GDRG Home

THE GOLD DINAR RESEARCH GROUP

Universiti Sains Malaysia, Penang

About Us | Members | Activities | Articles | Photo Gallery | The Dinar | Zakat | Mahr | Dinar Trade Network| Bookshop | Links | Announcements | Contact Uss

 

Back to Articles in Media

Perkenal semula dinar Islam beransur-ansur.

Dr. Zainal Azam Abd. Rahman. Utusan Malaysia: Wacana Islam (20/07/2001).
 

Perbincangan mengenai wang kertas dan dinar Islam memang perlu diberikan perhatian oleh semua pihak, lebih-lebih lagi mengingatkan bahawa krisis kewangan yang kita lalui beberapa tahun kebelakangan ini sebahagian besarnya disebabkan penyelewengan dalam sistem kewangan antarabangsa terutama berkaitan dengan perdagangan mata wang.

Kenyataan yang berkaitan dengan peranan wang emas dan perak dalam Islam memanglah tepat di mana kedua-dua jenis wang logam ini sebenarnya merupakan mata wang asasi Islam sepanjang sejarah hinggalah kepada pengenalan mata wang kertas.

Namun begitu dalam membincangkan soal matawang ini kita tidak harus melupakan hakikat bahawa ulama Islam sejak dari zaman awal lagi telah membincangkan soal sama ada boleh atau tidak bahan selain daripada emas dan perak digunakan sebagai mata wang. Perbahasan ini berterusan sehinggalah muncul apa yang dikenali di dalam kitab-kitab fekah dan sejarah Islam sebagai fulus iaitu sejenis matawang yang diperbuat daripada nikel atau tembaga yakni daripada logam selain emas yang biasanya digunakan bagi tujuan urusan pertukaran barangan yang bernilai rendah. Persoalan yang dibahaskan oleh ulama ialah sama ada wang fulus ini boleh dikira sama sifatnya dengan emas dan perak (dinar dan dirham) dan apakah ia tertakluk kepada semua hukum-hakam yang terpakai bagi dinar dan dirham termasuklah mengenai soal riba, zakat dan sebagainya?

Sebahagian kecil ulama berpendapat hanya jika wang fulus dianggap barang perniagaan barulah hukumnya sama dengan wang emas dan perak dan ia dikenakan zakat. Manakala ulama yang lain pula mengatakan bahawa wang fulus ini tidak boleh sama sekali disamakan dengan wang emas dan perak kerana ia diperbuat daripada logam yang tidak bernilai yakni tiada nilai tersendiri. Walau bagaimana pun sebahagian besar ulama dari pelbagai mazhab berpendapat jika wang fulus ini diterima umum sebagai mata wang dan perantara bagi pertukaran barangan dan pembayaran maka ia hendaklah disifatkan sama dengan mata wang dinar dan dirham.

Ringkasnya berdasarkan hal ini dan lain-lain alasan ramai ulama yang berpendapat tiada larangan bagi menggunakan bahan selain emas dan perak sebagai mata wang. Ulama-ulama kontemporari Islam yang membincangkan hukum wang kertas membuat kesimpulan bahawa oleh kerana wang kertas telah diterima secara umum bagi memenuhi fungsi di atas maka ia boleh dianggap setaraf dengan wang emas dan perak lalu tertakluk kepada semua hukum yang terpakai bagi kedua-dua wang logam tersebut.

Hakikat ini adalah penting untuk direnungi kerana jika kita menganggap wang kertas sebagai tidak sah dari segi hukum Islam maka implikasinya adalah besar terhadap kehidupan harian umat Islam kerana ia akan melibatkan berbagai hukum-hakam agama. Maka cara yang terbaik dan patut diikuti dalam usaha kita untuk kembali kepada sistem kewangan Islam ialah dengan memperkenalkan semula wang emas dan perak secara beransur-ansur dan dalam masa yang sama memperketatkan segala peraturan yang melibatkan pertukaran mata wang termasuk wang kertas serta menilai semula kewajaran segala jenis instrumen kewangan yang sedia ada demi membanteras penyalahgunaan mata wang dengan berselindung di sebalik tabir pelaburan kewangan.

Penggunaan mata wang emas dan perak sudah tentulah pilihan terbaik bagi umat Islam berdasarkan banyak sebab, tetapi untuk sekali gus bertukar kepada sistem ini tentulah tidak boleh dilaksanakan secara terburu-buru. Masalah sebenar yang timbul berkaitan dengan penggunaan wang kertas bukanlah disebabkan wang kertas itu sendiri tetapi lebih kepada kepincangan sistem kewangan dan perbankan di peringkat antarabangsa serta kewujudan instrumen-instrumen kewangan dan pelaburan yang membenarkan berlaku penyalahgunaan wang kertas dan tidak terkawalnya aktiviti pencetakan dan pengeluarannya.

Ini adalah kerana dalam dunia kewangan masa kini wang sudah dianggap barang dagangan dan bukan lagi sebagai alat pertukaran atau pembayaran dan dibenarkan diperniagakan dengan syarat-syarat yang amat longgar serta menjurus ke arah spekulasi dan perjudian secara besar-besaran. Dalam Islam mata wang hanya boleh dipertukarkan dengan dua syarat asas iaitu pertukaran hendaklah dilakukan secara tunai sahaja dan jika melibatkan mata wang sama jenis hendaklah melibatkan jumlah yang sama yakni tiada riba.

Namun begitu segala usaha untuk melaksanakan ajaran Islam dalam bidang kewangan hendaklah mendapat sokongan semua pihak demi mewujudkan kemajuan dan kestabilan ekonomi dalam erti kata yang sebenarnya.

DR. ZAINAL AZAM ABD. RAHMAN ialah Fellow Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

 

Last Updated: 07/06/03 ©NE2002

 

Gold Dinar Research Group