GDRG Home

THE GOLD DINAR RESEARCH GROUP

Universiti Sains Malaysia, Penang

About Us | Members | Activities | Articles | Photo Gallery | The Dinar | Zakat | Mahr | Dinar Trade Network| Bookshop | Links | Announcements | Contact Uss

 

Back to News
page 1, page 2, page 3
 

Dinar emas elak ekonomi Islam `dicuri'

UTUSAN MALAYSIA 22/10/2002

 

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Seorang ahli akademik menyatakan sudah tiba masanya negara-negara Islam melaksanakan sistem dinar emas dalam perdagangan pelbagai hala bagi melindungi kedaulatan dan kebebasan mereka.

Pensyarah Kulliyah Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Madya, Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera berkata, selama ini sumber ekonomi umat Islam `dicuri' oleh kuasa kewangan asing yang mengaut keuntungan berasaskan tukaran mata wang kertas.

``Contohnya, walaupun Arab Saudi tidak rugi apabila memanfaatkan hasil jualan minyaknya kepada Amerika Syarikat (AS) dengan menggunakan wang kertas Dolar Amerika bagi membeli barangan lain.

``Tetapi secara faktanya, AS mendapatkan minyak secara atas angin dengan mencetak wang baru,'' katanya pada Seminar Antarabangsa Dinar Emas Dalam Perdagangan Pelbagai Hala, di sini hari ini.

Ketika membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk `Dinar Emas dalam Perdagangan Pelbagai Hala' beliau menjelaskan, dinar emas sebenarnya adalah isu ekonomi dan bukannya Islam semata-mata kerana ia digunakan oleh tamadun sebelum Islam.

``Dinar emas kemudian diiktiraf dalam sistem kewangan Islam sehinggalah ia terhapus setelah kejatuhan khilafah Uthmaniah Turki pada 1924.

``Ia digantikan dengan sistem mata wang kertas yang mempunyai unsur keuntungan berasaskan riba,'' ujarnya.

Jelas beliau, sistem mata wang kertas juga mengembangkan spekulasi dan manipulasi sebagaimana dihadapi oleh Malaysia semasa krisis ekonomi pada 1997 hingga 1998.

Sebaliknya beliau berkata, penggunaan dinar emas, selain mampu menstabilkan sistem kewangan dunia, ia dapat mengurangkan kos transaksi.

Justeru beliau bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad agar sistem dinar emas dimulakan dalam perdagangan pelbagai hala dan bukannya domestik bagi memastikan mata wang domestik tidak terjejas.

Katanya, bank pusat negara-negara yang ingin menggunakan dinar emas perlu memainkan peranan penting bagi melaksanakan sistem tersebut.

``Semua transaksi luaran dilakukan melalui bank pusat dan kemudian pengeksport akan dibayar dalam mata wang mereka berdasarkan tukaran dinar emas,'' katanya.

Dalam hal ini beliau berkata, piawaian sistem timbangan emas perlu ditetapkan kerana dinar emas tidak wujud secara fizikal dalam pembayaran perdagangan pelbagai hala.

``Mengikut sejarah, satu dinar adalah sama dengan 4.25 gram emas tetapi bagi memudahkan, kita boleh menyebut satu dinar bersamaan dengan satu auns.

``Ini memandangkan standard harga emas dalam perdagangan antarabangsa kini disebut dalam Dolar Amerika bagi setiap auns,'' katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, sistem dinar emas perlu dilaksanakan secara beransur-ansur kerana ia mungkin akan menjejaskan sistem mata wang negara-negara yang masih menyandarkan rezabnya kepada Dolar Amerika.

 

Last Updated: 25/10/02 ©NE2002

 

Gold Dinar Research Group