THE GOLD DINAR RESEARCH GROUP |
|
Universiti
Sains Malaysia, Penang
|
About Us | Members | Activities | Articles | Photo Gallery | The Dinar | Zakat | Mahr | Dinar Trade Network| Bookshop | Links | Announcements | Contact Uss
|
|
Dato Seri Dr Mahathir bin Mohamad MAJLIS PERASMIAN KURSUS AGAMA ANJURAN BIRO AGAMA UMNO MALAYSIA, DEWAN UMNO, 27-11-1981 |
|||||
Bismillahi rahmanir rahim. Saudara dan saudari sekelian. Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Sebelum saya sentuh tajuk persidangan ini ingin saya memberi sedikit gambaran tentang keadaan di sekitar UMNO sebagai sebuah Parti Islam yang terbesar dan utama di Malaysia dan persekitaran orang Islam di zaman ini juga. Persekitaran merupakan satu keadaan dan faktor yang penting kerana kita tidak hidup dalam suasana yang kosong di mana kita sahaja wujud dan orang lain tidak wujud. Sebaliknya adalah nyata sekali bahawa kita hidup dalam satu alam yang bukan sahaja penghuninya terdiri daripada lain-lain makhluk Allah tetapi makhluk ini pula adalah berbeza-beza rupabentuk dan sifatnya. Manusia yang ada di sekeliling kita adalah berbeza antara satu dengan lain sehingga mereka sering bermusuh-musuhan kerana timbulnya pendapat dan kepercayaan yang berbeza-beza. Perbezaan juga terdapat di kalangan mereka yang seagama. Perbezaan ini kadang-kadang begitu nyata dan ketara sekali sehingga sukar sekali untuk kita mencari dan mengenal persamaannya. Demikianlah juga jika kita bandingkan orang-orang Islam daripada golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan orang-orang Syiah. Terdapat pula ramai yang menganggap diri mereka sebagai orang Islam sedangkan kepercayaan mereka sudah terkeluar daripada ajaran Islam, umpamanya kaum Kadiani. menghina. Adakalanya dalam sejarah, sesuatu bangsa atau kumpulan agama dihormati kerana kekuatan dan kekayaannya, dan ada pula masanya yang bangsa dan kumpulan yang sama itu menjadi lemah dan ditindas oleh kaum lain atau penganut agama lain. Dan ada masanya sesuatu kaum itu telah dimusnahkan terus sehingga tidak wujud lagi dengan tidak meninggalkan apa-apa bekas atau kesan. 3. Hakikat persekitaran dari segi keadaan semasa dan dari segi sejarah adalah perkara yang perlu diambilkira kerana tidak mungkin sesuatu golongan atau kumpulan itu berada sebagai kumpulan tunggal dan wujud secara tersendiri di dunia ini. Allah telah berfirman bahawa manusia dijadikan bersuku-suku dan berbangsa-bangsa, dan bukanlah tujuan Allah s.w.t mengadakan suku-suku atau bangsa-bangsa itu untuk mengasingkan mereka di antara satu dengan yang lain, tetapi sebaliknya tujuannya ialah supaya mereka berkenal-kenalan dan berbaik-baik. Nyatalah bahawa wujudnya berbagai kaum dan bangsa yang berbeza-beza adalah dengan kehendak Allah dan oleh itu mempunyai hikmatnya. Perlunya sesuatu kaum atau bangsa itu hidup di dalam satu persekitaran atau suasana di mana terdapat berbagai-bagai kaum dan bangsa adalah juga kehendak Allah. 4. Fahaman tentang adanya lain-lain kaum dan lain-lain bangsa dalam suasana atau persekitaran sesuatu bangsa itu adalah amat penting bagi orang Islam; orang-orang UMNO yang semuanya adalah Islam juga harus memahaminya. Hakikat ini adalah diiktiraf dan diakui oleh seluruh dunia Islam. Dalam persidangan Negara-Negara Islam di Taif pada awal tahun ini yang hadir bukan sahaja peserta-peserta Islam tetapi juga peserta-peserta Kristian yang mewakili beberapa buah negara Islam. Seorang Padri Kristian telah menyampaikan ucapan kepada persidangan tersebut dan seorang lagi Padri Kristian dari Palastin telah menghantar perutusan ucap selamat bersidang dan kejayaan. Ramai pula padri-padri daripada berbagai-bagai mazhab agama Kristian yang hadir sebagai pemerhati di Persidangan di Taif itu. 5. Islam berkembang dari Tanah Arab hingga meliputi seluruh dunia dengan mengambilkira faktor-faktor persekitarannya. Bahkan perkembangan Islam di zaman Nabi Muhammad s.a.w. telah menitikberatkan keadaan di sekelilingnya. Adakalanya satu langkah ke belakang perlu diambil untuk membolehkan dua langkah ke hadapan diambil kemudiannya. Pengikut-pengikut Rasulullah s.a.w. pernah dihantar berpindah ke negara Kristian supaya selamat dari penindasan kaum jahiliah di Mekah. Begitu juga Rasulullah s.a.w. sendiri telah di perintahkan oleh Allah s.w.t. supaya berhijrah ke Madinah demi keselamatan Baginda bagi membolehkan Baginda mengatur strategi untuk mengatasi kaum jahiliah dan mengembangkan agama Islam. Demikianlah pentingnya penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. ke Madinah sehingga tarikh penghijrahan ini diakui dan ditentukan sebagai tarikh permulaan perkiraan takwim atau kalendar dalam Islam. Tidak sesiapa pun boleh menafikan bahawa tindakan mengambilkira keadaan sekeliling atau persekitaran dalam menjaga keselamatan orang Islam dan bagi pengembangan agama Islam adalah suatu yang diizin dan disuruh oleh Islam. Islam tidak menyuruh penganutnya bersikap angkuh dan bertindak secara buta-tuli. 6. Sesungguhnya Allah s.w.t. telah melengkap dan menyempurnakan agama Islam melalui Nabi terakhir Junjungan kita Muhammad s.a.w. Ada mereka yang berpendapat bahawa oleh sebab agama Islam serta peraturan-peraturannya telah lengkap, yang perlu ialah dilaksanakan sahaja segala ajaran Islam sebagaimana dibuat oleh Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. tanpa lain-lain pertimbangan lagi. Pendapat ini adalah pendapat yang tidak berasas kepada fahaman yang mendalam terhadap strategi bagi mengamal dan mengembangkan agama Islam dalam keadaan dan suasana tertentu. Bagi menjelaskan perkara ini cuba kita tinjau umat Islam yang hidup sebagai golongan minoriti yang kecil di negara-negara yang diperintah oleh bukan Islam. Pemerintahan bukan Islam ini tidak mengizinkan undang-undang Islam dilaksana dan dikuatkuasakan walaupun di kalangan golongan minoriti Islam sahaja, jauh sekali dari menjadi amalan negara tersebut. Apakah ini bermakna bahawa semua golongan minoriti Islam di negara-negara bukan Islam itu tidak Islam, atau tidak mahu mematuhi ajaran Islam, atau kurang Islam? Sebenarnya mereka adalah Islam dan perbuatan mereka adalah perbuatan yang diizinkan oleh Islam dalam keadaan darurat yang mereka hadapi. 7. Umat Islam sekarang sedang berada di dunia yang sebahagian besar penduduknya ialah bukan Islam. Sementara di zaman keagungan Islam, orang Islam memiliki segala pengetahuan dan menguasai dunia baik dari segi ekonomi, pengetahuan, ketenteraan atau politik. Di zaman kita ini, kerana kelalaian orang Islam sendiri, ekonomi, pengetahuan, ketenteraan dan politik dunia dikuasai oleh orang bukan Islam. Hendak tak hendak orang Islam terpaksa "meminta-minta" daripada orang bukan Islam dalam hampir semua bidang, selain dari bidang rohaniah. Oleh kerana ini, walaupun orang Islam berjumlah 900 juta, mereka menjadi "minoriti" yang lemah di dunia. Kita tidak dapat bersaing, jauh sekali menandingi orang bukan Islam dalam bidang ekonomi, pengetahuan, ketenteraan atau politik. Mereka yang mendakwa negara mereka sebagai negara Islam dengan penduduk yang seratus-peratus Islam pun tidak berhenti-henti "meminta-minta" dari orang lain untuk menjaga keselamatan orang Islam. 8. Kita sedar bahawa sistem politik dan ekonomi Barat Islam. Sebaliknya, untuk menjaga kepentingan Islam, Islam mengizinkan kita mengambil tindakan yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam walaupun tidak berasal dari sistem Islam. Dalam keadaan darurat kita diharuskan "flexibility" yang lebih luas lagi. Dan bagi ramai dari kita, keadaan adalah cemas dan merupakan darurat. 9. Sistem kewangan dunia yang digunakan sekarang yang bergantung bukan sahaja kepada penggunaan emas dan perak, tetapi wang kertas dan cek bukanlah dari sistem Islam. Dari sistem ini telah wujud sistem bank, penukaran wang, surat-janji, pengadilan janji-janji perdagangan, pelaburan, ekspot impot, insuran dan lain-lain lagi. Sistem ini menguasai seluruh dunia sehingga kita tidak dapat tidak mesti menggunakannya. Kita juga tidak dapat mengasingkan diri dari dunia bukan Islam. Apakah dapat kita mengeluarkan minyak dan lain-lain bahan tetapi tidak menjual kepada orang bukan Islam. Sebaliknya jika kita tidak memperdulikan kekayaan yang dikurniakan Allah dan ingin hidup seperti zaman purba, kebolehan kita mempertahankan diri jika diancam oleh musuh dari dunia luar adalah tipis sekali. Kita mungkin kalah dan akan ditakluk. 10. Menerima dan mengamalkan sistem lain sedangkan Islam mempunyai sistemnya sendiri mungkin menjadikan kita seolah-olah tidak menghiraukan ajaran Islam. Tetapi sepertimana Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah, iaitu berundur untuk menyelamatkan Islam untuk masa depan, tidaklah juga salah jika kita pada hakikatnya membuat perbuatan yang sama kerana hendak menyelamatkan diri kita dan menyediakan diri untuk kemenangan kemudian. 11. Cuba kita kajikan hakikat yang sebenar. Di mana-mana juga dalam dunia Islam, bank dan sistem bank barat wujud. Dalam keadaan yang mana wang yang banyak didapati oleh negara Islam sebagai pendapatan daripada sumber minyak, masalah pengurusan wang yang bertimbun-timbun ini telah menjadi masalah yang besar. Tidak semua benda boleh dibeli dengan wang yang banyak ini sama ada di dalam negeri sendiri ataupun dari negeri-negeri Islam yang lain. Jika wang yang banyak ini dibelanjakan untuk membeli barang dari negara barat, maka baratlah yang akhirnya mendapat keuntungan daripada pengeluaran minyak di negara-negara Islam. Sebenarnya sebahagian besar hasil daripada kekayaan minyak adalah digunakan untuk membeli "sejuta satu" barang dan alat kelengkapan dari barat yang memberi keuntungan besar kepada mereka. Tetapi, bakinya masih banyak lagi. 12. Jika wang ini disimpan sahaja, nilainya tetap akan merosot kerana inflasi yang teruk yang melanda dunia termasuk negara-negara pengeluar minyak. Ada mereka yang menyimpan wang ini tanpa menerima faedah. Tetapi semua tempat simpanan wang, sama ada bank atau institusi lain menggunakan wang yang disimpan dengan mereka untuk diberi sebagai pinjaman dengan faedah. Akibatnya sementara individu Islam tidak menerima faedah sendiri, wangnya mengeluarkan faedah kepada bank atau institusi lain. Jika bank itu bukan kepunyaan orang Islam, maka keuntungan dari faedah dapat kepada orang yang bukan Islam. Sebenarnya banyak bank kepunyaan orang Zionis mendapat untung dari menyimpan wang orang Islam dan keuntungan ini sebahagiannya tentulah diguna untuk kepentingan Israel. 13. Untuk mengurus wang yang berbillion- billion ringgit, tak mungkin wang tunai, sama ada wang kertas, atau emas, atau perak digunakan. Cek-cek dan lain-lain surat janji terpaksalah diguna. Semua ini adalah sebahagian dari sistem bank barat. Oleh kerana itu bank-bank tumbuh seperti cendawan di negara Islam terutamanya semenjak zaman minyak mahal. Sebenarnya perniagaan bank merupakan salah satu perniagaan yang terbesar sekali dalam dunia Islam kerana orang Islam tidak mempunyai teknoloji dan pengetahuan yang secukupnya dalam bidang pembuatan barang-barang dan lain-lain bidang perusahaan dan perniagaan. 14. Adalah jelas sekali bahawa setengah-setengah negara Islam terperangkap dengan kekayaan mereka sendiri. Tetapi wujudnya terlalu banyak perniagaan bank bukanlah sesuatu yang patut diterima baik oleh orang Islam. Kita cuma dapat menerima keadaan ini sebagai sesuatu yang sementara sahaja. Tetapi sebelum kita dapat berpindah kepada aktiviti ekonomi yang diizinkan oleh Islam, kita perlulah menguasai segala pengetahuan dalam bidang ini. Jika kita secara buta tuli cuba mencebur diri dalam bidang yang kita tidak mempunyai pengetahuan yang cukup, kita akan ditipu sepertimana negara Islam telah ditipu selama hampir 100 tahun untuk menjual minyak dengan harga yang amat murah. Kita boleh menyalahkan orang yang menipu kita tetapi kita tidak boleh melepaskan diri kita sendiri daripada perbuatan tidak menghiraukan anjuran agama Islam supaya kita menuntut ilmu. Kerana tidak ada ilmulah kita tidak dapat mengeluarkan minyak yang ada dibumi kita dan tidak tahu menapis dan memasarnya. Kerana tidak ada ilmulah, kita tidak dapat mengadakan perniagaan dan perusahaan yang sesuai bagi kepentingan kita. Kesalahan adalah pada diri kita, terutamanya mereka yang sengaja menghalang penguasaan ilmu oleh kita. 15. Di waktu ini, walaupun negara-negara Islam ingin mempraktikkan sistem ekonomi Islam sepenuhnya hakikatnya ialah dalam dunia yang ekonominya ditakluk oleh orang lain kita tidak harus mengambil tindakan yang melulu yang boleh melemahkan kita lagi. Kita juga tidak mungkin mengasingkan diri. Membuang arang buatan orang bukan Islam tidak akan menjadikan kita lebih Islam atau boleh menyelamatkan kita. Begitu juga cuma memakai pakaian yang kita reka dan kita namakan pakaian Islam tidak juga akan menyelamatkan kita. Hanya dengan menguasai ilmu dan kebolehan yang diperlukan barulah dapat kita menyelamatkan diri kita. 16. Kita harus faham latarbelakang Islam dalam negara kita dan latarbelakang Islam dalam dunia moden. Kita harus faham kerana kita bertanggungjawab terhadap keselamatan Islam dan orang-orang Islam. Jika masyarakat Islam membuat sesuatu kerana keangkuhan atau kerana nafsu, atau membiar sesuatu yang merbahaya berlaku kerana tidak mengambilkira kemampuan mereka,dan kerana perbuatan mereka Islam dan orang Islam terjerat dan terpaksa tunduk kepada orang lain, dan mungkin pula terpaksa berpisah dari agama Islam, maka merekalah yang bersalah, merekalah yang sebenarnya memisahkan orang Islam dari agama mereka. Merekalah yang berdosa. Sebab itu kita harus faham dan kita harus berhati-hati. Kita tidak mahu nasib orang Afghan menimpa kita. Hari ini beberapa negara Islam sudah menjadi negara Komunis yang menolak Allah s.w.t.kerana kelemahan orang Islam sendiri. Mereka tidak berupaya mempertahankan diri mereka dari serangan ideologi dan fizikal musuh Islam. 17. UMNO dan ahli-ahlinya perlu faham keadaan persekitaran. Segala tindakan yang diambil hendaklah berdasarkan kepada kesedaran terhadap persekitaran dan keupayaan diri sendiri. Kita hendaklah sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan supaya kelemahan kita tidak menghalang pelaksanaan ajaran Islam. 18. UMNO sebagai sebuah parti Islam mempraktikkan segala yang disuruh oleh Islam. Mungkin ada orang yang menuduh bahawa UMNO sebagai parti yang memerintah tidak melaksanakan semua undang-undang Islam. Ini tidaklah benar kerana apa yang kita buat adalah mengikut landasan yang diizinkan oleh Islam berasaskan Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Langkah-langkah yang cermat dan berhati-hati adalah selaras dengan kehendak Islam. Sebaliknya, mereka yang menuduh UMNOlah yang tidak menurut hukum Islam. Dan ini boleh kita buktikan bila-bila sahaja. 19. Walaupun demikian UMNO sebagai parti Islam tidak akan bersikap sebagai musuh kepada mereka yang menuduh secara melulu itu. Kita bersedia untuk mendampingi mereka, untuk berbaik-baik dengan mereka dan untuk bekerjasama dengan mereka. Kita bersedia kerana kita ingin membuat apa yang disuruh oleh Islam dan apa yang boleh kita buat untuk Islam. 20. Jika kita menegur, jika kita mengambil tindakan untuk menghalang perbuatan kafir-mengkafir, perbuatan pulau-memulau, perbuatan berjemaah berasingan, perbuatan tidak mahu menunaikan fardhu kifayah, ini semua kita buat kerana kita adalah orang Islam yang mahu patuh kepada hukum-hukum Islam. Sebagai orang Islam, sebagai Parti Islam dan sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab kepada orang Islam dan agama Islam di negara ini, adalah menjadi satu kesalahan besar dan berdosa jika kita lihat satu kesalahan dibuat terhadap agama Islam tetapi kita tidak mengambil tindakan, sedangkan kita berupaya mengambil tindakan. 21. UMNO sebagai parti Islam dan pendukung agama Islam dalam Kerajaan yang memerintah sebuah negara yang agama rasminya adalah Islam mempunyai tanggungjawab yang berat. Kita tidak bertindak kerana ingin memenangi pertandingan politik. Kita bertindak kerana kehendak Islam dan ajarannya. Siapa juga yang berpegang kepada pendapat ini adalah kawan kita. Siapa yang mencabul agama Islam akan kita tentang. Tetapi jika mereka insaf dan berbalik kepada ajaran Islam, jika mereka ingin bersaudara sebagai orang Islam, kita akan menerima mereka. Kesalahan mereka dahulu akan dibalas oleh Allah s.w.t. Yang kita boleh buat ialah menerima mereka yang telah sedar mengenai kesalahan mereka. Bukanlah bagi kita untuk membaca apa yang tersemat di dalam hati mereka. Yang kita perlu terima sebagai manusia biasa ialah apa yang nyata kepada kita sahaja. 22. Ini adalah prinsip dan asas perjuangan UMNO sebagai parti Islam di Malaysia. Ini, saudara-saudari sebagai pemimpin parti UMNO harus tahu. Tidak harus ada kekeliruan di kalangan ahli UMNO tentang peranan UMNO sebagai pendukung agama Islam. 23. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Pembukaan Kursus Ugama ini. Wabillahit-taufiq, walhidayah, Wasaalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. |
|||||
Last Updated: 12/09/02 ©NE2002