GDRG Home

THE GOLD DINAR RESEARCH GROUP

Universiti Sains Malaysia, Penang

About Us | Members | Activities | Articles | Photo Gallery | The Dinar | Zakat | Mahr | Dinar Trade Network| Bookshop | Links | Announcements | Contact Uss

 

Back to Articles in Media

Zakat turut jadi mangsa spekulasi

Dr Hakimi Ibrahim. Utusan Malaysia: Wacana Islam (19/03/1999)

Orang Islam tidak akan menafikan kepentingan zakat. Zakat bukannya sedekah, hadiah atau amal sukarela. Malahan Khalifah Abu Bakr r.a. telah mengiystiharkan perang terhadap mereka yang enggan membayar zakat kerana menjaga tiang agama dan kedaulatan negara Islam.

Masalah zakat dan penegakan tiang atau rukun Islam sama sekali tidak serupa dengan menegakkan tiang dan bendera parti di atas pokok.

Lebih malang jika bendera itu ditegakkan oleh ulama kerana hendak mendemokrasikan Islam.

Demokrasi Barat tidak akan memberi kesedaran tentang hak kerajaan memerangi 'penderhaka zakat' yang meruntuhkan tiang Islam. Sistem tersebut hanya dijadikan sebagai topeng untuk menjajah negara Islam oleh rejim kewangan Barat.

Apa yang perlu kita lihat ialah rejim kewangan Barat telah pun menakrifkan semula makna 'harta sebenar' dalam Islam. Situasi politik orang Islam berubah seiring dengan berubahnya definisi 'harta sebenar'. Kejatuhan Kerajaan Islam Osmaniyah di Turki adalah sama dengan ketibaan sistem 'harta palsu' iaitu bank dan wang kertas.

Sistem zakat pun mula berubah. Sebelum ini umat Islam mengenali zakat wang dalam bentuk dinar emas dan dirham perak.

Shaykh 'Illaysh di Mesir pada akhir kurun ke 19 telah mengatakan wang kertas hanyalah boleh dianggap fulus atau duit pecah dan tidak dizakatkan. Jika hendak dizakatkan sekalipun nisabnya hendaklah berdasarkan kuantiti bahan dan bukan pada nilai (atau nombor) yang tertulis di atasnya.

Oleh kerana bahannya (kertas) tidak relevan untuk dizakatkan maka anggaplah ianya sebagaimana tembaga, besi dan lain-lain bahan yang serupa. (lihat Al-Fath Al'Ali Al-Maliki).

Sementara itu, Shaykh Abduh yang tergamam dengan institusi bank Barat telah menghalalkan faedah bank di Mesir. Bank memperkenalkan sistem wang kertas untuk mengganti emas dan perak. Penghalalan faedah tersebut tidak bermanfaat kerana wang simpanan boleh disusutnilai sehingga beratus-ratus peratus seperti yang berlaku di Indonesia.

Secara sedar atau tidak, Abduh telah membuka pintu riba seluas-luasnya di negara Islam dan penjajahan melalui sistem kewangan pun bermula. Bankisme menjadikan wang kertas diterima dan dizakatkan.

Harta zakat pun mula terikat dengan sistem bank. Akhirnya kedengaranlah harta zakat disahamkan, dipinjamkan dan tersimpan di dalam bank sambil pihak bank pula yang memainkan peranan menjadi wakil pemungut zakat.

Bank dan institusi kewangan berkaitan pun turut membayar zakat hasil dari penyewaan dan perdagangan wang. Lengkaplah urusan zakat dikuasai oleh pihak bank?

Zakat sememangnya dikaitkan dengan harta sebenar. Di dalam Surah Ali 'Imran ayat 14, Allah berfirman,

''Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allah tempat kembali yang baik.''

Di dalam Islam harta yang dizakatkan adalah berkaitan dengan harta sebenar seperti hasil tanaman, binatang ternakan, emas dan perak. Barangan perniagaan pun dizakatkan dan bayarannya adalah dengan emas dan perak. Manusia moden tidak mengenali harta sebenar. Mereka pada hakikatnya bukan menjadi materialist tetapi menjadi virtualist. Mereka menukar harta benda sebenar seperti emas, perak, minyak, balak, getah dan sebagainya untuk mendapatkan harta virtual dalam bentuk isyarat elektronik atau kertas.

Nilai harta virtual sentiasa berubah menurut spekulasi dan manipulasi. Nilai hidup mereka pun bersandarkan yang virtual - dari kanak-kanak yang bermain dengan cyber-pet sehingga kepada orang dewasa yang mencari pasangan di alam siber.

Kini umat Islam mula tidak dapat membezakan antara harta sebenar dengan harta spekulasi. Zakat sudah terperangkap dalam permainan spekulasi dan manipulasi. Harta boleh dispekulasi dan manipulasi termasuklah wang kertas, sijil saham, polisi insuran, opsyen dan bond. Perlu diingat bahawa dolar Amerika yang menjadi bandingan untuk wang kertas di dunia tidak lagi mempunyai sebarang sandaran kepada emas sejak Nixon memutuskan ikatan emas dengan dolar pada tahun 1971. Sekarang wang kertas sudah tidak bersandarkan emas maka bagaimanakah kita boleh menerima sistem zakat wang tersebut?

Wang sekarang pula bukan lagi barangan yang dapat dilihat untuk ditaksir zakatnya. Menurut Kurtzman dalam bukunya The Death of Money- wang bukan lagi suatu barangan yang boleh ditemui di tepi pantai atau di belakang bantal sofa tetapi ia telah menjadi suatu sistem. Wang ialah suatu rangkaian yang terdiri dari berjuta-juta komputer yang bertaut dengan saham, bon, kadar faedah, wang kertas, pasaran hadapan, opsyen, kad kredit, kad untuk fotokopi dan sebagainya.

Yang jelasnya wang atau harta yang hendak dizakatkan ini bukan lagi barangan nyata. Sistem wang ini tidak lagi memerlukan peti simpanan kerana semua 'wang' berada di dalam cakera padat. Akhirnya kita mempercayai harta palsu sementara rangkaian sistem bank dan institusi kewangan Barat menggenggam harta sebenar dan Dar al-Islam.

Zakat adalah tiang Islam dan ianya seiring dengan Dar al-Islam. Apa yang dizakatkan ialah harta sebenar dan bukan kertas bernombor atau isyarat elektronik yang bersandarkan dolar Amerika. Jika tidak selama-lamanya Soros dapat mempermainkan apa yang perlu dizakatkan dan amil zakat tidak dapat menaksir harta dalam sistem virtual ini.

Selagi peranan emas dan perak tidak dikembalikan sebagai piawaian harta sebenar maka selama itulah urusan zakat pun boleh 'dijerat' oleh rejim kewangan Barat.

Oleh: DR. HAKIMI IBRAHIM

 

Last Updated: 12/09/02 ©NE2002

 

Gold Dinar Research Group