KUALA LUMPUR, Isnin: Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad
hari ini menyampaikan ucap utama dan berdialog mengenai dinar emas dengan
pelbagai sektor pada majlis tertutup anjuran Institut Kefahaman Islam
Malaysia (IKIM) di sini.
Dr Mahathir, yang juga Menteri Kewangan, menyampaikan ucap utama itu
selama 90 minit mengenai cadangan Malaysia untuk menggunakan dinar emas
dalam sistem perdagangan negara, serta meluangkan masa lebih setengah
jam menjawab soalan yang dikemukakan peserta.
Majlis dialog bersama Perdana Menteri mengenai “Dinar Islam” itu turut
dihadiri Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Shafie Mohd Salleh, dan
Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.Yang lain termasuk Penasihat
Ekonomi kepada Perdana Menteri mengenai Hal Ehwal Kewangan Tan Sri Nor
Mohamed Yakcop dan Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara
Datuk Mustapa Mohamed.
Lebih 150 peserta menghadiri majlis itu termasuk tokoh korporat, perbankan
dan badan kewangan, pensyarah dan pelajar universiti tempatan serta
wakil majlis agama Islam negeri.
Majlis itu diadakan sebagai pendahuluan kepada seminar antarabangsa
mengenai “Dinar Islam - Ke Arah Kesatuan Ekonomi Masyarakat Islam” yang
akan dianjurkan oleh IKIM selama dua hari mulai 25 Jun.
Seminar itu dijangka membicarakan isu dinar Islam serta daya maju dan
cabarannya, teori berkaitan dengan sistem dinar, peranan kerajaan dan
bank pusat dalam mengawal selia sistem itu, cara dan sumbangannya kepada
kesatuan ekonomi masyarakat Islam.
Dr Mahathir pada tahun lalu mencadangkan dinar emas dijadikan mata
wang alternatif bagi perdagangan antarabangsa terutama oleh negara Islam,
dan Malaysia sudah mengadakan mekanisme bagi penggunaannya.
Cadangan itu dikemukakan bagi mencari sistem mata wang alternatif dalam
keadaan ekonomi yang tidak menentu kerana sistem kewangan konvensional
sangat terdedah kepada manipulasi dan spekulasi krisis mata wang antarabangsa.
Perdana Menteri pada majlis yang sama turut melancarkan empat buku
terbitan terbaru IKIM. Buku-buku itu bertajuk Ekonomi Islam dan Pelaksanaannya
di Malaysia dan Corporate Goverance from the Islamic Perspectivedan
kedua-dua buku ini ditaja oleh RHB Bank Bhd, Kriteria Negara Berasaskan
Prinsip Islam dan Peranan Ibu Bapa dalam Pembentukan Sahsiah Anak. –
Bernama