Oleh: ZULKIFLI JALIL dan MARHAINI KAMARUDDIN KUALA LUMPUR 23 Okt. -
Perdana Menteri berkata, kesepakatan negara-negara Islam menggunakan
dinar emas dalam perdagangan akan dapat membuktikan kepada dunia kemampuan
mengurus ekonomi secara teratur.
Menurut Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, kejayaan itu kelak lebih berkesan
untuk menghadapi musuh-musuh Islam daripada penggunaan kekerasan yang
sia-sia.
Beliau juga yakin dinar emas sudah tentu boleh menjadi mata wang perdagangan
bagi semua negara dan tidak semestinya menjadi mata wang bagi negara
Islam.
``Tetapi negara Islam berada pada kedudukan terbaik bagi menunjukkan
kemampuan sistem itu untuk berdiri sendiri.
``Mereka dalam kedudukan mengurus ekonomi secara rasional dan dalam
proses itu membuktikan kepada dunia yang mereka mampu mencapai pertumbuhan
dengan stabil dan dalam keadaan aman,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika menutup Seminar Antarabangsa Dinar Emas
Dalam Perdagangan Pelbagai Hala anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia
(IKIM) di sini, hari ini.
Perdana Menteri bagaimanapun menjelaskan bahawa nilai perdagangan di
antara negara-negara Islam kini amat kecil.
``Kita tidak bercadang mahu mengurangkan perdagangan dengan bukan
Islam tetapi kita patut berusaha meningkatkan perdagangan di antara
negara Islam,'' katanya.
Menurutnya, penggunaan dinar emas akan membentuk sistem pembayaran
dan perdagangan mata wang tersendiri yang melindungi negara Islam daripada
rejim kewangan antarabangsa yang hanya memberi faedah kepada negara
kaya dan berkuasa.
Beliau berkata, negara-negara Islam tidak perlu bercita-cita terlalu
tinggi untuk melancarkan dinar emas bagi perdagangan pelbagai hala sekali
gus.
``Dua negara dengan tahap dagangan yang agak berimbang boleh mula menggunakan
dinar emas bagi perdagangan dua hala.
``Sebarang masalah yang timbul boleh diselesaikan dan sistem berkenaan
diperbaiki,'' katanya.
Selepas masalah yang dikenal pasti diselesaikan, menurut beliau, perdagangan
menggunakan dinar emas boleh diperluaskan secara berperingkat-peringkat
melibatkan lebih banyak negara.
Bagi Dr. Mahathir, dinar emas mempunyai nilai sejati yang menjadikannya
paling sesuai sebagai tukaran untuk perdagangan antara negara.
``Sekiranya kita menilai semua barang dagangan dengan emas, kita tidak
akan ada masalah dengan kadar tukaran wang. Kita tahu sebagai jalan
terakhir, kita boleh mencairkan emas itu dan menjualnya di pasaran.
``Anda tidak boleh melakukannya dengan mata wang kertas, apatah lagi
dengan angka-angka di komputer,'' katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan dinar emas adalah eksklusif untuk perdagangan
antarabangsa dan bukannya digunakan sebagai mata wang dalam urusan dalam
negara.