GDRG Home

THE GOLD DINAR RESEARCH GROUP

Universiti Sains Malaysia, Penang

About Us | Members | Activities | Articles | Photo Gallery | The Dinar | Zakat | Mahr | Dinar Trade Network| Bookshop | Links | Announcements | Contact Uss

 

Back to PM's Speeches

Dato Seri Dr Mahathir bin Mohamad

PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI

RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA, 18-01-1999

 

Syukur kita kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana sekali lagi umat Islam di negara kita dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan aman tenteram dan penuh kegembiraan walaupun negara masih menghadapi kegawatan ekonomi. Setiap tahun orang Islam di Malaysia dapat merayakan hari kebesaran agama Islam dengan sempurna dan bebas. Malah orang Islam di negara kita dapat menukar pakaian baru, menyedia pelbagai juadah kuih muih, menghias rumah mereka dan pulang ke kampung melawat sanak saudara dan sahabat handai semasa menyambut Hari Raya ini. Semua ini dapat dilakukan tanpa sebarang masalah besar.

2. Saya sebutkan perkara ini kerana hendak mengingatkan diri kita betapa bertuahnya umat Islam di Malaysia ini. Setiap tahun dalam perutusan saya menjelang Hari Raya Aidilfitri, malah dalam banyak acara lain, saya selalu menyeru rakyat negara kita terutama orang Islam supaya sentiasa bersyukur kepada Tuhan akan segala nikmat yang dicurahkan ke atas kita selama ini. Kita harus sentiasa bersyukur kerana al-Quran ada menyebut bahawa barang siapa yang bersyukur maka Allah akan menambahkan nikmat kepadanya.

3. Sewaktu kita menyambut Hari Raya ini kita harus merenung sejenak akan nasib umat Islam di negara-negara lain. Ramai antara mereka hidup dalam keadaan tertekan, tertindas dan dihina.

4. Di masa kita di Malaysia bersukaria merayakan Aidilfitri ada antara mereka yang terpaksa menyambutnya dalam ketakutan kerana bimbang mereka akan diserang dengan bom dan roket. Terdapat juga umat Islam yang terus terpaksa berperang untuk mempertahankan diri, walaupun semasa hari-hari perayaan seperti Aidilfitri. Ada juga umat Islam yang menghadapi kebuluran kerana sekatan bekalan yang dikenakan ke atas negara mereka. Ada pula yang sudah menjadi miskin kerana tekanan ekonomi yang disengajakan sehingga tidak dapat membeli makanan, ubat-ubatan dan susu untuk anak.

5. Justeru itu kita umat Islam di Malaysia harus benar-benar bersyukur. Tetapi tidaklah memadai jika kita hanya menyatakan kesyukuran kita dengan penuh keikhlasan hati. Kesyukuran kita hendaklah disertai dengan tindakan-tindakan yang membuktikan kebenaran kesyukuran kita. Jika kita hanya berkata dalam hati bahawa kita bersyukur tetapi di masa yang sama kita membuat sesuatu yang melemahkan umat Islam dan mendedahkan mereka kepada tekanan dan penindasan orang lain, maka kesyukuran kita itu sudah tidak bermakna lagi. Antara perbuatan yang menidakkan kesyukuran kita ialah bermusuh-musuhan sesama Islam, mencetuskan huru-hara dalam masyarakat Islam, menghalang kemajuan dan kemampuan orang Islam dalam bidang ilmu pengetahuan dan kecekapan yang diperlukan bagi mengukuhkan ketahanan umat Islam dan lain-lain lagi.

6. Sepatutnya semasa kita mengejar kemewahan hidup diri kita tidak akan lupa akan tanggungjawab kita kepada agama, bangsa dan negara kita. Negara kita adalah tanggungjawab kita. Kita harus bersatu padu, bermuafakat dan saling bekerjasama dalam memaju dan memakmurkan semua rakyat dan negara kita. Jika kita mementingkan diri sendiri semata-mata maka akan rosaklah negara kita. Bahawa negara kita adalah negara berbilang kaum dan agama tidak bermakna kita tidak perlu memelihara keamanan dan ketahanan negara ini. Sebabnya ialah jika ada rusuhan sesama rakyat berbilang kaum di Malaysia, orang Islam juga akan menjadi mangsa sehingga mungkin mereka menjadi lemah dan dikuasai oleh orang lain. Justeru itu kita umat Islam di Malaysia harus memelihara keamanan dan ketenteraman dalam negara kita.

7. Saya berasa amat bersyukur kerana tekanan kegawatan ekonomi ke atas negara kita sejak tahun 1997 berjaya kita bendung dengan baik. Inilah Aidilfitri yang kedua kita sambut dalam suasana negara masih dilanda dengan kesan kegawatan ekonomi. Walaupun kedudukan ekonomi negara masih terjejas tetapi ia tidaklah sehingga sambutan untuk Hari Raya Aidilfitri menjadi tidak meriah. Saya percaya ini adalah kerana setiap rakyat negara kita bersikap rasional, tenang dan tidak mudah dihasut.

8. Sebenarnya rakyat kita amat disiplin dan sabar dalam menghadapi bencana kegawatan ekonomi ini. Mereka tidak panik atau hilang haluan. Mereka sanggup berkorban dan berusaha keras menambahkan produktiviti dan hasil pendapatan negara supaya ekonomi dapat dipulihkan. Rakyat pada keseluruhannya berdiri teguh bersama Kerajaan. Sebab itu usaha pihak tertentu untuk menghancurkan ekonomi kita sehingga kita tunduk kepada mereka telah gagal.

9. Oleh kerana melalui Dasar Ekonomi Baru kita berjaya mengagihkan kekayaan negara ini secara saksama di antara kaum, kegawatan ekonomi tidak menyebabkan kita hilang akal, merusuh dan bertindak ganas. Dengan itu iklim perniagaan terus baik dan pengangguran tidak banyak berlaku. Sebenarnya tidak akan ada sesiapa yang akan menganggur jika ia sanggup bekerja. Dengan berusaha dengan lebih gigih dan menaikkan produktiviti kita, kegawatan dapat diatasi dengan mudah dan pantas. Kemungkinan ini bertambah apabila Kerajaan berjaya membebaskan ekonomi kita daripada tekanan oleh pedagang matawang dan spekulator saham luar negeri.

10. Di samping usaha dan sikap rakyat, Kerajaan juga memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Kuasa yang diberi kepada Kerajaan oleh undang-undang dan Perlembagaan bertujuan untuk melindungi negara dan rakyat daripada ancaman yang datang dari mana-mana pihak. Dengan kuasa ini Kerajaan dapat menguasai semula nilai matawang dengan menyekat Ringgit daripada dijual-beli oleh pedagang matawang, seolah-olah matawang adalah satu jenis bahan mentah yang sama dengan kopi atau gula.

11. Sebenarnya matawang tidak berharga melainkan jika Kerajaan memberi nilai kepadanya. Wang kertas RM1.00 bukan bernilai RM1.00 daripada segi harga kertasnya. Ia bernilai RM1.00 kerana itulah nilai yang ditetapkan oleh Kerajaan. Jika Kerajaan mencetak angka lima atau sepuluh maka nilai kertasnya tidak naik kepada RM5.00 atau RM10.00. Hanya pengakuan dan jaminan Kerajaan yang menjadikannya bernilai sebanyak mana yang ditentukan.

12. Wang ini tidak boleh dijual sebagai bahan mentah kerana ia bukan bahan mentah yang mempunyai kegunaan tertentu. Justeru itu adalah tidak wajar matawang diniagakan. Sudah tentu peniaga tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menukar nilai matawang.

13. Tetapi mereka menukar nilai matawang dengan menukar jumlah Dolar Amerika yang boleh ditukar dengan matawang tertentu. Dengan cara ini mereka mengambilalih kuasa Kerajaan. Dengan dijual-beli matawang dengan Dolar Amerika mereka meraih keuntungan yang amat besar.

14. Apa yang terjadi kepada negara dan rakyat tidak dipedulikan oleh mereka. Yang mereka utamakan ialah keuntungan besar bagi mereka, keuntungan yang berjumlah berbilion-bilion dolar.

15. Ternampak jelas pedagang matawang ini amat tamak dan tidak boleh dibenarkan menguasai nilai matawang. Oleh itu Kerajaan bertindak untuk menghalang mereka daripada memperolehi Ringgit kita untuk dijual-beli. Alhamdulillah, tindakan ini berjaya.

16. Saya yakin kegawatan ekonomi akan reda menjelang abad ke-21. Saya menyeru rakyat supaya tidak mencuba menggagalkan usaha Kerajaan tetapi sebaliknya berusaha dengan lebih kuat untuk menghidupkan semula segala aktiviti ekonomi negara. Saya percaya jika setiap rakyat bersatu hati dan sehaluan, negara kita akan dapat kembali kepada kedudukan asal dalam tempoh yang singkat.

17. Dalam beberapa bulan lagi kita akan memasuki abad ke-21 dan alaf baru. Zaman baru ini akan datang dengan pantasnya bersama-sama pelbagai cabaran dan dugaan. Kita tidak akan tahu nasib kita di masa akan datang ini -- baik atau buruk. Tiada siapa dapat menduganya kecuali apabila kita berdepan dengannya. Sama ada umat Islam sudah bersedia menghadapi zaman baru ini atau tidak adalah sukar untuk diukur.

18. Tetapi jika abad ke-20 dijadikan ukuran, umat Islam di seluruh dunia sekarang memang tidak mempunyai apa-apa persediaan dalam menghadapi pelbagai cabaran dan ancaman. Sejarah yang lalu dan keadaan semasa menunjukkan umat Islam semakin hari semakin lemah dan tidak berupaya mengatasi cabaran. Bukan sahaja daripada segi penguasaan ilmu dan kecekapan moden umat Islam lemah, tetapi mereka juga tidak patuh kepada ajaran Islam berkenaan dengan perpaduan dan persiapan menghadapi serangan seperti yang ditegaskan dalam al-Quran.

19. Abad baru ini akan memperlihatkan percubaan untuk menghapuskan sempadan-sempadan antara negara-negara dalam proses yang dinamakan globalisasi. Malangnya proses ini dihadkan kepada pergerakan modal sahaja. Penghijrahan oleh rakyat negara miskin ke negara yang maju dan kaya tidak akan dibenarkan. Demikian juga teknologi negara maju tidak boleh dipindahkan ke negara membangun walaupun tidak ada sempadan yang memisahkan negara maju dari negara membangun.

20. Dengan globalisasi dan penghapusan sempadan kepada pergerakan modal, negara dan umat Islam akan terdedah kepada bahaya yang amat besar. Jika umat Islam masih bersengketa sesama sendiri, masih menolak penguasaan ilmu dan teknologi moden, masih tidak tersusun rapi daripada segi organisasi dan ketertiban, bahaya yang akan datang ini tidak akan dapat dihadapi dan diatasi oleh umat Islam. Kita bukan sahaja tidak mempunyai harapan untuk mengembalikan zaman kegemilangan Islam tetapi kita akan menjadi lebih lemah dan mundur dari keadaan sekarang.

21. Kita boleh menyalahkan musuh-musuh Islam jika mereka melontar bom dan roket ke atas kepala kita, tetapi kita juga tidak kurang bersalah, bahkan berdosa kerana tidak mengamalkan ajaran Islam berkenaan penguasaan ilmu dan persediaan untuk pertahanan. Pada satu masa dalam sejarah Islam terdapat kuasa dunia yang terdiri daripada negara Islam. Tetapi kerana beberapa kesilapan, semua kuasa besar Islam telah ditewaskan, yang terakhir pada Perang Dunia Pertama dalam dekad kedua, abad ke-20. Sejak itu tidak ada usaha di kalangan umat Islam dan negara-negara Islam untuk membangunkan negara supaya setanding dengan kuasa-kuasa dunia yang lain.

22. Bukanlah niat kita untuk menguasai dunia tetapi jika ada sebuah negara Islam yang diiktiraf sebagai kuasa dunia, sudah tentu tidak akan ada mana-mana kuasa dunia lain yang akan menindas orang Islam dan negara Islam dengan sewenang-wenangnya.

23. Sebenarnya terdapat negara Islam yang kaya-raya. Umat Islam pula tidak kurang daripada segi kebolehan menerap ilmu dan teknologi canggih. Tetapi oleh kerana tidak ada tekanan dalam ajaran Islam oleh pihak tertentu, maka keadaan yang sesuai dengan penguasaan ilmu dan teknologi dan juga pengurusan moden tidak terdapat di negara Islam. Dengan itu negara Islam tidak dapat dibangunkan sehingga menjadi kuasa dunia.

24. Yang lebih menyedihkan lagi ialah ajaran Islam dibelakangkan sehingga apa yang dilarang di amalkan. Negara-negara Islam sering berkelahi dan berperang sesama sendiri. Mereka sanggup bersubahat dengan musuh Islam kerana ingin mengalahkan negara Islam lain. Mereka menghabiskan kekayaan mereka membeli senjata yang dijual oleh pihak asing guna untuk meneruskan peperangan sesama mereka.

25. Inilah sebabnya yang kita orang Islam tidak boleh menyalahkan musuh-musuh Islam sahaja. Orang Islam sendiri tidak kurang bersalah. Mereka tidak mengikuti ajaran Islam, baik berkenaan dengan penguasaan ilmu dan persediaan pertahanan mahupun desakan supaya umat Islam bersatu dan bersaudara.

26.Kita tahu dan kita sering berbangga bahawa di zaman kegemilangan Islam, orang Islamlah yang meneroka dan menguasai semua ilmu. Walaupun mereka tetap menghabiskan masa yang panjang mengejar ilmu yang bukan khusus berkenaan agama, pegangan mereka kepada Islam tidak luntur. Sebenarnya ramai daripada pakar dalam bidang sains, matematik, pelayaran dan lain-lain ilmu, juga pakar dalam bidang agama. Dan masyarakat Islam di zaman kegemilangan ilmuan kukuh dengan pegangan kepada ajaran Islam.

27. Ini menunjukkan bahawa iman penganut agama Islam tidak akan menjadi lemah semata-mata kerana mengejar ilmu yang tidak khusus tertumpu kepada agama. Tidak ada kekhuatiran bahawa menuntut ilmu yang bukan khusus berkenaan dengan agama akan melemahkan iman.

28. Jika umat Islam ingin mengembalikan zaman kegemilangan Islam maka kita harus pandai membahagikan masa antara pelajaran yang khusus berkenaan dengan agama dan pelajaran ilmu-ilmu yang boleh menolong kita menunaikan fardu kifayah -- iaitu mempertahankan negara dan umat Islam. Masanya sudah tiba bagi kita memikirkan dengan mendalam berkenaan perkara ini.

29. Malaysia adalah sebuah negara yang kecil dengan kekayaan yang sederhana. Umat Islam di Malaysia hidup sempurna dan berpeluang untuk mengamalkan ajaran Islam yang sebenar supaya dengan itu kita dapat meningkatkan ketahanan kita. Walaupun kita tidak mungkin menjadi kuasa besar, sedikit-sebanyak dapat juga kita menyumbangkan kepada pertahanan umat Islam. Umpamanya kita dapat menghantar pasukan tentera kita ke Bosnia Herzegovina. Kehadiran mereka di sana telah menaikkan sedikit semangat penduduk Islam yang diserang oleh puak Serb. Ini adalah bukti yang jelas bahawa dengan sedikit usaha daripada kita, sudahpun mencukupi untuk kita bertindak dengan berkesan untuk melindungi umat Islam. Jika seluruh umat Islam berusaha, walaupun sedikit, kesannya sudah mencukupi bagi melindungi umat Islam di seluruh dunia.

30. Justeru itu, rakyat terutama umat Islam di negara ini harus berusaha untuk merebut peluang-peluang yang disediakan bagi memajukan bangsa dan negara kita. Kita tidak boleh lagi berpeluk tubuh dan melihat orang lain terus maju seiring dengan kemajuan dunia. Kita tidak harus berpuashati dengan pencapaian dan kejayaan kita setakat ini. Kita tidak harus berada di takuk lama dan mengekalkan tabiat-tabiat yang usang dan buruk yang tidak menguntungkan kita selama ini. Kita tidak boleh membiarkan orang lain selalu mendahului kita. Kita harus dikejar dan bukannya mengejar orang lain.

31. Saya menyeru semua rakyat terutama umat Islam supaya lebih aktif untuk memajukan diri masing-masing dalam menempuh alaf baru ini. Kehidupan ala kadar atau cepat berpuashati dengan sedikit kejayaan tidak akan membawa kita ke mana. Perpatah Melayu "rezeki secupak tidak akan menjadi segantang" tidak berasas. Beras secupak boleh bernilai segantang jika ditambah nilai dengan memasak dan menjualnya.

32. Tepuk dada tanya selera. Kini terpulang kepada umat Islam dan rakyat kita untuk membuat pilihan sama ada bersedia untuk maju atau masih mahu berada dalam zaman hidup lama -- zaman umat Islam, bangsa dan negara kita lemah, miskin dan mundur. Kita tidak boleh lagi berpegang kepada adat resam atau tradisi lama atau memegang kepada ajaran agama yang tidak mempunyai asas yang benar yang melemah dan membantutkan kemajuan kita.

33. Kita hendaklah membina tekad baru. Kita harus berjanji kepada diri kita untuk membawa bangsa, negara dan agama kita ke arah kemajuan. Kita harus berazam untuk berusaha mengembalikan kegemilangan dan kecemerlangan agama dan umat Islam yang terdahulu. InsyaAllah.

34. Esok kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri setelah sebulan kita menahan lapar dan dahaga dengan berpuasa. Kita telah berjaya melawan nafsu yang menduga kekuatan dan keupayaan kita sebagai orang Islam dalam menghadapi pelbagai ujian dan dugaan. Kita harap kekuatan dan ketahanan diri yang dibina dalam semangat kita selama sebulan Ramadan ini akan terus berkekalan dan menjadi bekalan kita dalam menghadapi cabaran hidup akan datang.

35. Sempena kita menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini, saya bagi pihak Kerajaan, diri saya, isteri saya dan keluarga saya memohon maaf zahir dan batin atas apa juga kesalahan dan kesilapan kami terhadap sesiapa.

36. Kepada umat Islam saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri yang mulia. Kepada anggota-anggota pasukan keselamatan yang kini sedang bertugas menjaga keselamatan negara dan keamanan dunia di luar negara juga saya ucapkan selamat berhari raya.

Sumber : Pejabat Perdana Menteri

 

Last Updated: 12/09/02 ©NE2002

 

Gold Dinar Research Group