Demokrasi kini bukanlah suatu model Greek. Sekarang
ia adalah model perlembagaan untuk Amerikanisme. Kerajaan mana-mana
negara pun sekarang perlu tunduk kepada kehendak Amerika. Amerikanisme
membawa bersamanya rejim dolar, devolusi sosial, keruntuhan akhlak dan
institusi keluarga, seks canggahan, emasculation dan pelbagai igauan
modenisme.
Demokrasi ala Barat hanya menyaksikan manusia hidup
berparti dan bertelagah sesama sendiri. Mereka terperangkap dalam tempurung
kepartian pada hal musuh sebenar tidak lagi mempedulikan sempadan negara
dalam zaman globalisasi ini.
Lebih malang lagi apabila ada yang mendemokrasikan Islam.
Konsep others are bad therefore I'm good menjadi landasan maki hamun
untuk sesetengah mereka kononnya memenangkan Islam.
Akhirnya, apa yang dikatakan a means untuk perjuangan
Islam sudah menjadi the means dalam keghairahan untuk menang dalam pilihan
raya.
Hari raya bagi mereka ialah pilihan raya. Jika menang
pilihan raya sekalipun orang akan berkata adakah Islam hanya boleh ditegakkan
melalui sistem kufur demokrasi Barat? Islam tidak dapat berdiri sendiri?
Soros tidak memerlukan kerusi pilihan raya malahan tidak
perlu untuk menjadi rakyat mana-mana negara sekalipun untuk mencatur
kepimpinan sesebuah negara. Elit kewangan seperti beliau bersama institusi
seperti Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, House of Rothschild
dan Kelab Paris tidak pernah diundi oleh sesiapa pun tetapi dengan mudah
merencanakan harta dan hak milik negara orang lain.
Mereka ialah ceti besar rejim riba yang melakukan spekulasi
dan manipulasi mata wang dan kepimpinan negara. Camdessus hanya perlu
berpeluk tubuh untuk memastikan prinsip IMF diterima pakai dan seterusnya
pemimpin sesebuah negara ditukar ganti.
Pengalaman Algeria dan Turki membuktikan kaedah demokrasi
ala Barat tidak menjanjikan sebarang hasil untuk orang Islam. Kemenangan
bererti kekalahan sudahnya kerana demokrasi tajaan Amerika ini tidak
memungkinkan pemenangnya merayakan apa-apa selagi soal hutang-piutang
negara masih belum dijelaskan.
Dalam sistem demokrasi Barat ini, manusia bebas yang
dimegahkan sebagai anak hasilan Revolusi Perancis di atas prinsip liberty,
fraternity and equality sebenarnya adalah seorang hamba.
Individu moden sekarang boleh ditakrifkan sebagai seorang
hamba hutang. Hutang persendirian dan hutang syarikat sememangnya suatu
kelaziman.
Sementara itu, semua rakyat termasuk anak-anak yang
masih belum dilahirkan lagipun sudah diamanahkan dengan hutang negara.
Amerika menjadi polis kewangan sambil menjadikan peperangan sebagai
medan menghidupkan spekulasi dalam pasaran saham.
Para elit riba hanya perlu bermain dengan kadar faedah
untuk dengan mudah menggantikan pemimpin negara yang kononnya bebas.
Akibatnya negara terus gawat dan hutang pun bertambah melalui susut
nilai.
Dalam kegawatan, hamba-hamba hutang sesetengah negara
berbunuhan sesama sendiri kerana tidak mengenali siapa yang perlu dimusuhi.
Pihak bank yang sepatutnya melakukan safekeeping akan
harta dan wang ringgit rakyat hanya mampu menjaga kuantiti nombor-nombor
pada kertas yang disimpan tetapi tidak dapat menjamin nilai atau kualiti
wang yang disimpan.
Apabila dibandingkan faedah lazim 10 peratus yang diberi
oleh pihak bank dengan susut nilai sehingga 600 peratus seperti yang
berlaku di Indonesia, maka jelaslah mata wang kertas sekarang tidak
dapat menyimpan nilai kerana kertas-kertas itu sebenarnya sudah tidak
ada sandaran barangan yang bernilai.
Penghalalan faedah oleh Abduh jelas sudah tidak berfaedah.
Islamisasi bank pun tidak dapat mengelakkan bencana susut nilai dan
jual beli wang.
Nixon sejak tahun 1971 lagi sudah memutuskan kaitan
emas dengan dolar kerana kekalahan Amerika di Perang Vietnam memerlukan
penciptaan dolar tanpa terbatas dengan simpanan emas. Mereka perlu 'mencetak'
wang dan bukannya 'mencari' wang untuk menampung kos peperangan tersebut.
Sekarang mereka mencetak wang untuk Amerikanisme berterusan dalam New
World Order tajaan mereka.
Riba berkait dengan lebihan. Penciptaan wang lebihan
dengan paksaan dan penipuan adalah amalan riba. Pihak bank yang diterajui
oleh IMF dan Bank Dunia memastikan kuasa melalui penciptaan kertas dolar
tanpa sandaran berterusan sama ada melalui kaedah mengikat dengan tali
riba pinjaman terhadap individu, syarikat dan negara ataupun melalui
susut nilai. Maka terhasillah sistem penjajahan dan pemerintahan sejagat
berdasarkan sistem riba atau ribakrasi (usurocracy). Demokrasi Barat
hanyalah topeng untuk ribakrasi berleluasa. Ribakrasi tidak memerlukan
peti undi.
Tidak ada pun demokrasi dalam bermata wang. Tidak ada
pilihan kerana semuanya terpaksa 'bertuhankan' dolar. Di sinilah wujudnya
keperluan untuk kepimpinan yang menyedari ribakrasi.
Orang Eropah pun sedang cuba mencari jalan keluar dari
dominasi dolar melalui mata wang Eropah iaitu eurodollar. Malangnya
orang Islam tidak dapat berbuat apa-apa dari segi mata wang untuk bebas
dari pengaruh dolar. Kenapa tidak berani ke hadapan dengan mata wang
Islam?
Sesungguhnya kepimpinan ummah memerlukan dasar pemerintahan
yang mengenali manusia sebagai khalifah Allah di bumi dan memerangi
para pengamal riba yang bertakhta atas nama ribakrasi mahupun Amerikanisme.
Pemimpin atau khalifah Allah ini perlu memahami ribakrasi
dan mengisytiharkan jihad terhadap riba sebagaimana Allah dan RasulNya
telah mengisytiharkan perang terhadap pengamal riba di dalam al-Quran.
Kita mengharapkan pemimpin yang berani menghadapi ribakrasi
dan melaksanakan mata wang Islam.
'Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa
riba) maka ketahuilah oleh kamu akan peperangan daripada Allah dan RasulNya
terhadapmu..''.(Al-Quran 2:279)
DR HAKIMI IBRAHIM ialah pensyarah di Pusat Pengajian
Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. - Oleh
DR. HAKIMI IBRAHIM