GDRG Home

THE GOLD DINAR RESEARCH GROUP

Universiti Sains Malaysia, Penang

About Us | Members | Activities | Articles | Photo Gallery | The Dinar | Zakat | Mahr | Dinar Trade Network| Bookshop | Links | Announcements | Contact Uss

 

Back to Articles in Media

Sempurna Zakat Semarak Iktisad Islam.

Dr Hakimi Ibrahim. Utusan Malaysia: Rencana (20/04/2000)

 

Berita bahawa kerajaan Malaysia hendak mewajibkan pembayaran zakat di Malaysia adalah satu berita baik untuk umat Islam.

Perkara ini lebih penting didahulukan daripada perdebatan mengenai hudud kerana zakat adalah salah satu dari tiang atau rukun Islam yang lima.

Di dalam kitab suci al-Quran, solat dan zakat disebut 29 kali secara bersama sehinggakan ada mufassirun yang mengatakan sempurnanya sembahyang adalah menurut sempurnanya urusan zakat dan begitulah sebaliknya.

Zakat menjadi amal sukarela peribadi sejak jatuhnya khalifah Islam di Istanbul pada tahun 1924 pada hal zakat amat penting sehinggakan Khalifah Abu Bakar r.a. telah mengisytiharkan perang ke atas golongan yang tidak mahu membayar zakat selepas wafatnya Rasullullah s.a.w.

Beliau telah bersumpah dengan nama Allah untuk memerangi mereka yang membezakan antara solat dengan zakat lalu enggan membayar zakat. Keengganan membayar zakat dijawab dengan peperangan kerana mereka sebenarnya telah mencabar kedaulatan kerajaan Islam ketika itu.

Apabila Mu'adh dihantar ke Yaman, Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda dengan maksud bahawa - Allah telah mewajibkan zakat diambil daripada harta penduduk Yaman dan diberikan kepada orang miskin.

Zakat bukan urusan sukarela kerana zakat diperintahkan supaya diambil malah diperangi terhadap mereka yang enggan membayar zakat apabila cukup syaratnya.

Dalam sistem cukai mereka yang tidak membayar cukai akan didenda sebagai menunjukkan bahawa rakyat perlu mematuhi sistem cukai kerajaan maka begitulah dengan zakat. Kewajipan membayar zakat dan deklarasi perang oleh Khalifah Abu Bakar r.a. jelas menunjukkan keutamaan zakat dan kaitannya dengan kuasa pemerintahan Islam. Ketiadaan kuasa dalam urusan zakat bermakna tiadalah juga kuasa sebenar kerajaan Islam. Dengan demikian zakat dan kerajaan Islam adalah seiring.

Zakat merupakan simbol kuasa kerajaan Islam. Urusan zakat yang sempurna akan membezakan antara sistem kerajaan yang berlandaskan model ekonomi dan politik Barat dengan yang menurut ajaran Islam.

Menurut Hajj Abdalhaqq Bewley dalam buku beliau - Zakat yang bermaksud Zakat dan Penegakan Tiang yang Rebah (Blackstone Foundation): Urusan zakat sekarang terabai kerana kesan kuasa dunia yang berlandaskan kaitan simbiotik antara bank dengan kerajaan.

Pihak bank berfungsi atas sistem hutang. Ketegasan pihak bank menagih hutang serta ketelitian infrastruktur percukaian turut membayangi kepentingan pihak urusan zakat. Kini kita lihat sistem perbankan antarabangsa begitu dominan dalam penjajahan ekonomi dan politik negara-negara di dunia.

Zakat sepatutnya menggambarkan kebebasan ekonomi dan politik negara Islam. Kewujudan sistem perbankan antarabangsa sudah tentu hanya menggambarkan sistem zakat pun terperangkap dalam rangka ekonomi seliaan IMF dan Bank Dunia.

Asas kekuatan sistem perbankan antarabangsa ialah kepatuhan semua negara menerima dolar Amerika sebagai piawaian mata wang, pada hal dolar Amerika langsung tidak ada sandaran emas sejak Nixon menceraikan ikatan piawaian tersebut pada tahun 1971.

Oleh kerana nilai harta dan mata wang berkait dengan nilai dolar Amerika maka zakat pun secara tidak langsung menerima dominasi sistem perbankan global ini.

Harta sebenar dalam bentuk sumber asli bumi semakin dimiliki oleh beberapa keluarga perbankan sementara orang ramai hanya memiliki harta dalam bentuk simbol-simbol harta seperti nombor-nombor dalam buku akaun bank, sijil-sijil saham, polisi insurans dan kad-kad kredit yang nilainya boleh dipermainkan oleh para spekulator.

Simbol-simbol harta ini tidak ada kaitan dengan pemilikan emas dan perak atau harta nyata yang lain pada hal zakat sentiasa dikaitkan dengan harta sebenar dan bukan sekadar simbol-simbol harta atau sijil-sijil saham.

Nilai harta dan mata wang yang tidak lagi bersandarkan emas memberi banyak persoalan berkaitan dengan zakat kerana dalam Islam, zakat dikaitkan dengan harta sebenar seperti emas, perak, hasil tanaman, ternakan dan barangan perniagaan.

Sistem zakat melibatkan penilaian ke atas harta dan wang ringgit umat Islam, maka kita perlu kaji kenapa dolar Amerika menjadi bandingan dalam segala taksiran harta. Kenapa sistem ekonomi umat Islam dipengaruhi oleh permainan indeks Dow Jones dan petua-petua pemain saham?

Kenapa perbankan Islam tidak bebas daripada piawaian dolar Amerika? Bagaimanakah negara-negara Islam boleh mencari ganti kepada piawaian itu supaya penilaian zakat secara mutlaknya bebas daripada petunjuk sistem musuh. Daripada soalan-soalan itu kita akan lihat bahawa pihak musuh Islam akan sentiasa membelenggu sistem zakat dan negara Islam selagi kita tidak bebas daripada piawaian dolar Amerika.

Zakat bukan sekadar kewarakan peribadi tetapi satu perkara yang begitu penting sehingga melambangkan kedaulatan negara Islam. Kita boleh katakan sistem percukaian dan perbankan antarabangsa menurut sistem ekonomi Barat melambangkan kejayaan sistem kuffar (orang kafir) mencengkam masyarakat Islam. Pelaksanaan zakat dengan sempurna pula akan menggambarkan kejayaan pemerintahan Islam dan kebebasan sistem ekonominya. Tentu sekali kita harapkan sistem perakaunan zakat benar-benar bebas, mencerminkan iktisad Islam dan tidak berpandukan sistem cukai Barat pula.

Agenda zakat yang sempurna akan menegakkan rukun Islam itu dan menggalakkan iktisad Islam untuk kemakmuran negara agar zakat boleh dimaksimumkan.

Kemakmuran negara menerusi semangat memaksimumkan zakat juga akan mengukuhkan ekonomi umat Islam dan membebaskan umat Islam daripada cengkaman sistem ekonomi dan politik musuh Islam.

Oleh: DR. HAKIMI IBRAHIM

 

Last Updated: 12/09/02 ©NE2002

 

Gold Dinar Research Group