GDRG Home

THE GOLD DINAR RESEARCH GROUP

Universiti Sains Malaysia, Penang

About Us | Members | Activities | Articles | Photo Gallery | The Dinar | Zakat | Mahr | Dinar Trade Network| Bookshop | Links | Announcements | Contact Uss

 

Back to News
page 1, page 2, page 3
 

Nilai ringgit ditetap -- Usaha terakhir untuk memulihkan ekonomi negara

UTUSAN MALAYSIA (MUKA HADAPAN) 01/09/1998

 

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Kerajaan hari ini mengumumkan langkah drastik untuk menetapkan sendiri nilai pertukaran ringgit tidak lama lagi bagi membendung kegiatan spekulasi.

Serentak dengan itu, kerajaan juga akan mengenakan kawalan terhadap pertukaran wang asing ke atas ringgit bagi memulihkan ekonomi negara yang gawat selepas serangan spekulator asing.

Langkah-langkah itu, yang disifatkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagai usaha terakhir untuk memulihkan ekonomi negara antara lain menghendaki mereka yang menyimpan ringgit di luar negara membawa balik wang itu dalam tempoh sebulan mulai hari ini.

Jika gagal membawa balik wang dalam tempoh tersebut, mereka akan menghadapi kerugian kerana nilainya akan lupus.

Tujuan kerajaan berbuat demikian adalah untuk menstabilkan mata wang itu dan mengurangkan risiko ringgit terus dimanipulasikan di pasaran terbuka. Sejak ringgit diserang pada Julai tahun lalu, nilainya telah jatuh sebanyak 40 peratus berbanding dolar Amerika.

Ini telah menyebabkan negara mengalami kegawatan ekonomi yang teruk akibat kadar tukaran yang tinggi.

''Ringgit yang berada di luar negara tidak sah lagi mulai 1 Oktober.

''Jika tidak dibawa balik dalam tempoh itu, ia akan menjadi tidak laku dan kita tidak akan membenarkan ia kembali ke Malaysia dalam apa juga bentuk,'' kata Dr. Mahathir dalam program Wawancara Khas Bersama Perdana Menteri dengan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) di sini.

Wawancara itu diadakan selepas Dr. Mahathir mempengerusikan mesyuarat khas kabinet di Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi menggariskan langkah drastik itu kepada jemaah menterinya.

Ahli-ahli panel dalam wawancara itu terdiri daripada Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press, Datuk A. Kadir Jasin, Pemangku Editor Eksekutif (Ekonomi) Bernama, Yong Soo Heong dan Pengarah Bahagian Ekonomi Public Bank Bhd., Nasaruddin Arshad.

Pagi ini, Pemangku Gabenor Bank Negara Datuk Dr. Zeti Akhtar Aziz turut mengumumkan langkah-langkah kawalan tersebut yang antara lain mengehadkan seseorang pemastautin membawa keluar ringgit melebihi RM10,000.

Sementara bagi bukan pemastautin pula dihadkan membawa hanya RM1,000 sahaja ketika masuk-keluar negara ini.

Di samping itu, urus niaga menerusi penama (nominees) di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dihentikan serta-merta untuk memastikan hanya pelabur yang tulen sahaja melabur di bursa itu. Bagi pelabur-pelabur BSKL penjualan saham-saham hanya dibenarkan dibuat selepas setahun.

Dr. Mahathir menjangka sebanyak antara RM20 bilion dan RM25 bilion mata wang itu yang kini berada di luar negara dapat dibawa balik dalam tempoh sebulan ini hasil langkah yang diambil.

Beliau berkata langkah yang diumumkan oleh bank pusat itu boleh disifatkan sebagai ''usaha terakhir'' kerajaan bagi memulihkan ekonominya.

''Melalui nilai ringgit yang tetap ini, ia mampu menarik pelaburan asing kerana mereka mempunyai peluang yang lebih baik untuk membuat keuntungan,'' katanya.

Ditanya oleh salah seorang ahli panel sama ada langkah kerajaan itu akan memberi imej buruk kepada negara, Dr. Mahathir secara berseloroh tetapi tegas berkata: ''Ia tidak akan memberi imej buruk kepada negara kecuali kepada perdagang mata wang dan mungkin juga kepada sesetengah media.''

Pengumuman Dr. Mahathir itu mendapat reaksi spontan daripada pasaran mata wang apabila ringgit hari ini ditutup pada paras RM3.90 berbanding dolar iaitu kenaikan 5 peratus berbanding RM4.19 yang ditutup pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun BSKL menyaksikan Indeks Kompositnya jatuh 40 mata ditutup 262 mata.

Menurut Perdana Menteri: '' Sekiranya kita dapat mengawal nilai ringgit, kita boleh mengurangkan kadar faedah kita dan orang lain tidak boleh mengawal nilai mata wang kita lagi.

''Kita tidak jamin langkah ini berjaya tetapi setelah kita mengambil langkah ini tidak ada sebab mengapa ianya tidak boleh berjaya.''

Beliau tidak menafikan mungkin terdapat lagi usaha untuk mensabotaj langkah-langkah terbaru itu, tetapi kerajaan juga akan bertindak jika keadaan itu berlaku.

Ditanya mengenai pengaliran wang asing ke dalam negara, Dr. Mahathir berkata, ia boleh dibawa masuk bagi tujuan pelaburan.

Sebaliknya, kebenaran daripada Bank Negara diperlukan jika wang itu hendak dibawa keluar negara.

Ketika ditemui pemberita selepas wawancara itu, Dr. Mahathir berkata, kerajaan akan memperkenalkan kadar tetap ringgit itu ''tidak lama lagi'' dan ia akan dilaksanakan selama ia diperlukan.

Ditanya pada tahap mana ringgit akan ditetapkan, beliau berkata: ''Kita akan lihat bagaimana pasaran itu boleh bertahan.''

''Saya mahu lihat satu kadar tukaran yang stabil dan tidak turun naik,'' katanya sambil menambah kadar tukaran ringgit akan ditentukan oleh faktor permintaan dan penawaran di dalam negara.

Dr. Mahathir berkata, wang kertas yang bernilai dari RM1,000 dan RM500 akan dimansuhkan bagi mengelakkan orang ramai membawa nilai itu keluar masuk dari negara ini tanpa kawalan.

Perdana Menteri juga berkata, pengembara yang membawa ringgit melebihi had yang ditetapkan iaitu - RM10,000 untuk pemastautin dan RM1,000 bukan pemastautin - wang itu akan dirampas.

Oleh: OTHMAN MOHAMAD dan RAZAK DIN

 

Last Updated: 07/06/03 ©NE2002

 

Gold Dinar Research Group