THE GOLD DINAR RESEARCH GROUP |
|
Universiti
Sains Malaysia, Penang
|
About Us | Members | Activities | Articles | Photo Gallery | The Dinar | Zakat | Mahr | Dinar Trade Network| Bookshop | Links | Announcements | Contact Uss
|
Wang E dalam era komputer. Dr Hakimi Ibrahim. Utusan Malaysia: Rencana (22/07/1998) |
|||||
BENARKAH zaman wang E atau wang elektronik sudah tiba? Ada yang menggelarnya wang siber dan ada yang menyebut wang digital. Sama ada benar atau tidak dan apa sekali sebutannya, kita tidak dapat nafikan bahawa ini adalah zaman komputer dan Internet. Pengaruh Internet juga semakin meluas. Sebutan World Wide Web (WWW), Netscape, Infoseek dan sebagainya memang sudah menjadi suatu yang lazim. Wang E adalah lanjutan kepada perbicaraan tentang wang dalam era ekonomi berelektronik. Menurut Kurtzman dalam bukunya The Death of Money - wang bukan lagi suatu barangan atau benda yang boleh ditemui di tepi pantai atau di belakang bantal sofa tetapi ia telah menjadi suatu sistem. Wang ialah suatu rangkaian yang terdiri daripada berjuta-juta komputer yang bertaut dengan saham, bon, kadar faedah, wang kertas, pasaran hadapan, opsyen, kad kredit, kad untuk fotokopi dan sebagainya. Ada banyak laman mengenai wang dan wang E di dalam Internet. Antaranya ialah: (1) http://www.brillig.com/debt-clock/ (tentang jumlah hutang negara Amerika-US debt clock) (2) http://www.netmatters.co.uk/users/murabitun/Dinar-and-Dirham.html (tentang dinar dan dirham) (3) http://www.buycoin.com/info/econ-rep.htm (laporan dari Swiss America Trading Corp.-terdapat artikel tentang wang E) Wang E ini berkait dengan supercomputers di Morgan Stanley & Company dan komputer peribadi pelabur persendirian yang menggunakan contohnya program Equalizer untuk membeli saham melalui Charles, Schwab & Company. Rangkaian ini selari dengan rangkaian komputer yang membuat carta risiko pelaburan yang menggunakan formula yang memenangi Hadiah Nobel oleh Harry Markowitz dan Merton Miller dari Universiti Chicago. Sistem wang E ini tidak lagi memerlukan peti simpanan ataupun bank kerana semua 'wang' berada di dalam cakera padat dan berpindah menurut lompatan elektron ke sana ke mari tanpa risau tentang sempadan negeri. Wang ini begitu mudah meruap (volatile) tidak seperti wang emas yang stabil sehinggakan kadar faedah, harga saham, harga wang dan harga bon turun-naik tanpa terkawal lagi. Wang megabyte ini boleh bertukar rupa dalam sekelip mata dari nombor-nombor dalam akaun simpanan berbentuk dolar AS menjadi nombor saham di Wall Street kemudian mencari untung dengan melihat indeks Nikkei kemudian menjelma secara berturutan menjadi Baht, Deutschemark, Lira, Ringgit Malaysia sambil melihat Klibor, bertukar kepada Rupiah, kemudian mengambil rupa dolar AS dalam kuantiti yang lebih daripada asal. Metamorfosis wang E ini boleh dilakukan secara parallel processing dan mengambil masa dalam julat nano seconds sahaja. Tidak perlu lagi pengawal perkasa menjaga wang E di supersafe bank dan tidak perlu lagi kepada ahli ekonomi kerana sistem wang E ini hanya memerlukan supercomputer bersama dengan ahli komputer, ahli matematik dan juga ahli fizik untuk menjadi pengatur cara atau tukang spekulasi. Segala urusan perancangan, pembelian dan penjualan dilakukan secara automatik sambil para spekulator tidur nyenyak. Sekarang wang hanyalah imej di skrin komputer dalam bentuk indeks. Berjuta-juta pelabur, ahli bank, pengurus dana, pemain saham, pembuat polisi, orang kerajaan dan orang bukan kerajaan, Soros, Milken, cucu-cicit Rothschild dan ramai lagi melihat dan bermain dengan wang ini. Ketika inilah perisian untuk spekulasi dan manipulasi berdasarkan formula matematik, dan cakap-cakap tentang perkakasan, MHz, Ram, MB, Pentium, dan lain-lain istilah komputer menjadi penting. Maka beruntung besarlah syarikat-syarikat yang mengeluarkan perkakasan dan perisian yang digelar teknologi kewangan. Antaranya ialah IBM, Unisys, dan DEC. Pedagang atau peniaga tidak lagi perlu tahu mengenai sejarah syarikat mahupun pengurusannya. Jika sesuatu saham itu memadani suatu formula matematik menurut harga, volatility dan dividen maka itu sudah cukup untuk permainan spekulasi ini membawa keuntungan. Sementara itu penoreh getah, penanam padi dan penangkap ikan terus memerah keringat sambil hasilnya menjelma menjadi isyarat-isyarat elektronik untuk mainan dalam komputer. Jika mereka memahami makna harta sebenar mungkin mereka tidak akan menjual hasil mereka. Mereka akan menukar secara barter atau meminta bayaran dalam bentuk syiling emas atau perak. 'Matinya wang sebenar' seperti emas dan perak dengan kedatangan wang E telah memulakan era 'matinya sistem bank' walaupun ada yang cuba menyelamatkannya melalui islamisasi bank. Sistem bank hidup di atas dasar menyewa wang tetapi sekarang riba dalam bentuk menyewa wang pun sudah tidak lagi menguntungkan. Globalisasi pasaran kewangan sudah menyebabkan sistem bank menjadi lapuk. Sekarang adalah era riba global melalui sistem komputer berteknologi tinggi. Untuk mengendalikan 30 bilion dolar AS, pihak bank memerlukan bangunan yang dipanggil bank, kenderaan seperti van, mesin ATM, beribu-ribu pekerja yang menjadi kerani, pegawai pinjaman, supervisor, pengurus, pemandu, pengawal dan lain-lain lagi. Pelaburan besar tetapi untung tidak seberapa. Dahulu dengan adanya wang deposit oleh orang ramai pihak bank boleh menetapkan kadar faedah. Sekarang dalam permainan derivatif orang membeli 'kontrak kadar faedah' yang akan menentukan nilai dolar dan wang lain yang bersandarkan kepada dolar. Dunia wang sudah terbalik. Kadar faedah yang menentukan nilai wang! Sekarang 30 orang pengurus dana dapat mengumpulkan 30 bilion dolar dengan mudah. Dengan hanya berbekalkan satu supercomputer berserta dengan program modeling pelaburan yang canggih mereka boleh membuat metamorfosis wang tanpa pekerja dan bangunan untuk mendapat keuntungan berkali ganda dibandingkan dengan bank tadi mereka memperolehi keuntungan daripada lawatan siber melalui rangkaian komputer di seluruh dunia. Maka papalah negara-negara yang mereka lawati dalam sekelip mata. Meranalah Korea, Indonesia, Thailand, Malaysia, Jepun malahan negara di Barat sekalipun. Tiba-tiba wang simpanan boleh meruap apabila komputer dipasangkan. Kedatangan wang E juga telah menunjukkan bahawa konsep negara dengan pemimpinnya juga telah tercabar. Isyarat elektronik terpantul dari satelit atau melalui kabel bawah laut tanpa mempedulikan lagi pihak imigresen atau pihak kastam. Sempadan negara sudah tidak bermakna lagi. Pejabat cukai negara juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana wang megabyte berpindah pada kadar nanosaat. Kerajaan tidak dapat mencukai apa yang tidak dapat dilihat. Jika tiada sumber cukai dari mana kerajaan dapat mencari sumber wang untuk memakmurkan negara? Para pemimpin juga tidak dapat mengawal kadar faedah kerana kadar faedah sebenarnya yang mengawal harga wang dan dengan itu sistem wang E bebas daripada pemimpin. Maka berlakulah kegawatan dalam sistem wang E ini. Bagi mereka yang tidak memahami sistem wang E walaupun arif tentang bank ada yang mengatakan ini adalah gejala korupsi, kronisme dan nepotisme. Tetapi mereka lupa mengambil iktibar daripada tandatangan yang dipaksa oleh Camdessus terhadap Suharto. Wang IMF tidak kelihatan walaupun perjanjian ditandatangani. Tidak mustahil kalau dikatakan IMF dan Bank Dunia pun tiada mempunyai wang. Semua wang sudah berbentuk wang E dan kebanyakan kerajaan tidak lagi mempunyai wang kerana disamun oleh pemain wang. Oleh: DR. HAKIMI IBRAHIM |
|||||
Last Updated:12/09/02 ©NE2002