KUALA LUMPUR 23 Okt. - Malaysia bersedia menubuhkan sekretariat bagi
merealisasikan penggunaan dinar emas dalam urusan perdagangan antarabangsa,
kata Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.
Menurut Perdana Menteri, sekretariat itu kelak mungkin akan berperanan
memberi penjelasan mengenai konsep dan masalah termasuk undang-undang
yang perlu dipinda dan disesuaikan dengan rejim kewangan antarabangsa.
``Saya akan maklumkan kepada Kabinet (dan) kalau setuju akan suruh
Bank Negara tubuhkan satu sekretariat,'' katanya kepada pemberita selepas
menutup Seminar Antarabangsa Dinar Emas Dalam Perdagangan Pelbagai Hala
di sini, hari ini.
Cadangan penubuhan sekretariat itu dibangkitkan oleh peserta dari Iran
semasa sesi dialog pada seminar itu yang dianjurkan oleh Institut Kefahaman
Islam Malaysia (IKIM).
Menurut Perdana Menteri, sehingga kini Iran menunjukkan minat untuk
menggunakan sistem dinar emas dalam perdagangan dengan Malaysia.
Kata beliau, Iran adalah antara beberapa negara Islam yang dilihat
berpotensi untuk melaksanakannya kerana mempunyai rezab kewangan yang
kukuh.
Terdahulu menjawab soalan peserta pada sesi dialog, Dr. Mahathir mengakui
pergantungan dengan negara lain mungkin menjadi penghalang bagi sesetengah
negara Islam untuk menerima sistem itu.
Bagaimanapun, beliau optimis daripada lebih 50 negara Islam, sudah
tentu ada yang tidak terikat dengan hutang dan boleh bekerjasama melaksanakan
sistem dinar emas itu.
``Kita sedang cuba mengenal pasti negara terbabit dan mungkin boleh
dimulakan perdagangan menggunakan dinar emas dengan dua negara,'' katanya.