GDRG Home

THE GOLD DINAR RESEARCH GROUP

Universiti Sains Malaysia, Penang

About Us | Members | Activities | Articles | Photo Gallery | The Dinar | Zakat | Mahr | Dinar Trade Network| Bookshop | Links | Announcements | Contact Uss

 

Back to News
page 1, page 2, page 3
 

PM: Dinar emas beri negara Islam lebih kuasa

UTUSAN MALAYSIA (Dalam Negeri ) 18 April 2002

DR. Mahathir meluangkan masa bermesra dengan pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Maghribi, semalam. - Gambar Bernama.

RABAT 17 April - Warga Muslim seluruh dunia boleh mencapai banyak kejayaan, termasuklah menggunakan dinar emas Islam sebagai matawang untuk perdagangan antarabangsa, jika mereka bersedia bekerjasama untuk mencapai matlamat yang sama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di sini, hari ini.

Beliau berkata, penggunaan meluas dinar emas akan memberikan negara-negara Islam lebih kuasa untuk menguruskan hal-ehwal mereka sendiri, malah boleh mempengaruhi dunia sekalipun.

``Soalannya adakah kita telah bersedia? Jika kita sudah bersedia, ia boleh dilakukan,'' kata beliau pada sesi dialog dengan para intelektual, kumpulan pakar dan ahli parlimen Islam Maghribi.

Malaysia berminat untuk menggunakan dinar emas bagi menggantikan matawang-matawang utama seperti dolar AS untuk pembayaran perdagangannya dan telah mencadangkan supaya dinar emas dijadikan matawang untuk perdagangan antarabangsa.

Bulan lepas, Dr. Mahathir berkata Malaysia telah menyediakan mekanisme bagi penggunaan dinar emas.

Dinar emas telah dipilih kerana ia kurang mudah ruap berbanding matawang-matawang biasa yang tertakluk kepada situasi spekulatif oleh peniaga-peniaga matawang.

Dr. Mahathir, yang kini mengadakan lawatan empat hari ke Maghribi berkata, beliau berharap yang negara-negara lain akan turut serta sebaik sahaja Malaysia berjaya membuktikan yang penggunaan dinar boleh berjaya.

``Tetapi pertamanya, mesti ada kemahuan untuk melakukan perkara-perkara ini.

Jika tidak, kita tidak akan lebih daripada hanya membuat ucapan, mengadakan perbincangan yang panjang lebar dan sebagainya,'' kata beliau.

Semasa ditanya sama ada negara-negara Islam perlu mengikut negara-negara Eropah dalam menggunakan matawang tunggal, Dr. Mahathir berkata: ``Kita tidak perlu mengikut orang Eropah. Kita boleh mempunyai model kita sendiri yang tidak terlalu sukar.''

Beliau mengulangi bahawa Malaysia telah mewujudkan satu mekanisme mengenai bagaimana untuk menggunakan dinar bagi bayaran perdagangannya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri mengkritik masyarakat Islam kerana gagal bersatu walaupun untuk kebaikan ummah.

``Walaupun kita mempunyai kekuatan seramai 1.3 bilion, kita tidak dapat mencapai apa-apa kerana daripada 50 negara Islam ini, setiap kali mereka bertemu, mereka tidak pernah bersetuju,'' kata beliau.

Beliau juga berkata yang orang Islam di seluruh dunia sepatutnya mencontohi Yahudi berkaitan dengan perpaduan dan kerjasama yang teratur rapi.

Perdana Menteri berkata, pernah pada satu ketika beliau membuat kenyataan mengenai Yahudi, tetapi bukan pujian kepada orang Yahudi dan ini telah dikritik oleh semua Yahudi di seluruh dunia.

``Kesemua mereka mengutuk saya dengan nada yang sama. Mereka amat bersatu,'' tambah beliau lagi. - Bernama

 

Last Updated: 07/06/03 ©NE2002

 

Gold Dinar Research Group