GDRG Home

THE GOLD DINAR RESEARCH GROUP

Universiti Sains Malaysia, Penang

About Us | Members | Activities | Articles | Photo Gallery | The Dinar | Zakat | Mahr | Dinar Trade Network| Bookshop | Links | Announcements | Contact Uss

 

Back to Articles in Media

Menangani Penjajahan Institusi Riba.

Dr Hakimi Ibrahim. Utusan Malaysia: Rencana (17/09/1999)

 

Kedaulatan negara sudah seiring dengan 'turun naik' indeks mata wang. Penyangak mata wang bersama-sama dengan institusi riba seperti Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), begitu mudah 'menjajah' mana-mana negara sekalipun.

Sempadan negara, pejabat percukaian, pejabat imigresen dan pejabat kastam sudah tidak relevan dalam permainan mata wang yang boleh berpindah negara tanpa batasan ruang dan waktu.

Jika konsep negara dan institusi-institusi kerajaan menjadi tidak relevan dalam sistem kewangan berpaksikan dolar ini, maka di manakah letaknya 'negara Islam' seperti yang sering dilaungkan oleh sesetengah golongan atau parti.

Sesebuah parti terutama yang mendabik dada dengan label Islam sepatutnya berada di barisan hadapan 'memerangi' institusi riba seperti IMF. Mereka juga patut tampil menjelaskan tentang piawaian mata wang Islam. Sekiranya usaha tersebut tidak disungguhi maka idealisme negara Islam pun akan turut dibuai indeks mata wang.

Politik kewangan antarabangsa mestilah difahami dan ditangani kerana di sinilah letaknya kunci politik kuasa sebenar. Politik demokrasi ala Barat itu sendiri berada dalam genggaman politik kewangan antarabangsa. Kita sudah melihat betapa George Soros dan Michel Camdessus boleh mempermainkan negara-negara di dunia.

Institusi riba global semakin jelas didalangi antara lain oleh IMF, Bank Dunia dan penyangak-penyangak mata wang. Sistem dolar pula menjadi paksi atau piawaian sistem riba ini.

Kita juga jangan lupa dominasi dan pengaruh Federal Reserve Board (FED) dan bank-bank kepunyaan keluarga riba ternama seperti Rothschild, Rockefeller, Lazard, Lehman dan lain-lain.

Perlu diingat juga keluarga Rothschild begitu berpengaruh dalam sejarah Eropah dan Amerika sejak 200 tahun lalu. Malahan banyak peristiwa utama di Eropah tidak sunyi daripada percaturan mereka.

Contohnya apabila mereka dikatakan membiayai Duke Wellington semasa Napoleon dikalahkan.

Keluarga-keluarga riba ini diketahui lazim membenam harga saham dan memanipulasi pasaran (dan politik negara) dalam permainan mencari untung riba.

Apa yang ketara di sini ialah pemimpin negara tidak berkuasa jika polisi-polisi kerajaan boleh ditentukan oleh IMF, Bank Dunia ataupun institusi riba lain.

Urusan institusi riba ini ialah satu sistem 'pemerintahan' tanpa kesetiaan kebangsaan. Urusan institusi seperti IMF dan Bank Dunia sebenarnya tidak dapat berjalan lancar tanpa wujudnya infrastruktur seperti bank-bank jalanan, bank nasional, mega bank dan pasaran-pasaran abstrak seperti pasaran mata wang, pasaran hadapan, pasaran saham dan aktiviti opsyen.

Aktiviti IMF dan Bank Dunia juga menampakkan dunia ini dikawal oleh rangkaian bank dan institusi kewangan antarabangsa. Ahli politik dijadikan seolah-olah hanyalah pelakon drama nasional untuk mengaburi adegan hanyutnya harta negara ke tangan rejim kewangan antarabangsa. Politik dan pergolakan kepartian menjadi perangkap pemesongan tumpuan kita terhadap penjajahan oleh institusi riba ini.

Akhirnya negara hanya dijadikan kuasa pusat terhad yang kedaulatannya setakat memperlihatkan bendera negara untuk arena sukan dan majlis perbarisan kemerdekaan sahaja.

Ini bukanlah peperangan melawan mana-mana negara atau menjatuhkan pemimpin negara. Jika salah fokus maka kita tidak akan berupaya melihat kerenah dan kaedah institusi riba mencengkam rakyat jelata termasuk pemimpin negara.

Betapa berminat sekalipun seseorang itu untuk memerangi atau menjatuhkan seorang 'raja, perdana menteri atau presiden' ingatlah ia adalah suatu perbuatan yang menunjukkan kebodohan diri sendiri. Itu hanyalah kain merah seorang matador - bukan matadornya.

Menurut Susan George dalam buku A Fate Worse Than Debt, asas sistem kewangan dunia ialah bank persendirian (termasuk bank pusat dan perbendaharaan) menjadi penjamin. IMF pula menjadi Godfather - ia memberi tawaran yang sukar ditolak oleh sesebuah negara.

Politik kewangan ada dua prinsip.Mereka yang memberi pinjam wang adalah pemerintah dan mereka yang membayar hutang pula adalah yang dijajah.

Dahulu ufti oleh negara yang terjajah dibayar kepada maharaja tetapi sekarang dibayar kepada sistem perbankan sedunia tersebut.

Kuasa bank pula, menurut Peter White dalam The Power of Money (National Geographic, Januari 1993), adalah menerusi penciptaan wang (tanpa piawaian sejati). Kata beliau FED mengawal dan mencipta bekalan wang Amerika tanpa had. Itulah kuasa FED menurut Federal Reserve Act (1913) dalam Perlembagaan, Artikel 1, Seksyen 8.

Rejim riba/bank seperti IMF dan Bank Dunia, bersifat seperti piramid. Kekukuhannya bersandarkan tapak yang luas iaitu bank-bank lain di semua negara di dunia.

Paling utama untuk disedari ialah ia berdiri di atas wang rakyat yang didepositkan ke dalam infrastrukturnya. Jika kita berfikir seseorang itu adalah warak dengan hanya menolak bayaran faedah maka musuh kita sebenarnya sudah berjaya. Sekurang-kurangnya kita sudah menerima sebahagian daripada sistem perbankan sedunia tersebut. Tindakan tersebut juga sebenarnya memperkukuhkan lagi sistem mereka. Tidak mustahil dikatakan wang simpanan dan faedahnya dalam akaun orang Islam di bank-bank seliaan institusi riba dunia boleh 'bertukar menjadi peluru' untuk menembak orang Palestin dan Bosnia.

Apa yang pasti ialah peperangan melawan penjajah zaman ini tidak dapat dimenangi dengan hanya alim dalam ilmu merapu, maki hamun dan mencarut atau saling mengkafir serta memunafikkan sesama sendiri.

Oleh: DR. HAKIMI IBRAHIM

 

Last Updated:07/06/03 ©NE2002

 

Gold Dinar Research Group