PENGENALAN

 

Pada bulan September 2005 persatuan telah menganjurkan majlis ‘hi tea’ yang di hadiri oleh ahli-ahli PWUSM dan masyarakat luar (termasuk Orang Kelainan Upaya) dan telah berjaya mengutip dana untuk Persatuan Pelajar-Pelajar Kelainan Upaya USM. PWUSM telah memberikan komitmen sepenuhnya terhadap membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Menerusi program berbentuk pendidikan pula, setiap tahun PWUSM dengan kelulusan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang/Kementerian Pelajaran Malaysia telah berjaya menjalankan Bengkel Motivasi Dan Teknik Pembelajaran UPSR, PMR dan SPM. Objektif bengkel ini ialah untuk memberi motivasi serta mendedahkan pelajar kepada teknik pembelajaran yang berkesan termasuklah teknik menjawab soalan secara tepat, analisis kesilapan yang kerap dilakukan serta tips merancang masa dengan berkesan. Sasarannya pula adalah pelajar daripada golongan yang berpendapatan rendah dan pelajar luar bandar.

Laman web yang dibangunkan ini adalah hasil kerjasama PWUSM dengan Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi (PPKT). Ia bertujuan memaparkan maklumat-maklumat berkaitan dengan persatuan termasuk misi dan visi, perlembagaan, program dan aktiviti, perkhidmatan dan maklumat-maklumat keahlian. Buat masa akan datang, versi laman web dalam Bahasa Inggeris serta ciri-ciri lain seperti permohonan menjadi ahli serta memperbaharui keahlian secara ‘online’ akan diadakan. Kerjasama yang sama juga telah menghasilkan satu sistem ‘E-Filing’ yang menyimpan maklumat semua aktiviti-aktiviti berkaitan persatuan di dalam satu server. Sistem ini bertujuan mengemaskini dokumentasi pentadbiran persatuan dengan harapan maklumat-maklumat yang disimpan boleh digunakan oleh sesiapa saja yang bakal menerajui persatuan pada masa-masa akan datang. Dengan yang demikian pembangunan sistem ini dijangka dapat dimanfaatkan oleh ahli jawantankuasa semasa yang memerlukan maklumat dan mereka boleh mengakses maklumat secara online walau di mana mereka berada.

Dengan sokongan padu yang diberikan oleh ahli PWUSM serta komitmen yang ditunjukkan oleh Ahli Jawatankuasa persatuan, lebih banyak lagi aktiviti persatuan dapat dirancang. Pelbagai isu-isu berkaitan wanita dan keluarga dapat diketengahkan dan diperjuangkan seperti isu pencegahan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak, meningkatkan pengetahuan dalam hal ehwal perundangan, kesedaran wanita terhadap isu-isu kesihatan keluarga dan sebagainya. PWUSM turut bertanggungjawab membantu universiti melahirkan graduan-graduan wanita berilmu, berkemahiran dan berpekerti mulia serta cemerlang dalam setiap bidang yang diceburi.

Akhir kata, insan bernama ‘wanita’ ada dalam pelbagai wajah. Merekalah perempuan, isteri, ibu, pendidik, perancang rumahtangga, penggerak masyarakat dan peneraju negara. Merekalah Serikandi dan tonggak pembangunan negara.

 

 

 

 

 

 

 

| KENALI KAMI | PERLEMBAGAAN | AKTIVITI | PENERBITAN | KEAHLIAN | HUBUNGI KAMI | PAUTAN |