SUBANG JAYA, Jumaat:
Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad memang berhasrat mengumumkan tarikh
sebenar persaraannya pada Perhimpunan Agung Umno pada Sabtu lalu, tetapi
tidak sempat berbuat demikian akibat diserbu ahli Majlis Tertinggi (MT).
Ahli MT, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin, berkata sebelum Perdana Menteri
sempat menghabiskan pengumuman itu, beliau diserbu sehingga wujud suasana
emosi dan ramai perwakilan terkejut serta menangis.
“Masalahnya, belum sempat dia buat kenyataan orang dah tutup, dah bangun,
semua serbu.
“Memang (dia) ada buat keputusan, cuma kita tak tahu bila. Kita tidak
benarkan dia bercakap,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri
majlis penyampaian sijil dan diploma Kolej Kejururawatan Pusat Perubatan
Subang Jaya, di sini hari ini.
Sebelum ini, sebuah akhbar harian berbahasa Melayu (bukan Berita Harian)
melaporkan Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno
hasil formula ‘tolak ansur' yang dipersetujui di Seri Perdana antara
beliau dengan Jawatankuasa Pengurusan Umno.
Laporan itu menyebutkan persetujuan Dr Mahathir itu hanya untuk satu
jangka masa tertentu yang dianggap sebagai tempoh peralihan.
Dalam pertemuan itu, jawatankuasa berkenaan diketuai oleh Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi, tiga Naib Presiden Datuk Seri Najib Razak, Tan
Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib; Setiausaha Agung,
Tan Sri Khalil Yaakob; Ketua Wanita, Datuk Seri Rafidah Aziz dan Ketua
Pemuda, Datuk Hishammuddin Hussein.
Abdul Aziz berkata, Dr Mahathir sendiri yang menetapkan keputusan melepaskan
jawatan Perdana Menteri selepas Oktober 2003 dan bukan hasil kompromi
atau tolak ansur beliau dengan Jawatankuasa Pengurusan parti.
“Memang Perdana Menteri yang tentukan (tarikh itu). Dia nak lihat supaya
Persidangan Negara Berkecuali (NAM) dan Persidangan Pertubuhan Islam
(OIC) di Kuala Lumpur tahun depan berjalan lancar kerana kedua-duanya
penting.
Dia nak lihat pelaksanaan dinar serta mengajak orang Islam jadi
Islam sebenar, bukan penjenayah.
“Tidak timbul soal kompromi kerana Dr Mahathir yakin timbalannya, Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi boleh memimpin negara dengan baik selepas
menyerahkan jawatan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, Dr Mahathir terpaksa menarik balik pengumumannya
pada perhimpunan itu kerana bimbang perwakilan dan orang ramai enggan
bersurai dari Pusat Dagangan Dunia Purta (PWTC).
“Dia tahu kalau dia tak umumkan (tarik balik), orang takkan balik dari
PWTC. Mungkin risikonya wujud huru-hara, menjerit dan menyebabkan kucar-kacir.
Ini boleh menyebabkan kerosakan pada kenderaan di jalan.
Kalau kena kenderaan Umno tak apa juga, tapi kalau kenderaan lain,
orang akan ingat Umno sudah ‘gila’ “Dia fikir itu semua.
Lagipun semua (perwakilan) minta jangan (letak jawatan). Dia sebenarnya
manusia lembut (hati). Mahathir sebenarnya manusia pemalu. Saya (tahu
kerana) bekerja untuk 27 tahun,” katanya.
Abdul Aziz juga berkata, beliau tahu Dr Mahathir memang berasa ‘letih’
selepas 21 tahun berkhidmat untuk negara, apatah lagi selepas merasakan
ramai tidak berterima kasih dan tidak mempedulikan pandangan jauh dan
pengorbanannya.
Bagaimanapun, ia tidak bermakna Perdana Menteri kecewa dan ia bukan
faktor menyebabkan Dr Mahathir mahu meletakkan jawatan, sebaliknya kerana
merasai masanya sudah sampai untuk beliau berbuat demikian memandangkan
sudah ada barisan pelapis.
Tambahan pula, katanya, Dr Mahathir berhasrat menumpukan perhatiannya
kepada keluarga selepas 21 tahun menabur bakti untuk bangsa dan negara.
“Beliau berpendapat keadaan ekonomi negara juga sudah mulai kuat, keadaan
politik pulih, kestabilan negara kekal dan indeks perniagaan juga menggalakkan.
Semua ini baginya masa sudah sampai (untuk bersara).
“Tetapi dia ulang akan terus menyumbang kepada perkembangan negara
kita. Mungkin tidak sebagai Perdana Menteri. Mungkin kita cadangkan
dia sebagai penasihat.
Sumbangannya tidak perlu datang sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Abdul Aziz juga berkata, rakyat sebenarnya tidak perlu bimbang dengan
pertukaran pucuk pimpinan negara jika semua akur nasihat Dr Mahathir
supaya menerima Abdullah sebagai penggantinya.
“Yang susahnya jika semua orang tidak mahu mendengar cakap dia. Kalau
semua orang sayang Mahathir, dengarlah nasihatnya.
Penggantinya ialah Abdullah, maka kita kena bekerjasama menyokong beliau,”
katanya.
Beliau juga mengingatkan ahli Umno supaya mengelakkan pergeseran berikutan
perkembangan terbaru dalam parti itu.
“Selalunya masalah timbul daripada parti sendiri. Saya harap semua
ahli Umno merapatkan barisan dan menyokong Abdullah untuk kebaikan negara,”
katanya.