GDRG Home

THE GOLD DINAR RESEARCH GROUP

Universiti Sains Malaysia, Penang

About Us | Members | Activities | Articles | Photo Gallery | The Dinar | Zakat | Mahr | Dinar Trade Network| Bookshop | Links | Announcements | Contact Uss

 

Back to News
page 1, page 2, page 3
 

PM - Produk Berasaskan Syariah Diperlukan.

TV3 BULETIN UTAMA 26 March 2002

 

Pasaran modal Islam perlu memperkenalkan produk berasaskan Syariah yang menepati kehendak pelabur dan pengeluarnya. Perdana Menteri Datuk Seri Doktor Mahathir Mohamad berkata ini penting jika pasaran modal Islam mahu kekal berdaya-saing, menarik dan inovatif. Datuk Seri Doktor Mahathir berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pasaran Modal Islam Antarabangsa. Persidangan dua hari anjuran Suruhanjaya Sekuriti dan Institut Strategi Dan Kepimpinan Asia, ASLI, ini dihadiri lebih 500 peserta daripada dalam dan luar negara.

Menurut Perdana Menteri produk yang dihasilkan oleh pasaran modal Islam perlu kos-efektif dan berdaya-saing dengan produk kewangan konvensional. Katanya, umat Islam kini mempunyai intelek, kekuatan dan kemahiran untuk membawa pasaran modal Islam ke arah itu.

"Jika kita hanya menumpukan perhatian kepada usaha menilai atau menceduk produk daripada pasaran konvensional, maka pasaran modal Islam akan sentiasa mengekor sistem kewangan konvensional."

Tambah beliau kegagalan memenuhi permintaan umat Islam dalam menyediakan instrumen kewangan berdasarkan Syariah akan menyebabkan umat Islam terpaksa bergantung kepada sistem sedia ada yang berasaskan Riba dan Gharar.

Dunia kewangan Islam, katanya, perlu melihat usaha memperkenalkan pelbagai jenis instrumen kewangan Islam sebagai satu usaha Fardhu Kifayah. Beliau menggesa umat Islam supaya tidak membiarkan perbezaan pendapat mengenai interpretasi syariah menjadi batu penghalang ke arah usaha itu.

"Ia perlu dilihat sebagai satu cabaran dan peluang. Cabaran - kerana perbezaan pendapat akan memaksa analisis mendalam dan penilaian. Peluang - kerana ia membenarkan cendekiawan berijtihad dan berlaku fleksibel dalam menangani isu baru."

PM - Dinar Islam Banyak Kelebihan.

Perdana Menteri juga menyentuh mengenai cadangan penggunaan Dinar Islam atau Dinar Emas di kalangan negara Islam. Katanya, penggunaan Dinar Emas mempunyai banyak kelebihan seperti kestabilan nilai dan mengurangkan risiko spekulasi.

"Dinar Emas boleh dipegang sebagai Rizab Bank Pusat. Dagangan tidak semestinya dibayar menggunakan Dinar sebenar tetapi eksport dan import di antara dua negara boleh diimbangi dan hanya perbezaannya dibayar dalam dinar. Ini akan mengurangkan keperluan untuk menggerakkan Dinar. Malah, lebihan atau defisit dagangan boleh dikredit atau didebitkan bersandarkan import atau eksport masa depan."

Tambah beliau perdagangan dunia sebenarnya boleh diperluaskan melalui penggunaan Dinar kerana kos perniagaan akan berkurangan memandangkan tiada lagi keperluan bagi melindungi nilai matawang. Antara kelebihan penggunaan Dinar Islam ialah sebagai bayaran untuk dagangan antarabangsa, mempunyai nilai tetap, boleh digunakan sebagai rizab bank pusat dan tidak terdedah kepada manipulasi.

Konsep Dinar Islam ialah sejenis matawang Emas tulin.

Mengikut standard pertubuhan perdagangan Islam setiap Dinar mempunyai ciri-ciri berikut, berat sebanyak 4.3 gram, diperbuat daripada Emas 22-karat dan berukur lilit 23 milimeter. Standard ini digunapakai sejak zaman Khalifah Umar Al-Khattab.

Menurut satu laporan, idea Dinar Islam semakin mendapat sambutan daripada kalangan negara Islam kerana ramai berpendapat sistem matawang yang ada sekarang tidak lagi diyakini.

Bagaimanapun, Datuk Seri Doktor Mahathir yang juga Menteri Kewangan, berkata, penggunaan Dinar Islam tidak bermakna penggunaan matawang sesebuah negara dihentikan.

"Cadangannya ialah menjadikan Dinar ini matawang perdagangan antarabangsa sahaja. Ia tidak akan menggantikan matawang mana-mana negara."

Buletin 1.30 Mekanisme Dinar Sebagai Matawang Perdagangan Antarabangsa Sudah Sedia Malaysia telah menyediakan mekanisme bagi membolehkan dinar emas digunakan sebagai matawang perdagangan antarabangsa. Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata penggunaan dinar emas akan mengurangkan risiko spekulasi dan memperluaskan dagangan dunia. Perdana Menteri berucap merasmikan Persidangan dan Minggu Pasaran Modal Islam Antarabangsa. Malaysia sebelum ini telah mencadangkan supaya dinar emas dijadikan sebagai matawang perdagangan antarabangsa. Ini kerana penggunaannya boleh memberi kesan positif kepada perdagangan dunia. Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, menjadikan dinar satu matawang perdagangan antarabangsa, tidak bermakna ia akan menggantikan matawang mana-mana negara. Perdagangan antarabangsa katanya memerlukan penetapan kadar pertukaran matawang negara dagangan. Matawang kertas sebenarnya tidak mempunyai nilai intrinsik dan ini menjadikan kadar tukaran dibuat rambang dan tertakluk kepada manipulasi. Ini dapat dilihat seperti yang berlaku ketika krisis kewangan yang melanda Asia beberapa tahun dahulu. Seminar dua hari bermula hari ini dianjurkan bersama oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia, Asli.

 

Last Updated: 07/06/03 ©NE2002

 

Gold Dinar Research Group