THE GOLD DINAR RESEARCH GROUP |
|
Universiti
Sains Malaysia, Penang
|
About Us | Members | Activities | Articles | Photo Gallery | The Dinar | Zakat | Mahr | Dinar Trade Network| Bookshop | Links | Announcements | Contact Uss
|
Terima kasih George Soros, Joel Kurtzman. Utusan Malaysia: Rencana (17/07/1998) |
|||||
SEBENARNYA terdapat satu lagi sebab mengapa kita, khususnya orang Islam, harus berterima kasih kepada hartawan dan tokoh (?) kewangan Amerika Syarikat (AS), George Soros. Dengan kegiatan spekulasinya, beliau mendedahkan betapa bobroknya sistem ekonomi dan kewangan dunia yang ada sekarang, yang banyak beranggapan akan menuju kehancuran satu hari nanti, seperti hancur-leburnya sistem ekonomi komunis. Hari itu semakin hampir. Sistem kapitalis Barat yang diamalkan sekarang, di peringkat tempatan dan antarabangsa, hanya berpandu kepada nafsu keuntungan semata-mata. Tiada konsep keuntungan yang munasabah serta keadilan sosial. Yang penting ialah membuat keuntungan demi keuntungan, tanpa batas dan sebanyak mungkin - lagi banyak lagi baik - tanpa mengira cara dan proses. Hari ini, kegiatan spekulasi khususnya dalam pasaran saham dan mata wang memberikan keuntungan paling banyak kepada para kapitalis, meskipun ia boleh memporak-perandakan ekonomi, politik dan sosial sesebuah negara. Yang maha penting ialah fulus! Namun semua itu membuka mata banyak pemerhati dan penganalisis ekonomi semasa terhadap kebobrokan sistem ekonomi dan kewangan Barat. Beberapa ahli ekonomi Barat turut mempertikai kerakusan sistem ekonomi dan kewangan Barat yang akhirnya akan menyebabkan sistem tersebut menemui kehancuran. Pendapat para pemikir Islam, khususnya dalam bidang ekonomi, kian mendapat perhatian sekarang dan menerima sokongan daripada ahli-ahli ekonomi Barat. Empat tahun sebelum krisis mata wang, Joel Kurtzman (seorang Yahudi) menulis sebuah buku yang bertajuk: The Death of Money (Kematian Wang). Beliau berpendapat, wang bukan lagi menjadi wadah pertukaran barangan atau produk, tetapi menjadi barangan atau produk yang dijual beli untuk mencari keuntungan. Dan dalam zaman teknologi maklumat (IT) ini, wang hanya menjadi isyarat dalam pasaran mata wang. Seseorang tidak perlu memiliki wang sebenarnya untuk berurus niaga wang. Ia diniagakan secara elektronik. Kehadiran para spekulator seperti Soros mungkin menjadikan telaah Kurtzman satu kenyataan. Terima kasih Soros dan Kurtzman. Kini terdapat seruan supaya kita kembali kepada konsep sebenar wang yang berasaskan atau disandarkan kepada nilai sebenar, seperti emas dan perak. Penggunaan wang emas dan perak (dinar dan dirham) telah mula digunakan secara peribadi di Malaysia, England, Jerman dan Sepanyol. Malah penggunaan kad pintas dinar dan dirham juga telah diketengahkan bagi memudahkan lagi penggunaan mata wang tersebut. Sementara itu, ketika merayu bantuan daripada masyarakat antarabangsa, bekas Presiden Indonesia, Suharto turut merayu kepada negara-negara Islam untuk membentuk sebuah dana - seperti Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) - bagi membantu negara-negara sesaudara. Nampaknya, cadangan Suharto itu langsung tidak mendapat maklum balas daripada negara-negara Islam dan para pemimpin Islam yang kaya-raya lagi mewah. Nampaknya konsep sedekah dan wakaf kita hanya terbatas kepada konteks tempatan semata-mata. Krisis mata wang ini jelas memberi penekanan kepada orang Islam untuk menilai semula sistem ekonomi dan kewangan yang mereka amalkan di negara masing-masing. Usaha ''mengislamkan'' sistem ekonomi dan kewangan Barat nampaknya belum cukup memadai. Penubuhan bank-bank Islam dan pengenalan Sistem Perbankan Tanpa Faedah (SPTF) masih membuka luas sistem ekonomi dan kewangan Islam terhadap spekulasi dan manipulasi Barat. Maka, terdapat gesaan agar dilihat dan dinilai semula sistem ekonomi dan kewangan yang diamalkan kini. Terdapat cadangan supaya ditubuhkan wakala-wakala (institusi menyimpan wang, tetapi tidak mengeluarkan pinjaman seperti bank-bank sekarang), dewan-dewan perniagaan Islam dan pasar serta pasaran Islam. Ia tidak hanya patut dilakukan di peringkat nasional, tetapi juga di peringkat antarabangsa. Secara global, sistem ekonomi dan kewangan Islam dapat menghadapi serangan para kapitalis Barat dengan lebih padu dan jitu. Kita tidak perlu menunggu terlalu lama untuk menyaksikan kehancuran sistem ekonomi dan kewangan Barat kerana ia pasti tiba juga. Lihatlah bagaimana Bank Barring England diporak-perandakan oleh hanya satu orang. Kita tidak perlu ramai orang seperti Soros, tetapi lebih ramai lebih cepat. Dan dalam pada kita menantikan kehancuran sistem ekonomi dan kewangan Barat, kita, orang-orang Islam, harus merancang dan bersedia untuk mengambil alih sistem tersebut dengan memperkenal sistem ekonomi dan kewangan Islam. Dari debu kehancuran sistem ekonomi dan kewangan Barat, kita berharap muncul pula sistem ekonomi dan kewangan Islam. Itu pun kalau kita bersedia. Malangnya, umat Islam belum bersedia untuk menjadi umat contoh kepada manusia. Oleh: GAMAL NASIR [e-mel: gamal@utusan.com.my]. |
|||||
Last Updated: 12/09/02 ©NE2002