GDRG Home

THE GOLD DINAR RESEARCH GROUP

Universiti Sains Malaysia, Penang

About Us | Members | Activities | Articles | Photo Gallery | The Dinar | Zakat | Mahr | Dinar Trade Network| Bookshop | Links | Announcements | Contact Uss

 

Back to Articles in Media

Potensi mata wang emas dalam ekonomi: Gelombang masa Depan

Syed Agil Alsagoff. Utusan Malaysia: Rencana (04/08/2001).

 

Bagi negara-negara Islam seperti Malaysia, pelaksanaan sistem kewangan dan pentadbiran Islam tidak lagi dianggap asing. Ini kerana banyak pelaksanaan dasar berhubung dengan pengurusan, pentadbiran dan perundangan Islam telah berjaya dilaksanakan di kalangan negara-negara berkenaan.

Malaysia, misalnya telah pun mempelopori sistem kewangan dan perundangan Islam sejak awal 80-an lagi. Keberkesanan terhadap sistem pengurusan kewangan berasaskan konsep perbankan dan insuran Islam yang dilaksanakan di kalangan institusi-institusi kewangan di negara ini juga menjadi semakin popular dan berjaya menarik jumlah pelaburan yang besar oleh masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini. Baru-baru ini terdapat cadangan supaya suatu sistem kewangan Islam global yang dikenali sebagai sistem dinar yang menjadikan emas sebagai mata wang dilaksanakan di kalangan negara-negara Islam.

Ia boleh dianggap sebagai suatu langkah untuk mengatasi perbezaan nilai mata wang yang berubah-ubah secara mendadak hingga merosakkan ekonomi negara-negara yang terlibat.

Menjadikan emas sebagai mata wang merupakan suatu anjakan paradigma yang penting dalam usaha untuk mengekalkan kestabilan bagi menghadapi cabaran globalisasi dunia di kalangan negara-negara Islam.

Suatu kajian mendalam tentang perkara ini sduah tentu perlu dibuat tetapi jika ia jelas menunjukkan keberkesanan, maka pada masa depan, dunia khususnya negara-negara Islam patut kembali menggunakan emas sebagai mata wang bagi mengelakkan pengkhianatan mata wang oleh penyangak-penyangak antarabangsa.

Buat masa ini, konsep sistem kewangan dinar ini telah dimulakan oleh beberapa kumpulan usahawan di beberapa buah negara Eropah, berdasarkan kepada urus niaga dagangan secara Internet.

Kalau terbukti mereka berjaya dalam usaha ini, maka negara-negara Islam yang lain akan terdorong untuk melaksanakannya.

Konsep penyatuan dan penyelarasan sistem kewangan di kalangan negara-negara tertentu seperti ini sebenarnya sudah lama didominasikan oleh ahliahli bank sedunia bagi meningkatkan kerjasama dagangan dan ekonomi di kalangan negara-negara tertentu di bawah pengaruhnya. Tidak hairanlah negara-negara sedemikian dapat mengekalkan kestabilan ekonomi dan pelaburan semasa menerusi bantuan pembiayaan dan penjanaan pelaburan di kalangan negara-negara anggota.

Konsep penyelarasan sistem kewangan dan pelaburan Islam menerusi sistem Dinar ini bukan sahaja bertujuan untuk merangsang ekonomi di kalangan negara-negara Islam sejagat, tetapi lebih daripada itu, ia merupakan suatu formula terbaik untuk mendirikan satu blok dagangan dan kewangan Islam yang teguh dan bersepadu.

Dengan perkataan lain, pelaksaaan sistem dinar yang menggunakan pelaburan emas dan perak sebagai pendokong utama sistem ini dijangka dapat mengukuh dan memantapkan hubungan dagangan dan diplomasi di kalangan negara-negara Islam.

Berasaskan kepada sistem tersebut, ia akan merangsang konsep pasaran Islam menerusi pertukaran dagangan, kerjasama pelaburan di kalangan negara-negara anggota, sama ada dengan menjanakan sistem pertukaran maklumat dagangan menerusi Internet ataupun pembiayaan pelaburan ekonomi sesama negara Islam.

Fungsi lain sistem ini ialah untuk menstrukturkan semula pembangunan zakat bagi tujuan rangsangan pelaburan Islam bagi mengukuhkan prasarana dan pengagihan sumber kewangan yang cekap bagi membantu masyarakat Islam mendirikan tahap kehidupan yang selesa dan memulihkan mereka daripada kengkangan ekonomi seperti kemiskinan atau kemelaratan hidup.

Gagasan idea mewujudkan penyelarasan sistem kewangan di kalangan negara-negara Islam ini dapat meningkatkan ukhwah dari segi kemantapan ekonomi dan politik sesebuah negara Islam.

Di samping itu juga dapat mengikiskan pandangan negatif negara-negara luar terhadap kewibawaan sistem kewangan Islam.

Bagi negara-negara Islam yang ditindas atau memerlukan bantuan seperti Iraq dan Indonesia, konsep kesejagatan sistem ekonomi Islam berasaskan kepada mata wang dinar ini dapat membantu menjana semula kegiatan-kegiatan ekonomi dalaman negara tersebut. Sistem sebegini dapat dimanfaatkan dengan membantu golongan masyarakat Islam yang miskin untuk mengusahakan projek-projek yang dapat menjanakan semula sumber pendapatan seharian mereka.

Ia juga jikalau dimanfaatkan sepenuhnya oleh negara-negara anggota, akan dapat merangsang kepesatan kegiatan ekonomi berterusan negara-negara Islam sehinggakan pada suatu masa kelak, sistem kesejagatan kewangan Islam ini akan dijadikan model ekonomi yang terbaik bagi menggantikan konsep ekonomi berasaskan riba yang banyak dilaksanakan di dunia hari ini. Pertubuhan kerjasama negara-negara Islam seperti Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) boleh dijadikan platform bagi memula dan menjanakan sistem ekonomi dinar di kalangan negara-negara anggota sebelum ia diperluaskan kepada semua negara Islam di dunia ini.

Malaysia perlu mengambil inisiatif menjadi negara pelopor dan pengendali sistem ekonomi dinar ini, berdasarkan kepada kejayaan negara mencipta formula yang menyelamatkan ekonomi Malaysia sewaktu berlakunya krisis kewangan tidak berapa lama dahulu.

Cabaran pengisian konsep negara Islam perlu disertakan dengan penjanaan sistem ekonomi yang kukuh bagi menjamin kestabilan politik dan perundangan negara, bukannya bergantung kepada idea atau strategi pelaksanaan polisi Islam yang tidak menyeluruh atau bertumpu kepada sesuatu pihak sahaja.

Pengalaman pahit krisis kewangan Asia menjadi pendorong kepada usaha mencari kaedah baru supaya masa depan sistem kewangan akan lebih stabil dan yakin. Maka jika sistem dinar ini terbukti mendatangkan manfaat, maka tidak hairanlah ia boleh menjadi gelombang baru dalam reka bentuk kewangan sejagat.

SYED AGIL ALSAGOFF ialah pensyarah di Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Last Updated: 12/09/02 ©NE2002

 

Gold Dinar Research Group