bank juga boleh 'mengikis' nilai wang kerana pihak
tersebut boleh mencetak wang dengan berlebihan. Ada yang cuba mengatakan
nilai ini hilang kerana inflasi tetapi Adam Smith (1982) di dalam bukunya
Paper Money mengatakan inflasi bererti cukai tersirat yang disebabkan
oleh lebihan cetakan wang kertas.
Spekulator matawang dapat 'merompak' nilai wang dalam
sistem bank atau sistem keuangan negara lain kerana nilai wang sudah
tidak dapat dikaitkan dengan barangan yang nyata lagi. Nilai wang tidak
dapat ditetapkan bahkan manusia melihat lambang wang pula sebagai barangan
yang boleh dijual beli. Akhirnya nilai wang tidak dapat dikawal oleh
kerajaan tetapi dikawal selia oleh hegemoni perbankan, pencetak wang
dan pemain-pemain bursa saham dunia dan spekulator. Oleh itu dapatlah
kita lihat betapa bank Islam belum cukup jika tiada wang Islam iaitu
dinar dan dirham. Wang Islam bukan sekadar lambang tetapi pada hakikatnya
memang wang tanpa perlu kepada perundangan kerajaan atau mana-mana institusi.
'Matinya Wang dan Bank'
Kurtzman (1993) apabila memerihalkan tentang 'kematian
wang' dalam buku The Death of Money berkata bahawa sekarang wang
bukan lagi barangan tetapi telah menjadi suatu sistem. Wang ialah rangkaian
yang terdiri dari berjuta-juta komputer yang bertaut dengan saham, bond,
kadar faedah, uang kertas, pasaran hadapan, options, kad kredit, kad
untuk fotokopi dan sebagainya.
Perhatikan bahawa wang ini tidak lagi memerlukan peti
simpanan ataupun bank kerana semua 'wang' berada di dalam cakera padat
sahaja. Wang ini mudah 'meruap' dan tidak stabil. Inilah wang megabyte
atau wang-E (elektronik). Wang ini hanyalah imej di skrin komputer dalam
bentuk indeks termasuklah indeks Dow Jones dan BSKL, indeks matawang,
indeks pasaran hadapan dan pelbagai lagi indeks pasaran abstrak. Berjuta-juta
orang termasuklah pelabur dalam syarikat, ahli bank, pemegang akaun
bank, pemain saham dan pengurus dana terlibat secara langsung dan tidak
langsung dalam pergerakan indeks matawang ini. Sudah tentu pemain indeks
ternama seperti George Soros dapat 'bermain' dengan selesa. Permainan
turun-naik indeks matawang bukan sahaja menguntungkan para spekulator
ini bahkan boleh pula menentukan jatuh bangunnya kerajaan.
Jika peti simpanan tidak diperlukan lagi untuk menyimpan
wang maka bank juga tidak diperlukan lagi. Menurut Kurtzman lagi,
era wang-E telah menjadikan bank sebagai institusi yang outmoded atau
ketinggalan zaman. Matinya wang bermakna matilah juga sistem bank. Sistem
bank hidup pada amnya di atas dasar menyewakan wang tetapi sekarang
riba dalam bentuk sewa wang pun sudah tidak begitu menguntungkan. Sistem
bank menjadi lapuk kerana pengurus dana seperti George Soros boleh mempermainkan
sistem bank. Mereka dapat menguruskan dana dan mendapat untung tanpa
perlu pelaburan yang besar. Hanya berbekalkan sebuah supercomputer sahaja
sudah memadai untuk bermain dengan bermacam-macam jenis indeks dalam
pelbagai pasaran abstrak. Pihak bank pula terpaksa berbelanja untuk
mengadakan antaranya bangunan bank, beribu-ribu pekerja dan kenderaan
sebelum boleh beroperasi dan mengira untung-ruginya.
Kita perlu pertimbangkan di sini iaitu jika sistem wang
Islam tidak wujud maka sistem bank Islam tidak dapat membebaskan diri
dari sistem perbankan lazim. Oleh kerana semua wang dan lambang wang
yang berkaitan sudah terjalin dalam suatu sistem maka ianya tidak bebas
dari spekulasi dan manipulasi. Sistem itu pula memang sistem yang ditaja
oleh rejim riba. Seperti sistem bank lazim, bank Islam juga tidak akan
berupaya untuk menjamin nilai atau kualiti wang sekarang. Kualiti wang
akan sentiasa ditakrifkan oleh sistem riba yang berdasarkan dolar Amerika.
Rejim riba akan terus bermaharajalela menakrifkan dan mempermainkan
matawang orang lain. IMF; Bank Dunia; FED; bank-bank kepunyaan keluarga
Rothschild, Rockefeller, Lehman dan sebagainya; bank-bank jalanan, spekulator
dan pemanipulasi matawang sudah menunjukkan bahawa wang sebenarnya tidak
terjamin - walaupun disimpan di dalam bank. Jika sistem perbankan Islam
tidak cuba memisahkan wang dari piawaian dolar Amerika maka bagaimanakah
kita boleh bebas dari rejim riba? Tanpa wang Islam yang merdeka, bank
Islam juga tidak dapat bebas dari pengaruh institusi riba.
'Umar Vadillo (1998) pernah menyoal iaitu bagaimana
pula ketika dunia sedang mengkritik sistem perbankan, kita dapat pula
bercakap tentang islamisasi sistem tersebut? Mungkinkah pemikiran islamisasi
bank timbul dari keadaan psikologi yang lemah kerana terpaksa menurut
permainan orang lain sehinggakan mahu 'mengislamkan' permainan palsu
mereka? Ketika sistem perbankan sudah mula kelihatan lapuk kita terpaksa
menilai semula apakah sebenarnya akar umbi sistem kewangan. Bukankah
wang menjadi asas sistem kewangan? Kita perlu serius memahami erti wang
menurut Islam. Jika bank tidak dapat menjaga kualiti wang maka sebenarnya
bank sudah tidak berfungsi lagi. Mungkin benarlah 'matinya wang' membawa
kepada 'matinya bank' juga.
RUMUSAN
Pengalaman ekonomi umat Islam di Malaysia bukanlah suatu
yang terasing dari negara lain. Sama ada di Malaysia atau di Indonesia
malah di mana sekalipun di dunia, sistem riba dunia akan terus mentakrifkan
nilai uang dan ekonomi negara selagi kita mempercayai dan menerima definisi
uang mereka.
Sistem palsu tetap akan runtuh. Tugas kita bukanlah
menyelamatkan atau 'mengislamkan' sistem riba dunia seperti mengislamkan
bank mereka yang berasaskan piawaian palsu dolar Amerika. Tugas
kita ialah mentakhtakan dinar emas dan dirham perak semula dalam urusan
keuangan menurut tradisi Islam. Jika orang Eropah memulakan wang euro
kenapa orang Islam tidak ke hadapan dengan wang Islam?
George Soros selain menyusahkan kita sebenarnya telah
membuktikan bahawa sistem kewangan dolar adalah sistem yang rapuh dan
tidak kebal. Sekarang adalah masa untuk meninggalkan permainan ekonomi/keuangan
riba dan bukan untuk bermain permainan mereka dengan lebih islamik.
Kita perlu tampil ke hadapan dengan paradigma baru, definisi baru, rujukan
baru, peralatan baru, perundangan baru menurut amalan uang Islam - dinar
dan dirham. Akhir sekali inilah masanya untuk memahami helah riba dalam
sistem keuangan semasa. Pengalaman ekonomi umat Islam seperti di Malaysia
dan di Indonesia, terutamanya sejak krisis 1997, patut dijadikan iktibar.
Seterusnya kita perlu mengorak langkah kemenangan dalam perang riba
yang telah diiystiharkan oleh Allah dan Rasul-Nya s.a.w.
NOTA: MONEY - THE GOLD TRAIL
The present situation we are in has its roots in the
use of paper money and rejection of gold and silver as our currency.
In Malaysia, this happens alongside colonialist activities
especially by the British. It is also closely tied to the fall of the
Othmanli Caliphate, spurred by the adoption of paper money in the place
of gold dinar and silver dirham.
1749-1832 Goethe criticised paper money (note)
in his book Goethe's Faust:
Be it known to all men who may so require This note
is worth a thousand crowns entire Which has its guarantee and counterfoil
In untold wealth beneath Imperial soil And this hereby is a substitute
approved Until such time as the treasure can be moved.
1802-1881 Shaykh Muhammad 'Illish, an expert
on fiqh at Al-Azhar University gave a fatwa that included zakat is not
payable for paper money (translation of Al-Fath Al-'Ali Al- Maliki p
164-165).
1813 - 1833 Richard Wagner created the seminal
text which unveiled the mythic dimension of the usurious psychology,
the opera Der Ring des Nibelungen (The Ring of the Nibelungen)
1845-1905 Syeikh Muhammad Abduh: made fatwa making
halal the interest from postal savings -the start of islamisation of
interest and banking? His student, Rashid Redha, continued this thesis
in his writings published in Al-Manar (vol VII p28).
1850 Kijang mas - gold coin from Kelantan Sultanate
during the rule of the Malay queen, Che Siti Wan Kembang
1923 The Fall of the Othmanli Caliphate in Turkey
(1600 - 1923) was partly due to the removal of gold (Dinar) and silver
(Dirham) from circulation The Ottoman Empire's unfavorable trade balance
resulted in an outflow of gold, while European states demanded more
favorable trade treaties and were guilty of blatantly abusing them.
1937 Ezra Pound wrote in his book, Cantos - Usura
Contra Naturam (usury is contrary to nature). He saw that the root
of usury is greed, fed by a lust for monetary gain, totally disregarding
the consequences incurred by the rest of humanity. To him, usury was
the single most destructive and damaging practice that puts all the
beauty of life in peril
1949 Ernst Juenger - a German philosopher Wrote
on the destruction of money, when gold and silver is no longer used
as money. (The Destruction of Money in The Failure of Technology, 1956).
31 August 1957 Malaysia gained independence
26 January 1959 Bank Negara Malaysia was established
30 September 1963 Lembaga Tabung Haji was established
Late 70s, early 80s
Shaykh Abdalqadir as Sufi started looking into the usurious
nature of paper money
November 1981 Dr Mahathir said that the present
world monetary system is based not only on gold and silver, but also
based on paper money and cheques that is not within the Islamic system.
1 July 1983 Bank Islam Malaysia was established
1992/93 Islamic Mint Spain minted first gold
dinar and silver dirhams
1993 Kurtzman wrote The Death of Money
1996 e-dinar Ltd. Established first web-site
on gold & silver economy
May 1997 Asia Economic Crisis
Sept 1997 Dr Mahathir (in Hong Kong) proposes
that currency speculation be made illegal because paper money has no
intrinsic value (Financial Times 1997). George Soros was one of the
speculators Mahathir Mohamad, Malaysia's prime minister. He thundered
at a World Bank seminar that currency trading was "unnecessary, unproductive
and totally immoral . . ." He declared: "It should be stopped, they
should be made illegal."
1998 Dr Mahathir commented that bourses have
begun to show gambling tendencies.
1998 Dr Nasir Farid Wasil, Mufti of Egypt - called
for the restoration of Islamic Economy based on gold and silver
Sept 1998 Removal of RM 500 and RM 1000 notes
from circulation Pegging of RM to USD at RM3.8 to 1 USD (remains
today) - Currency control + rejection of IMF
Nov 1998 Dinar-Dirham Expo in Universiti Sains
Malaysia (USM), Pulau Pinang launched by the then Minister of Finance,
Malaysia - Tun Daim Zainuddin
January 1999 Dr Mahathir said that paper money
has no value, except when the Government gives value to it.
1999/2000 Logam Mulia, Koin emas Ongkos Naik
Haji 3Q
2000 e-dinar Ltd established formal organization
- formed e-dinar Ltd in Labuan, Malaysia - opened accounts with HSBC
& Standard Chartered - obtained permission from central bank UAE to
mint coins - established mints in UAE and Indonesia
Sep 2000 e-dinar Ltd launched in South Africa
at 7th Int. Fiqh conference
Nov 2000 The e-dinar is launched in Malaysia
by the Deputy Prime Minister, Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi
at the 4th International Islamic Political Economy Conference 2000 organised
by ISNET-USM
Dec 2000 Briefing on the e-dinar to the Prime
Minister, by the e-dinar team.
Reorganisation and restructuring of Bank Negara involved
the privatisation of minting operations - awarded to ROYAL MINT MALAYSIA
June 2001 Dr Mahathir at the Al Baraka Symposium
(Kuala Lumpur) proposes the use of the Islamic Gold Dinar "as a trade
currency and as national reserves. The dinar must be in gold and not
paper".
July 2001 Shaykh Abdalqadir as-Sufi, accompanied
by Rais Umar Vadillo, paid a courtesy call on the Prime Minister, Datuk
Seri Dr Mahathir. In this meeting, Dr Mahathir expressed his intention
to hold a seminar to discuss the introduction of the gold dinar as a
world currency and determine … its usage and the dimension of its applications.
July 2001 Bank Negara Malaysia announced the
issue of the Malaysian gold bullion coin, the Kijang Emas. To commemorate
the issue, the Kijang Emas was launched by Y.A.B. Dato Seri Dr. Mahathir
Mohamad, the Prime Minister of Malaysia. Malaysia is the 12th country
in the world to issue its own gold bullion coin. The Kijang Emas now
joins the ranks of other international gold bullion coins. The Kijang
Emas is minted by the Royal Mint of Malaysia and distributed by Maybank
Berhad and Bumiputra Commerce Bank Berhad.
August 2001 Public Lecture by Shaykh Abdalqadir
(The Restoration of Fiscal Islam) in USM before the conferment of Honorary
Doctorate of Letters by USM
January 2002 Rais Umar Vadillo, e-dinar founder
briefs Malaysia's PM on the Islamic Dinar
February 2002 e-dinar Ltd. announced plans to
set up minting plant for dinar-dirham in Malaysia
March 2002 International Seminar on Dinar-Dirham
in Medan, Sumatera organised by Yayasan Dinar-Dirhm and FKEBI-IAIN-SU
RUJUKAN
Adam Smith (George J W Goodman 1982) Paper Money
Futura Macdonald & Co.
Almuwatta (terjemahan 1989, edisi baru 1997) Almuwatta
of Imam Malik ibn Anas - The First Formulation of Islamic Law. Terjemahan
oleh Aisha Bewley. Madinah Press
Dines letter 1997 The Dines letter (TDL), (August
30, 1997). TDL's latest on currencies. "The coming competing currency
devaluations" http://www.gold-eagle.com/editorials/dines830.html
Ezra Pound 1937 The Cantos of Ezra Pound-The Fifth
Decade of Cantos XLII2LI. lihat juga Usury and Ezra Pound dalam:
http://www.english.upenn.edu/~afilreis/88/usury.html
Financial Times 1997 Asian currency crisis; Soros
hits at Mahathir's currency trade proposal. 22/9/97. http://www.ft.com/
Ian Dallas 1990 The New Wagnerian. Freiburg Books
Imran N Hosein 1996 The Importance of The Prohibition
Of Riba In Islam. Ummavision Resources.
James Dines 1996 Mass Psychology. USA Import
Publisher
Juenger F.G. 1949 The Failure of Technology -(
lihat The Destruction of Money). Henry Regnery Company
Louis MacNeice 1952. Goethe's Faust. Oxford University
Press
Mahathir 1997 Asian Economies: Challenges and Opportunities-Speech
by The Prime Minister Datuk Seri Dr Mahathir at The Annual Seminar of
The World Bank, Hong Kong. 20/9/97. http://www.smpke.jpm.my/pm3.htm
Mahathir 1998a Stable ringgit seen as key to recovery.
2/9/98 Wawancara dengan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad Di TV yang dituliskan
di alamat internet berikut: http://straitstimes.asia1.com.sg/klc/klc7_0902.html
Mohammad Muslehuddin (1974) Urusan Bank dan Hukum
Islam. Terjemahan Izuddin Hj Mohamad 1988. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Khalid Noorshah 1998 Wang Kertas Alat Perhambaan.
Ruangan Pandangan Songsang dalam MASSA bil. 126, 1998
Kurtzman. J 1993 The Death of Money. Simon and Schuster
Peter Kershaw 1994 Economic Solutions. Publication
protected by Common Law Copyright, 1994, Peter Kershaw.
Ranjit Gill 1997 Black September (lihat Bloody Bhat).Epic
Management Services P.L.
Shaykh Abdalqadir as-Sufi 1996 The Return of The
Khalifate. Madinah Press Umar
Ibrahim Vadillo 1996 The Return of The Gold Dinar.
Madinah Press
Utusan Malaysia 1998a Nilai ringgit ditetap.
2/9/98
Utusan Malaysia 1998b PM: Nilai ringgit mungkin diturun.
25/9/98
Utusan Malaysia 1998c IMF tidak menjamin pemulihan.
15/7/98
Utusan Malaysia 1998d Wang emas disaran ganti dolar
AS 4/6/98
U.S. NATIONAL DEBT CLOCK The Outstanding Public Debt
as of 09/25/98 http://www.brillig.com/debt_clock/
Zin Mahmud 1999 Fasa baru ekonomi Islam Utusan
Malaysia 13/07/1999
Rujukan Am Bank Islam 2002 http://www.bankislam.com.my/
7/3/02
Tabung Haji 2002 http://www.tabunghaji.gov.my/ 9/3/02
Bank Negara 2002 http://www.bnm.gov.my/en/About/index.asp
9/3/02
Bank Islam 2002 http://www.bankislam.com.my/kenali_profail.htm
9/3/02
Dato' Seri Dr. Mahathir Bin Mohamad (1981) Majlis
Perasmian Kursus Agama Anjuran Biro Agama Umno Malaysia, Dewan Umno,
27-11-1981
Dato Seri Dr Mahathir Bin Mohamad (2001) The 20th
Al Baraka Symposium For Islamic Economies, The Sheraton Imperial
Hotel, Kuala Lumpur, 25-06-2001
Dato' Seri Dr. Mahathir Bin Mohamad (1999) Perutusan
Hari Raya Aidilfitri, Radio Dan Televisyen Malaysia, 18-01-1999
Hakimi Ibrahim 1997 Haramkan perdagangan wang
Utusan Malaysia 27/9/97
Hakimi Ibrahim 1998a. Erti wang Islam. Utusan
Malaysia 6/2/98
Hakimi Ibrahim 1998b Wang E dalam era komputer.
Utusan Malaysia 22/7/98
DR HAKIMI IBRAHIM Pusat Pengajian Teknologi Industri
Universiti Sains Malaysia 11800, Minden Pulau Pinang Tel 04-6577888-2109.
hp 016 417 6559