Oleh Abdul Halim Yusoff dan Jami’ah Shukri
BANK pusat negara Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) perlu mewujudkan
Peraturan Pembayaran Dua Hala (BPA) pada asas dinar emas sebagai langkah
pertama memudahkan perdagangan menerusi sistem itu.
Penasihat Khas Ekonomi kepada Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed
Yakcop, berkata bank pusat negara anggota OIC kemudian boleh mengembangkan
BPA itu kepada Peraturan Pembayaran Pelbagai Hala (MPA) dalam dinar
emas.
“Bergantung kepada sejauh mana kejayaan dalam pelaksanaan kedua-dua
BPA dan MPA berteraskan dinar emas, adalah tidak bijak untuk cuba mengubah
sistem kewangan sekarang sekelip mata.
“Bagaimanapun, pelaksanaan penggunaan dinar emas untuk tujuan perdagangan
antarabangsa mungkin boleh dilakukan mengikut kesesuaian dan secara
berperingkat.
“Projek (perdagangan menggunakan) dinar emas perlu perancangan rapi.
Justeru, bank pusat perlu berfungsi penting dalam pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja Peranan Bank
Pusat Dalam Pelaksanaan Dinar Emas pada Seminar Antarabangsa Dinar Emas
Dalam Perdagangan Pelbagai Hala.
Seminar dua hari itu dianjurkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM),
sempena sambutan ulang tahun ke-10 penubuhannya di Kuala Lumpur, semalam.
Nor Mohamed berkata, dalam pada fungsi utama bank pusat di negara maju
menetapkan dasar kewangan, tugasnya dalam ekonomi membangun lebih meluas.
“Selain sebagai ejen pembayaran dan penjaga rizab mata wang asing,
ia juga harus merangkumi pembangunan sumber manusia, dan kemajuan sesebuah
negara.
“Mungkin lebih penting lagi, cadangan mekanisme dinar emas membabitkan
pembayaran menerusi bank pusat yang sekali gus perlu memastikan pembayaran
sentiasa cekap dan berkesan,” katanya.
Bank pusat berfungsi menjaga rizab asing sesebuah negara dan rizab
bertambah menerusi imbangan pembayaran positif – sesuatu yang sering
dianggap sebagai baik.
“Akan tetapi, jika diperhatikan dengan mendalam ia tidak semestinya
baik kerana rizab mata wang asing disimpan di bank negara asing.
“Dengan kata lain, rizab luaran satu bentuk pinjaman kepada negara
yang mana simpanan itu dideposit, sama ada dalam bentuk baki bank atau
instrumen kewangan lain,” katanya.
Nor Mohamed berkata, dengan demikian, negara membangun bukan saja membenarkan
negara kaya menikmati wang penat lelah rakyat mereka, tetapi juga menyediakan
sumber mengembangkan ekonomi.
“Negara membangun perlu saling membantu untuk berkembang dengan membeli
sesama sendiri dan mengurangkan penggunaan mata wang negara maju untuk
penyelesaian perdagangan.
“Negara membangun sepatutnya menggunakan lebihan dagangan untuk membiayai
pembangunan mereka. Inilah kemuncak sasaran cadangan mekanisme dinar
emas,” katanya.
Cadangan penggunaan dinar emas sebagai penyelesaian bagi perdagangan
antarabangsa dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
Ia dicadangkan sebagai pilihan bagi pembayaran dan mengelak sesuatu
mata wang dijadikan komoditi yang diniagakan sehingga mencetuskan krisis
kewangan.
Nor Mohamed sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan bersedia menggunakan
dinar emas sebagai mekanisme tambahan pembayaran perdagangan antarabangsa
negara, mulai pertengahan tahun depan.