Oleh Wan Hazmir Bakar
KUALA LUMPUR, Rabu: Malaysia akan menubuhkan sekretariat yang akan
memberi penjelasan mengenai konsep penggunaan dinar emas sebagai pembayaran
perdagangan antarabangsa, kata Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, penubuhan sekretariat itu wajar kerana banyak
negara berminat dengan idea penggunaan dinar emas, tetapi sukar mendapatkan
maklumat yang diperlukan.
“Saya akan memaklumkan kepada Kabinet dan sekiranya (mereka) bersetuju,
kami akan meminta Bank Negara Malaysia menubuhkan sekretariat,” katanya
pada sidang akhbar selepas menutup Seminar Dinar Emas Dalam Perdagangan
Pelbagai Hala di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) di sini, petang
ini.
Hadir sama, Pengerusi Ikim, Tan Sr Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua
Pengarah Ikim, Datuk Dr Abdul Monir Yaacob.
Terdahulu, pada sesi dialog dengan Perdana Menteri, seorang peserta
dari Iraq mencadangkan satu sekretariat ditubuhkan bagi memberi penerangan
kepada negara Islam lain mengenai dinar emas.
Dr Mahathir berkata, cadangan itu baik dan Malaysia akan menubuhkannya.
Beliau berkata, sekretariat itu bukan hanya akan menyediakan risalah
mengandungi dinar emas, tetapi juga menghantar pegawainya ke luar negara
bagi menerangkan konsepnya serta menilai undang-undang negara terbabit
bagi memastikan tiada percanggahan dalam pelaksanaannya.
Ditanya mengapa Malaysia masih tidak dapat mencari rakan untuk melaksanakan
dinar emas, Perdana Menteri berkata rancangan itu perlu dilakukan dengan
berhati-hati serta tabah.
Bagaimanapun, katanya, sudah ada negara yang berminat tetapi tidak
wajar bagi beliau menamakan negara berkenaan.
Menjawab soalan, Perdana Menteri berkata dinar emas sudah boleh digunakan
oleh dua negara perdagangan dengan tahap dagangan yang agak berimbang
bagi perdagangan dua hala.
“Kita tidak perlu bercita-cita terlalu tinggi untuk melancarkan dinar
emas bagi perdagangan pelbagai hala sekali gus,” katanya.
Ditanya apakah negara Islam lain mempunyai kesanggupan politik untuk
menerima dinar emas, Perdana Menteri yakin banyak negara daripada lebih
50 negara Islam mempunyai kekuatan dan tidak terikat dengan negara kaya
atau agensi kewangan antarabangsa.
“Kita akan mengenal pasti mereka dan bekerjasama dengan mereka.
“Penggunaan dinar emas bukan bertujuan menjejaskan mata wang lain,
sebaliknya hanya sebagai mata wang pilihan,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata dalam keadaan dunia
sekarang, negara Islam sewajarnya mengambil kesempatan untuk membuktikan
kebaikan sistem dinar emas.
Perdana Menteri berkata, negara Islam akan lebih mampu mengendalikan
ekonomi secara rasional dan pada masa sama boleh membuktikan bahawa
mereka mampu mencapai pertumbuhan dengan stabil dan aman.
“Dan ini akan membantu menentang penindasan musuh mereka daripada
bertindak balas secara ganas yang sia-sia,” kata Dr Mahathir yang banyak
menyentuh mengenai nasib umat dan negara Islam yang hilang arah dalam
menghadapi penindasan kuasa besar.
Mengenai laporan Asian Wall Street Journal yang menggunakan gambar
Presiden Indonesia Megawati Sukarnoputri dengan latar belakang bendera
Malaysia dalam laporannya, Dr Mahathir berkata: “Sebab apa orang baca
surat khabar ini pun saya tak tahu, sebab dia (AWSJ) tak tahu apa pun.
Surat khabar ini bukan tahu apa, cuma tahu jual surat khabar.”