GDRG Home

THE GOLD DINAR RESEARCH GROUP

Universiti Sains Malaysia, Penang

About Us | Members | Activities | Articles | Photo Gallery | The Dinar | Zakat | Mahr | Dinar Trade Network| Bookshop | Links | Announcements | Contact Uss

 

Back to News
page 1, page 2, page 3
 

Malaysia ibu pejabat Pertubuhan Kewangan Islam

UTUSAN MALAYSIA (MUKA HADAPAN) 26/06/2001

 

KUALA LUMPUR 25 Jun - Malaysia bakal menjadi ibu pejabat bagi Pertubuhan Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSO), iaitu badan yang akan menentukan standard dan amalan kewangan dalam perbankan Islam.

Penubuhannya telah dipersetujui oleh Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) dan pemilihan Malaysia sebagai ibu pejabat pula dibuat setelah Bahrain yang juga menawarkan diri, menyokong cadangan menempatkan ibu pejabat institusi itu di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, penubuhan IFSO akan membantu mengembang dan mengekalkan kelancaran perbankan Islam melalui pendokumentasian dan penyeragaman amalan kewangannya.

Beliau menegaskan amalan perbankan Islam perlu didokumentasi dan diseragamkan sekiranya mahu diterima secara universal termasuk oleh bukan Islam.

``Sekarang ini kita dapati banyak negara mengadakan apa yang dipanggil perbankan Islam tetapi amalan yang digunakan berbeza-beza menyebabkan sukar untuk mewujudkan hubungan perniagaan dengan bank lain.

``Justeru amalan perbankan ini perlu diseragamkan supaya saling memahami amalan masing-masing,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Al-Baraka Ke-20 Mengenai Ekonomi Islam di sini hari ini.

Simposium itu adalah yang pertama diadakan di luar negara Timur Tengah.

Hadir sama Timbalan Presiden Pertama Kumpulan Dallah Al-Baraka, Sheikh Mahmud Hassoubah.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Mahathir berkata, memandangkan sejumlah besar wang dimiliki oleh negara-negara Islam disimpan di luar dunia Islam, umat Islam seluruh dunia mengalami kerugian kerana tidak menikmati sebarang faedah daripada simpanan itu.

``Kebanyakan negara Islam memerlukan dana dan mereka dipaksa menerima pinjaman di bawah sistem riba.

``Dalam pada umat Islam tidak boleh menerima faedah, mereka terpaksa membayar faedah. Dalam sesetengah kes, wang orang Islam yang dipinjamkan oleh orang lain yang mendapat faedah pula daripadanya,'' katanya.

Beliau percaya, sekiranya umat Islam mampu menubuhkan Dana dan Bank Islam, mereka bukan sahaja memperoleh pendapatan daripada pelaburan bahkan akan mengurangkan bebanan negara-negara Islam miskin.

``Saya yakin jika kita berjaya menubuhkan IFSO dan membentuk standard dan amalan perbankan Islam, kita semua akan mendapat manfaat,'' katanya.

Ini kerana, tambah beliau, perbankan dalam Islam bukan semata-mata untuk peminjam mendapatkan keuntungan ke atas orang yang membuat pinjaman tetapi kedua-duanya perlu mendapat manfaat daripada urusan kewangan itu.

``Saya percaya perbankan Islam jauh lebih baik daripada amalan perbankan komersial sekarang,'' katanya.

Perdana Menteri juga mengingatkan perlunya negara-negara Islam menggunakan mata wang yang sama dalam perdagangan sesama mereka.

Dalam hal ini, beliau berpendapat, mata wang tersebut tidak patut dimiliki oleh negara tertentu kerana ia akan memberi kelebihan kepada negara terbabit.

``Semua negara Islam perlu ada saham dalam dinar antarabangsa Islam sebagai tukaran mata wang untuk perdagangan dan rezab negara,'' katanya.

Beliau mencadangkan mata wang dinar yang akan digunakan kelak tidak diperbuat daripada kertas tetapi emas.

Dr. Mahathir yakin penggunaan dinar Islam jika dilaksanakan akan dengan sendirinya mewujudkan blok perdagangan Islam yang mampu berkuasa membentuk rejim perdagangan antarabangsa dan kerangka kewangan yang baru.

Mengenai perjanjian pembayaran dua hala (BPA), Perdana Menteri memberitahu Malaysia berjaya nilai dagangan sebanyak 400 peratus dengan negara-negara yang terlibat di bawah perjanjian itu.

Setakat ini, menurutnya, Malaysia menjalin hubungan dengan 24 negara termasuk suku darinya negara Islam.

Ditanya sama ada BPA akan membantu Malaysia mencecah dagangan keseluruhan AS$200 bilion tahun ini, beliau berkata:

``Malaysia berharap akan mencapai nilai eksport AS$100 bilion tahun ini berbanding AS$98 bilion tahun lepas.''

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, kelembapan ekonomi Amerika Syarikat memang memberi masalah besar kepada nilai eksport negara.

 

Last Updated: 07/06/03 ©NE2002

 

Gold Dinar Research Group