KUALA LUMPUR 1 Ogos - Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan
merangka seminar meningkatkan kefahaman umum tentang penggunaan mata
wang dinar emas dan perak bagi perdagangan negara-negara Islam pada
masa akan datang.
Penolong Ketua Pengarahnya, Nik Mustafa Hassan berkata, IKIM akan membawa
perkara ini sebagai agenda pada seminar-seminar yang dianjurkan khususnya
dalam seminar perubahan ekonomi.
``Kejayaan penggunaan dinar bergantung kepada kajian menyeluruh secara
teknikal, kefahaman umum dan keyakinan pedagang terhadapnya,'' katanya
ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan mata wang dinar ini boleh dilakukan kerana
Malaysia mempunyai seorang pemimpin yang berpandangan moden dan realistik
serta berani menyuarakan kepincangan dalam sistem kewangan dunia.