GDRG Home

THE GOLD DINAR RESEARCH GROUP

Universiti Sains Malaysia, Penang

About Us | Members | Activities | Articles | Photo Gallery | The Dinar | Zakat | Mahr | Dinar Trade Network| Bookshop | Links | Announcements | Contact Uss

 

Back to News
page 1, page 2, page 3
 

PM: Nilai ringgit mungkin diturun

UTUSAN MALAYSIA (DALAM NEGERI) 25/09/1998

 

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan kerajaan akan menurunkan nilai ringgit dari paras 3.80 bagi membolehkannya terus kekal bersaing.

Perdana Menteri berkata, bagaimanapun tindakan menurunkan nilai ringgit hanya akan dilakukan jika negara-negara lain menurunkan nilai mata wang mereka.

Ia untuk mengelakkan ringgit daripada ketinggalan.

''Tetapi kita akan terus cuba mengekalkan nilai ringgit pada paras sekarang bagi membolehkan syarikat-syarikat merancang belanjawan mereka di negara ini tanpa perlu risau berlakunya kemudahruapan mata wang,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan (NITC), di Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Dr. Mahathir yang juga Menteri Kewangan Satu berkata, kawalan mata wang sebenarnya tidak perlu dilaksanakan di negara ini jika rejim kewangan antarabangsa mampu menghalang pihak tertentu daripada 'merompak' kekayaan negara lain.

Menurut Perdana Menteri, struktur sistem kewangan antarabangsa sebenarnya perlu diubah bagi mengelakkan pihak tertentu terus menyerang mata wang negara-negara membangun.

Ditanya mengenai belanjawan negara yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen bulan depan, Dr. Mahathir menganggarkan, angka pertumbuhan ekonomi lebih baik daripada jangkaan sekarang.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan tidak boleh terlalu optimistik, sebaliknya perlu konservatif dalam unjuran ekonomi tahun depan.

Sambil itu, katanya, kerajaan tidak menolak kemungkinan masih ada unjuran negatif dalam belanjawan yang akan dibentangkan nanti.

Mengenai kesan kawalan tukaran asing yang dilaksanakan di negara ini, Perdana Menteri berkata: ''Kesannya hanya boleh dilihat selepas beberapa bulan.

Bagaimanapun, tanda-tanda awal pemulihan telah mula ketara.''

Beliau mengambil contoh peningkatan jualan kereta daripada 5,000 kepada 12,000 unit sebulan hasil kawalan mata wang asing, penurunan kadar faedah dan pengurangan bayaran pendahuluan bagi sewa beli.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan kadar asas pinjaman (BLR) yang dikenakan sekarang, Perdana Menteri berkata, kadar 8 peratus BLR diterima ramai kerana ia membantu terutamanya ahli perniagaan mula dan mengembangkan perniagaan mereka.

Selain itu, Dr. Mahathir turut ditanya mengenai Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan semula kenyataan mengenai kenaikan had pembelian saham dan amanah saham sebanyak 20 peratus.

Beliau yang belum dimaklumkan mengenai perkara itu berkata, mungkin terdapat kekeliruan berhubung tindakan itu dan yang pentingnya, kenyataan itu telah dikeluarkan semula.

Kelmarin BNM telah menarik balik kenyataan tersebut serta-merta tanpa sebarang sebab.

Perdana Menteri turut ditanya mengenai tindakan Bank Dunia menangguhkan pinjaman kepada Malaysia.

Dr. Mahathir yakin penangguhan itu disebabkan oleh Bank Dunia tidak pasti dengan kawalan mata wang yang dilaksanakan sekarang, seolah-olah ia memisahkan Malaysia dari dunia luar.

''Ia adalah tidak benar sama sekali kerana apa yang kita buat telah dilakukan oleh banyak negara lain.

Kita minta orang yang datang ke negara ini mengisytiharkan wang yang mereka ada dan undang-undang seperti ini telah lama ada, cuma kita tidak pernah melaksanakannya.

''Dan sekarang kita telah laksanakan,'' ujarnya.

Perdana Menteri turut memberitahu, beliau telah menjelaskan kepada Bank Dunia bahawa kerajaan juga tidak pernah menghalang modal asing untuk masuk ke negara ini.

 

Last Updated: 07/06/03 ©NE2002

 

Gold Dinar Research Group