GDRG Home

THE GOLD DINAR RESEARCH GROUP

Universiti Sains Malaysia, Penang

About Us | Members | Activities | Articles | Photo Gallery | The Dinar | Zakat | Mahr | Dinar Trade Network| Bookshop | Links | Announcements | Contact Uss

 

Back to News
page 1, page 2, page 3
 

PM harap IFSO berperanan bentuk mata wang dinar

UTUSAN MALAYSIA (MUKA HADAPAN) 24/07/2001

 

KUALA LUMPUR 23 Julai - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia berharap dapat memainkan peranan lebih berkesan dalam membentuk mata wang dinar Islam melalui Pertubuhan Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSO).

Menurut Perdana Menteri, Malaysia telah menawarkan diri menjadi tuan rumah kepada IFSO dan berharap ia dapat memudahkan pembentukan mata wang dinar bagi mengurangkan pergantungan Malaysia dan juga negara-negara Islam lain terhadap dolar Amerika Syarikat (AS).

``Kita berharap dengan menjadi tuan rumah kepada IFSO, kita dapat mainkan peranan lebih berkesan untuk kemukakan cadangan membentuk (mata wang) dinar bagi mengelakkan pergantungan terhadap dolar AS.

``Perkara ini sedang dikaji dan kita akan cadangkan satu seminar melibatkan negara Islam lain untuk kita lihat bagaimana kita boleh mewujudkan mata wang dinar ini,'' katanya yang juga merupakan Menteri Kewangan.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Abdul Hamid Abdul Rahman (BN-Sungai Benut) di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, IFSO yang baru dibentuk bertanggungjawab untuk merangka dan mengeluarkan piawaian mengenai pengawalseliaan dan kehematan institusi kewangan Islam sedunia.

Menjawab soalan lisan dari wakil rakyat yang sama, Perdana Menteri berkata, adalah menjadi dasar kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam terkemuka di rantau ini.

Menurut Dr. Mahathir, selain menawarkan diri sebagai tuan rumah IFSO, Malaysia juga telah melaksanakan beberapa program lain termasuk menjadikan Labuan sebagai pusat kewangan luar pesisir yang terkemuka dalam perbankan dan kewangan Islam.

Bagi memastikan kejayaan projek itu, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan, Bank Pembangunan Islam dan beberapa bank pusat negara Islam seperti Bahrain, Sudan dan Indonesia telah memeterai memorandum persefahaman bagi mewujudkan Pasaran Kewangan Islam Antarabangsa.

Dr. Mahathir berkata, Malaysia juga telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Perbankan dan Kewangan Islam pada Februari lalu dan Sidang Kemuncak Antarabangsa Takaful pada bulan Mei.

Katanya, negara ini juga muncul sebagai negara bukan timur tengah pertama menjadi tuan rumah bagi persidangan ekonomi Islam anjuran Dallah Al-Baraka, sebuah institusi kewangan Islam terkenal.

 

Last Updated: 07/06/03 ©NE2002

 

Gold Dinar Research Group