GDRG Home

THE GOLD DINAR RESEARCH GROUP

Universiti Sains Malaysia, Penang

About Us | Members | Activities | Articles | Photo Gallery | The Dinar | Zakat | Mahr | Dinar Trade Network| Bookshop | Links | Announcements | Contact Uss

 

Back to News
page 1, page 2, page 3
 

Peneraju dinar emas -- Malaysia boleh jadi pemimpin perdagangan antara negara Islam

UTUSAN MALAYSIA (MUKA HADAPAN) 01/08/2001

 

PUTRAJAYA 31 Julai - Malaysia boleh menjadi peneraju dan pemimpin dalam penggunaan mata wang dinar emas dan dirham perak bagi perdagangan khususnya di kalangan negara-negara Islam.

Tokoh agama terkenal di Eropah dan pengasas Gerakan Murabitun Sedunia, Shaykh Abdalqadir As-Sufi berkata, ini kerana Malaysia mempunyai seorang pemimpin yang berpandangan moden dan realistik serta berani menyuarakan kepincangan dalam sistem kewangan dunia.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad juga telah membuktikan kewibawaannya menyelamatkan Malaysia sewaktu krisis kewangan melanda Asia.

Katanya, Dr. Mahathir dapat mengenal pasti tipu helah terancang yang wujud dalam sistem kewangan sekarang dan terus mengatur tindakan menghalang Malaysia daripada menjadi mangsa.

``Walaupun nilai mata wang Malaysia jatuh separuh nilainya pada waktu itu tetapi tidak ada kilang yang ditutup dan kapal gagal meninggalkan pelabuhan negara ini.

``Tiada pemimpin Islam lain yang dapat melakukan tindakan seperti itu dan saya sangat gembira dapat berjumpa pemimpin tersebut hari ini,'' katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Shaykh Abdalqadir berkata, dalam pertemuan itu, Dr. Mahathir telah menyatakan kesediaan untuk membincangkan penggunaan dinar emas bersama para intelektual di negara ini.

``Beliau (Dr. Mahathir) juga bersetuju untuk mengadakan seminar bagi melihat perkara itu dengan lebih luas dan dari sudut teknikal,'' katanya.

Dalam pada itu, Shaykh Abdalqadir menyatakan rasa kagum dengan kejayaan pembangunan Malaysia sehingga beliau meletakkan negara ini sebagai contoh kepada negara-negara Islam yang lain. Katanya, umat Islam di negara ini perlu bersyukur dengan apa yang mereka nikmati kerana inilah contoh negara Islam sebenar yang dituntut oleh agama.

Katanya, isu negara Islam tidak timbul kerana apa yang lebih penting dan perlu diutamakan ialah memenuhi tuntutan Islam yang sebenar iaitu Rukun Islam.

``Saya katakan bahawa pihak yang menentang Perdana Menteri anda adalah syiah (orang yang mengasingkan diri) kerana mereka tidak ada dasar kewangan yang berteraskan Islam, sebaliknya mereka lebih gembira dengan Dana Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia serta wang kertas,'' katanya.

Sementara itu, Pengarah Pertubuhan Perdagangan Islam Dunia (WITO), Umar Ibrahim Vadillo berkata, dinar emas mampu menjadi kaedah utama pembayaran kerana terdapat lebih satu bilion umat Islam di dunia ini.

Katanya, dinar emas tidak akan dapat digugat oleh mana-mana mata wang termasuk dolar Amerika kerana emas adalah satu komoditi dan mempunyai harga yang sangat stabil. Beliau yang juga pengasas e-dinar Ltd. yang berpangkalan di Labuan, mengakui agak sukar untuk orang ramai termasuk umat Islam menerima dinar emas sebagai kaedah pembayaran tetapi ia bukan mustahil.

``Caranya ialah dengan meningkatkan fungsi wang tersebut dan ia tidak memerlukan unsur politik untuk berjaya kerana emas mempunyai nilai tersendiri,'' katanya yang turut serta dalam pertemuan berkenaan.

Justeru, katanya, satu blok perdagangan yang menggunakan dinar emas boleh diwujudkan walaupun hanya 20 pihak yang menganggotai blok tersebut. Umar berkata, penggunaan dinar dan dirham juga disebut dalam al-Quran, sejajar dengan undang-undang Islam dan merupakan sebahagian daripada sejarah Islam. Katanya, dinar emas dan dirham perak yang diperkenalkan sekarang adalah sama berat dan saiznya dengan yang digunakan di zaman Khalifah Umar Al-Khattab.

Beliau memberitahu, e-dinar Ltd. telah memulakan inisiatif untuk menggunakan dinar emas dalam perniagaan menerusi laman web www.e-dinar.com dan sebanyak 300,000 orang dari 130 negara telah mula menggunakannya.

``Ini menunjukkan dinar emas sudah mula diterima oleh masyarakat,'' katanya.

Dr. Mahathir semasa merasmikan Simposium Al-Baraka Ke-20 Mengenai Ekonomi Islam di Kuala Lumpur Jun lalu, telah mencadangkan supaya dinar emas digunakan sebagai mata wang umat Islam. Katanya, dinar emas itu bukan sahaja mampu menyatupadukan umat Islam malahan dapat mengelak daripada serangan penyangak mata wang. Ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat minggu lalu pula, Dr. Mahathir berharap Malaysia dapat memainkan peranan lebih berkesan dalam membentuk mata wang dinar Islam melalui Pertubuhan Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSO). IFSO yang ditubuhkan semasa Simposium Al-Baraka akan beribu pejabat di Kuala Lumpur.

 

Last Updated:07/06/03 ©NE2002

 

Gold Dinar Research Group