KUALA LUMPUR 28 Mac - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu (DPMMT)
hari ini menyeru semua pihak menyokong cadangan Datuk Seri Dr. Mahathir
Mohamad supaya dinar emas dijadikan mata wang perdagangan antarabangsa.
Yang Dipertuanya, Wan Mohd. Al Bakri Wan Md. Noor berkata, sudah tiba
masanya mekanisme itu menjadi agenda utama di kalangan negara Islam
berdasarkan kesediaan semua negara terutamanya Malaysia untuk melaksanakannya.
``Mekanisme ini penting kerana ia akan mengurangkan risiko spekulasi
dan lebih praktikal kerana nilainya tidak perlu dilindungi,'' katanya
dalam kenyataan di sini, hari ini.
Wan Mohd. Al Bakri berkata, krisis ekonomi tahun 1997 memperlihatkan
betapa rapuhnya penggunaan mata wang kertas dalam perdagangan antarabangsa
sedunia.
Katanya, keterjejasan ekonomi sebegini telah mengakibatkan kesan rantaian
yang sukar untuk dipulihkan dan mengambil masa yang lama untuk kembali
ke kedudukan asal.
Beliau menambah, keadaan ini menjadikan cadangan penggunaan dinar emas
harus dilihat sebagai saranan tepat kerana ia mampu membantu ke arah
pertumbuhan yang lebih stabil dan progresif.
``Bersandar hakikat ini, kami perlu menyokong saranan ini dan memainkan
peranan lebih aktif serta bekerjasama bagi mengurangkan pergantungan
kepada dolar Amerika,'' katanya.
Selain itu, beliau berkata, penggunaan dinar emas juga dilihat sebagai
satu kaedah menyatukan negara islam dan usaha memperkuatkan ekonomi
negara terlibat menerusi perdagangan sesama mereka.