Oleh Zainab Mohd Yatim
MALAYSIA akan menggunakan dinar emas sebagai mekanisme tambahan untuk
pembayaran bagi perdagangan antarabangsa negara, mulai pertengahan tahun
depan.
Penasihat Khas Ekonomi kepada Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed
Yakcop, berkata kerajaan sudah mendapat persetujuan dengan beberapa
negara lain untuk berbuat demikian.
Katanya, usaha untuk berurus niaga menggunakan dinar emas sudah dimulakan
dan Malaysia sudah mendapat persetujuan beberapa negara yang akan bekerjasama
dengannya.
“Mungkin tidak sesuai untuk saya memberitahu nama negara berkenaan
ketika ini, tetapi sambutan yang diberikan amat menggalakkan,” katanya
di Kuala Lumpur, semalam.
Nor Mohamed berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan
Antarabangsa Sistem Kewangan Global yang Stabil dan Adil bertemakan
“Daya Maju Dinar Islam” anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM).
Terdahulu, beliau membentangkan kertas kerja “Perdagangan dan Dinar
Emas: Komponen Masa Depan Sistem Kewangan Islam Antarabangsa” pada seminar
dua hari itu yang dihadiri lebih 250 peserta dari dalam dan luar negara.
Ketika ini, urus niaga dan pembayaran bagi perdagangan antarabangsa
negara dikendalikan terutama dalam dolar Amerika dan mata wang beberapa
negara utama dunia yang lain.
Nor Mohamed berkata, pada peringkat awal pelaksanaan perdagangan antarabangsa
menerusi mekanisme dinar emas, pembayaran urus niaga akan dibuat menerusi
sistem Peraturan Pembayaran Dua Hala (BPA).
Apabila sistem itu sudah matang dan semakin diterima lebih banyak negara,
kaedah BPA itu akan ditukar kepada sistem Peraturan Pembayaran Pelbagai
Hala (MPA).
Beliau seterusnya menjelaskan, Malaysia sudah bersedia melaksanakan
dinar emas dan akan mempromosi serta menjadi peneraju pelaksanaan mekanisme
berkenaan.
Cadangan penggunaan dinar emas sebagai penyelesaian bagi perdagangan
antarabangsa dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
Ia dicadangkan sebagai pilihan bagi pembayaran dan mengelak sesuatu
mata wang dijadikan komoditi yang diniagakan sehingga mencetuskan krisis
kewangan.
Dalam ucapannya, Nor Mohamed berkata, penggunaan dinar emas dalam perdagangan
di kalangan negara Islam adalah usaha tepat bagi melengkapkan sistem
kewangan Islam yang sudah dibangunkan dua dekad lalu.
“Dinar emas yang tidak dimiliki oleh mana-mana negara akan menjadi
instrumen bagi memudahkan perdagangan antarabangsa terutama di kalangan
negara Islam,” katanya.
Nor Mohamed berkata, penggunaan dinar emas tidak akan menggantikan
mata wang domestik seperti ringgit yang boleh terus dijadikan alat urus
niaga domestik Malaysia, walaupun selepas menggunakan dinar emas bagi
dagangan luar.
“Dinar emas hanya akan digunakan bagi dagangan luar negara di kalangan
negara yang menyertainya,” katanya.
Pada asasnya, beliau juga percaya fungsi utama dinar emas adalah bagi
menggalakkan kebebasan perdagangan sebagai perantaraan pertukaran yang
diterima di seluruh dunia.
“Dengan menggalakkan perdagangan antara negara Islam, ia akan turut
mendorong kerjasama seluruh umat Islam dalam kedua-dua perspektif kewangan
dan ekonomi,” katanya.