GDRG Home

THE GOLD DINAR RESEARCH GROUP

Universiti Sains Malaysia, Penang

About Us | Members | Activities | Articles | Photo Gallery | The Dinar | Zakat | Mahr | Dinar Trade Network| Bookshop | Links | Announcements | Contact Uss

 

Back to Articles in Media

Ringgit: Mencari Alternatif

Utusan Malaysia: Lidah Pengarang (16/06/1998)

KEDUDUKAN ringgit Malaysia masih belum stabil dan belum ada tanda-tanda ia akan menuju kepada pemulihan sepenuhnya sungguhpun langkah jangka panjang dan jangka pendek telah diambil secara bersungguh-sungguh oleh kerajaan.

Ekoran dari turun naik kedudukan ringgit yang dialami kini, kita seolah-olah telah hilang kawalan terhadapnya sungguhpun kita telah melakukan pelbagai strategi ekonomi makro dan mikro untuk memastikan ringgit kembali kepada kedudukan asalnya berbanding dolar Amerika.

Mungkin kita harus melihat pendekatan yang lain, bukan pendekatan 'biasa' yang kita amalkan selama ini. Mungkin sistem kewangan kapitalis dan Barat tidak sesuai lagi buat masa ini. Mungkin sistem mereka akan hanya merugikan kita. Mungkin sistem yang datang dari mereka hanya sesuai untuk mereka.

Maka itu mungkin kita harus mencari alternatif lain.

Ada yang mencadangkan persepakatan yang kuat terutama di kalangan negara-negara tertentu di rantau ini. Pada peringkat ASEAN hal ini nampaknya sudah bermula.

Tapi cadangan lain ialah negara-negara Islam harus mencari alternatif bersama bagi tujuan ini. Sistem itu tentulah berlandaskan kepada hukum syarie Islam yang telah bertapak di banyak negara Islam sendiri. Kita telah pun menggunakan sistem kewangan tanpa riba atau skim perbankan tanpa faedah (SPTF) selama ini. Sekiranya ini boleh dilakukan, aplikasi yang lain juga tentulah tidak mustahil dimungkin.

Penggunaan SPTF kini telah meluas dan kini mempunyai banyak produk kewangan Islam yang digunapakai oleh institusi perbankan sama ada untuk pinjaman mahupun untuk pembiayaan sama ada untuk sektor kecil mahupun untuk projek raksasa.

Apa yang kurang lagi ialah mekanisme untuk mengawal nilai mata wang kita. Kita mungkin boleh mengawal dari segi sistem perbankan dalam negeri tetapi kita tidak boleh mengawal serangan dari luar terhadap kedudukan ringgit kita. Inilah kelemahan kita kerana semuanya ditentukan oleh sistem mata wang antarabangsa yang melihat kepada siapa kuat dia dapat.

Sistem ini sudah tentu tidak adil kepada negara kecil dan negara-negara yang sedang membangun sungguhpun keupayaan ekonomi negara-negara itu memang cukup kuat.

Selain mencari pendekatan baru serta mekanisme yang sesuai nampaknya kita harus juga menggunakan kaedah tradisional yang menggunakan ukuran emas dan perak yang telah terbukti mempunyai keistimewaannya sendiri selama ini. Bahan-bahan ini memang pernah digunakan sebagai mata wang.

Hal seumpama ini memang sukar dilaksanakan. Tetapi dalam keadaan sekarang, kita harus mencari apa sahaja cara untuk menyelesaikan masalah kita. Kalau kita harus berpaling kepada sistem barter untuk perdagangan, tidak ada sebab mengapa kita tidak harus kembali pada emas dan perak misalnya untuk menentukan ukuran nilai dan kekayaan.

 

Last Updated: 12/09/02 ©NE2002

 

Gold Dinar Research Group