THE GOLD DINAR RESEARCH GROUP |
|
Universiti
Sains Malaysia, Penang
|
About Us | Members | Activities | Articles | Photo Gallery | The Dinar | Zakat | Mahr | Dinar Trade Network| Bookshop | Links | Announcements | Contact Uss
|
Dinar Emas: Kerjasama Negara Islam Perlu UTUSAN MALAYSIA (Parlimen ) 16 April 2002 |
|||||
Laporan: NORAINI RAZAK dan SAIFULIZAM MOHAMAD KUALA LUMPUR 15 April - Kesungguhan politik dan kerjasama antara negara-negara Islam perlu untuk merealisasikan penggunaan mata wang dinar emas sebagai alat transaksi yang diterima di peringkat antarabangsa. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Shafie Salleh berkata, kerajaan sedang meneliti penggunaan dinar emas untuk transaksi antarabangsa kerana banyak aspek teknikal perlu diambil kira sebelum ia dapat diterima pakai. Katanya, kajian terperinci juga perlu dilakukan bagi mengenal pasti pendekatan paling relatif dan berdaya maju sekiranya dinar emas digunakan di arena antarabangsa. ``Rangka kerja dinar emas adalah bagi penggunaan mata wang tersebut di peringkat perdagangan antarabangsa dan tidak bertujuan menggantikan mata wang mana-mana negara,'' katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Dayang Mahani Tun Pg. Ahmad Raffae pada sidang Dewan Negara hari ini. Menurut Shafie, penentuan kadar tukaran wang diperlukan dalam dagangan antarabangsa kerana mata wang kertas tidak mempunyai nilai mutlak, selain kadar tukaran yang arbitrari dan terdedah kepada manipulasi seperti yang dialami ketika krisis kewangan di Asia tidak lama dulu. Katanya, emas mempunyai nilai tertentu berdasarkan permintaan manakala turun naiknya nilai emas bergantung kepada permintaan dunia dan dalaman sesebuah negara. ``Bagaimanapun kadar peningkatan dan penggunaan emas adalah minimum. Oleh itu nilai dinar emas dipengaruhi oleh harga emas semasa,'' katanya. Selain itu, beliau berkata, nilai emas tempatan akan menentukan kadar tukaran mata wang tempatan terhadap dinar emas dan ini akan memudahkan lagi pengiraan nilai import dan eksport dalam kiraan mata wang tempatan. Shafie memberitahu, dinar emas boleh dijadikan rizab yang kuat kerana dagangan tidak perlu dibayar dalam dinar sebenar, tetapi nilai imbangan eksport dan import di mana perbezaan harga sahaja yang dibayar mengikut dinar emas. Menjawab soalan asal Dayang Mahani, beliau berkata, Malaysia dan Thailand telah bersepakat untuk mengkaji kemungkinan kedua-dua negara menggunakan mata wang masing-masing tanpa terlalu banyak bergantung kepada dolar Amerika Syarikat. Mengenai sama ada negara-negara ASEAN bersetuju menggunakan mata wang dolar Singapura, katanya, sehingga kini tiada kesepakatan mengenai penggunaan mata wang tersebut di rantau ini. Malah, katanya, Singapura sendiri tidak bersetuju mata wang negara berkenaan digunakan di peringkat serantau kerana tidak mahu mata wang mereka menjadi sasaran spekulasi. |
|||||
Last Updated: 07/06/03 ©NE2002