JIKA menghadiri majlis perkahwinan, jumlah wang hantaran atau mas kahwin
sentiasa menjadi perhatian tetamu. Justeru gaya dan rekaan wang hantaran
dipersembahkan sentiasa dilihat orang.
Bagi kebanyakan pengantin, wang hantaran atau mas kahwin diberikan
dengan cara yang amat mudah. Sama ada disusun cantik di dalam album
atau sekeping cek berbingkai. Sekadar melengkap adat, kreativiti jarang
ditonjolkan.
Pemberian wang tunai sebagai wang hantaran kini sudah menjadi kelaziman
dan seperti pepatah orang tua, wang tunai jarang lekat di tangan. Justeru
World Gold Council Malaysia memperkenalkan gaya wang hantaran cukup
menarik dengan menggunakan syiling emas, Kijang Emas.
Kijang Emas, syiling emas yang boleh didapati dalam pecahan 1 oz, 1/2
oz dan 1/4 oz dilancarkan Bank Negara Malaysia sekitar Julai tahun lalu.
Sehingga ini jualannya semakin meningkat terutama menjelang musim cuti
sekolah dan perayaan.
Sesuai sifatnya yang diperbuat daripada emas, setiap satunya menawarkan
nilai simpanan dan jaminan keselamatan yang lebih baik untuk jangka
panjang.
Ketika dilancarkan dulu setiap satunya bernilai RM1040 untuk 1 oz,
RM320 untuk 1/2 oz dan RM260 untuk 1/4 oz. Tetapi hari ini harga bagi
setiap satunya meningkat kira-kira 20 peratus dari harga asal.
Menurut Pengurus World Gold Council Malaysia, Joan Lye, harga emas
di pasaran semakin baik dan meningkat apatah lagi selepas peristiwa
11 September yang menggegarkan dunia.
“Justeru itu menggantikan Kijang Emas sebagai wang hantaran tentu
hadiah paling bermakna bagi pengantin perempuan dan tentu dia tidak
terlalu merasakan “seperti dibeli”, katanya.
Dengan nilai dan keindahannya, Kijang Emas kini menjadi pilihan bakal
pengantin untuk digubah menjadi wang hantaran. Selain dijadikan wang
hantaran, Kijang Emas sesuai juga dijadikan pemberian cenderahati dan
duit raya.
World Gold Council dalam pertemuan dengan media baru-baru ini memperlihatkan
empat gubahan wang hantaran daripada Kijang Emas yang cukup unik dan
menarik. Setiap satu gubahan yang dipamerkan bernilai antara RM10,000
dan RM50,000.
Antara yang diperlihatkan gubahan hantaran kotak harta yang digubah
dengan Kijang Emas bernilai RM25,000, gubahan jambak bunga tangan bernilai
RM20,000, rekaan barang kemas bernilai RM10,000 dan gubahan bonsai bernilai
RM15,000.
Wang hantaran Kijang Emas yang unik ini bakal dipamerkan di gerai Bank
Negara Malaysia di Pameran Wang Antarabangsa Kuala Lumpur 2002 yang
berlangsung 1 hingga 3 November ini Pusat Dagangan Dunia Putra.
Justeru bagi bakal pengantin singgah-singgahlah untuk mencari kelainan
dalam deretan dulang hantaran anda.