Oleh: ISMAIL DAUD
SUBANG 28 Jun - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menangguhkan persaraan
sehingga sidang kemuncak Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam
(OIC) kerana mahu melihat ilhamnya supaya dunia Islam menggunakan dinar
emas dalam perdagangan antarabangsa tercapai.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin berkata, hasrat
itu adalah antara sebab mengapa Dr. Mahathir memilih Oktober tahun depan
sebagai tarikh untuk beliau melepaskan jawatannya.
Dr. Mahathir semasa `mempromosikan' cadangan itu yakin dinar emas mampu
menjadikan negara-negara Islam lebih berkuasa.
``Beliau (Dr. Mahathir) mahu memastikan dinar emas diterima oleh dunia
Islam, sebab itulah beliau begitu menekankan akan bersara selepas sidang
kemuncak OIC'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Abdul Aziz yang merupakan antara orang paling kanan dengan Dr. Mahathir
dan bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri berkata, beliau menganggap
sidang kemuncak OIC itu merupakan medan terbaik untuknya berbuat demikian.
Malaysia akan menjadi tuan rumah buat kali pertama bagi sidang kemuncak
tersebut pada 24 dan 25 Oktober 2003. Dr. Mahathir akan mempengerusikan
sidang kemuncak itu.
``Begitulah komitmen beliau terhadap penggunaan dinar emas. Beliau
mahu ia berjaya,'' kata Aziz.
Dinar emas mula menarik perhatian Dr. Mahathir apabila melihat sistem
kewangan dunia gagal menangkis serangan spekulator mata wang sehingga
menjadikan mata wang banyak negara termasuk Malaysia jatuh secara mendadak.
Beliau yakin dinar emas yang disandarkan kepada nilai sebenar wang
dapat membendung kegiatan tersebut dan juga mampu menggantikan penggunaan
Dolar Amerika.
Beliau kemudiannya `menjaja' idea dinar emas ke seluruh negara Islam,
termasuk semasa lawatannya ke Amerika Syarikat (AS), mengadakan seminar
dan berdialog untuk meyakinkan dunia mengenai kelebihan mata wang itu.
Setakat ini, tiga negara Asia Barat bersetuju untuk menggunakan dinar
emas dalam urusan perdagangan dengan Malaysia.
Dr. Mahathir juga pernah berkata bahawa pertubuhan seperti OIC dan
Bank Pembangunan Islam (IDB) adalah badan yang paling sesuai untuk memperluaskan
penggunaan dinar emas.
Selain dinar emas, kata Aziz, Dr. Mahathir juga mahukan Persidangan
Pertubuhan Negara-negara Berkecuali (NAM) di Kuala Lumpur Februari ini
berjalan lancar dan berjaya.