GDRG Home

THE GOLD DINAR RESEARCH GROUP

Universiti Sains Malaysia, Penang

About Us | Members | Activities | Articles | Photo Gallery | The Dinar | Zakat | Mahr | Dinar Trade Network| Bookshop | Links | Announcements | Contact Uss

 

Back to News
page 1, page 2, page 3
 

Malaysia mahu cuba guna dinar emas: PM

BERITA HARIAN (Mukadepan ) 18 April 2002

 

Daripada Mohamad Azlan Jaafar

RABAT, Rabu – Malaysia merancang mengadakan percubaan berdagang menggunakan dinar emas dengan negara tertentu bagi meyakinkan negara Islam lain mengenai keupayaan konsep berkenaan.

Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia sudah mempunyai mekanisme bagi melaksanakan dinar emas, tetapi konsep itu belum mendapat persetujuan semua negara Islam.

Perdana Menteri berkata, ini kerana sesetengah negara Islam masih menghadapi tekanan dari negara lain hingga menghalang pelaksanaan konsep berkenaan.

“Apa yang Malaysia cadang lakukan ialah mengadakan percubaan dengan negara tertentu yang sedia berbuat demikian dan berharap ia dapat membuktikan konsep ini berkesan.

"Apabila kita boleh membuktikan ia dapat dilaksanakan, negara lain akan turut serta," katanya pada sesi dialog dengan ahli intelek Islam, golongan pemikir dan Ahli Parlimen Maghribi di Kementerian Hubungan Luar dan Kerjasama Maghribi di sini, petang semalam.

Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Maghribi, ditanya mengenai model yang bakal dilaksanakan berkaitan konsep perdagangan menggunakan dinar emas yang dicadangkan Malaysia.

Dr Mahathir berkata, negara Islam tidak perlu meniru model Barat, seperti pelaksanaan mata wang tunggal oleh Kesatuan Eropah (EU), sebaliknya mewujudkan modelnya sendiri.

Katanya, Malaysia bebas melaksanakan konsep itu kerana tidak terikat dengan mana-mana negara lain, tetapi sesetengah negara Islam menghadapi tekanan dari negara tertentu.

Perdana Menteri berkata, apa yang penting ialah dunia Islam perlu bersatu dan membuat keputusan kerana Malaysia sudah mempunyai mekanisme bagi melaksanakan dinar emas.

Ditanya punca umat Islam terus mundur, Dr Mahathir berkata, umat Islam disuruh menjadi saudara dengan umat Islam lain, tetapi mereka tidak berkelakuan seperti saudara.

"Jika kita sebenarnya bersaudara, kita perlu berkelakuan seperti bersaudara. Bagaimanapun, hari ini kita tidak berkelakuan seperti bersaudara.

"Kita bertelingkah sesama kita walaupun ketika musuh sudah berada di pintu.

“Pertelingkahan seperti ini menjadikan umat Islam lemah.

"Jika kita kembali kepada asas Islam, kita tidak akan menghadapi masalah untuk bekerjasama sesama sendiri," katanya.

Perdana Menteri juga memberi contoh krisis di Palestin yang berlarutan selama 50 tahun.

"Sepanjang tempoh itu, tidak pernah kita (umat Islam) bersetuju untuk apa yang perlu dilakukan. Sentiasa akan ada pertelingkahan dan perbezaan pendapat.

"Walaupun rakyat Palestin terus menderita, kita masih belum dapat bersetuju bentuk tindakan yang perlu dilakukan. Dan rakyat Palestin akan terus ditekan dan masalah ini tidak akan dapat diselesaikan," katanya.

Mengenai fungsi Malaysia bagi membantu rakyat Palestin, Dr Mahathir berkata, sejak dulu lagi Malaysia mencadangkan perlunya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar pasukan pengaman, tetapi cadangan itu ditolak Israel dan Amerika Syarikat.

"Hari ini banyak negara menyatakan sokongan kepada idea bagi memisahkan kedua-dua pihak yang bertelingkah," katanya.

Beliau juga mengulangi kesediaan Malaysia mengerah tenteranya ke Palestin sebagai pengaman, seperti yang dilakukan di Bosnia Herzegovina.

"Kami sedia membantu Palestin bukan saja menghantar pasukan pengaman tetapi juga mengadakan kempen diplomatik untuk mencapai matlamat Palestin," katanya sambil menggesa semua negara Islam lain turut serta dalam kempen itu.

 

Last Updated: 07/06/03 ©NE2002

 

Gold Dinar Research Group