Oleh Kadir Dikoh dan Wan Hazmir Bakar
KUALA LUMPUR, Rabu:
Tiga negara Arab berkemungkinan besar mahu berurusan menggunakan dinar
emas dalam urusan perdagangan dengan Malaysia, kata Datuk Seri Dr Mahathir
Mohamad.
Perdana Menteri berkata, malah sekurang-kurangnya 24 lagi negara yang
mempunyai perjanjian dagangan dua hala dengan Malaysia, berpotensi turut
menggunakan mekanisme sama.
“Kita sedang kaji negara mana yang sesuai. Waktu ini kita belum buat
keputusan lagi. Bukan mudah nak bagi orang terima penggunaan satu mata
wang tetapi kita yakin (boleh menggunakan dinar emas) dengan beberapa
negara yang kita mempunyai hubungan rapat. Kita akan cuba promosikan,”
katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama
selama sejam, diikuti sejam dialog pada Perhimpunan Hari Pekerja 2002
bagi sektor awam di Bukit Kiara dekat sini, hari ini.
Ditanya sama ada tiga negara Arab terbabit sudah bersetuju menggunakan
mekanisme yang dicadangkan Malaysia itu, Dr Mahathir yang tidak menyebut
nama negara berkenaan berkata mereka mungkin menerimanya.
Ketika di Rabat (Maghribi) baru-baru ini, beliau berkata, Malaysia
merancang mengadakan percubaan berdagang menggunakan dinar emas dengan
negara tertentu bagi meyakinkan negara Islam lain mengenai keupayaan
konsep itu dengan Malaysia sudah mempunyai mekanisme bagi melaksanakannya
tetapi konsep itu belum mendapat persetujuan semua negara Islam.
Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dalam pertemuan dengan Dr Mahathir
dikatakan turut melahirkan minat mengenai dinar emas dan ingin mengetahui
lebih lanjut mengenainya.
Perdana Menteri berkata, banyak lagi negara lain yang Malaysia boleh
rundingkan bagi mengguna dinar emas dalam urusan perdagangan.
“Kalau kita berniaga dengan mereka, kita bayar dengan dinar... dia
bayar kita dengan dinar juga.Kita ada perjanjian bayaran dua hala yang
mana bagi waktu tertentu, kita jumlahkan import dengan eksport, kita
bayar perbezaannya saja... jadi tak banyak penggunaan wang,” katanya.
Ditanya bila penggunaan dinar emas itu boleh dimulakan, beliau berkata,
Malaysia ingin menerokai butiran lanjut mengenai mekanisme itu apabila
ia mengadakan seminar antarabangsa mengenainya di sini dalam tempoh
terdekat ini.
Katanya, perkara itu bukan sesuatu yang mudah kerana ia agak luar biasa
dan negara yang mahu menggunakannya pula perlu mengkaji kesan terhadap
ekonominya serta hubungan mereka dengan negara lain.
Beliau berkata, tidak ada bantahan dari negara Barat terhadap penggunaan
dinar emas dan sekarang ini pun e-dinar iaitu penggunaan dinar emas
melalui pemindahan elektronik sudah digunakan oleh individu di Barat,
bukan oleh negara tertentu.
Katanya, penggunaan dinar emas dalam pembayaran urusan dagangan tidak
terdedah kepada spekulasi berbanding mata wang kertas kerana emas sentiasa
mempunyai nilai, malah dinar emas boleh digunakan sebagai kredit bagi
pembayaran dua hala.
Dr Mahathir berkata, Malaysia juga ingin mengembangkan penggunaan e-dinar
dan berusaha untuk meyakinkan beberapa negara secara berperingkat supaya
mudah difahami dan diterima.
“Kita bukan boleh nak paksa negara lain. Kalaupun negara kita sanggup
nak guna, orang lain tak nak guna, kita tak boleh guna juga. Malah kita
boleh menggunakan dinar emas bukan saja dengan rakan dagangan utama,
malah dengan negara kecil yang turut berdagang dengan kita. Kita tengok
nanti bagaimana ia berjalan dan kita terpaksa menyelesaikan masalah
kerana banyak masalah akan timbul,” katanya.
Terdahulu, ketika menjawab soalan dalam majlis dialog itu, Perdana
Menteri berkata dinar emas hanya digunakan untuk perdagangan pada peringkat
antarabangsa dan ringgit pula akan tetap terus digunakan dalam negara.
Katanya, kira-kira 82 peratus dagangan Malaysia yang bernilai AS$170
bilion setahun menggunakan urusan itu dalam dolar Amerika, yang ditambat
pada nilai RM3.80 bagi setiap dolar.
“Kita tak boleh guna dinar emas untuk menjual-beli dalam negara...
tak praktikal nak beli bawang pun pakai dinar. Sebenarnya nilai ringgit
kita ada kaitan dengan dinar emas.
“Kita boleh pergi ke bank untuk membeli dinar dan dinar ini kita gunakan
sebagai kredit untuk membeli barang dari luar negara,” katanya.