PENGENALAN

 

Telah biasa kita mendengar kata-kata ini, “Tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia.” Kata-kata ini memberi satu gambaran yang cukup bermakna bagi insan yang bernama ‘wanita’ tentang peranan besarnya bukan hanya sebagai ‘ibu’ kepada sesebuah rumahtangga malahan sebagai satu golongan yang dapat memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan yang bermula daripada sebuah keluarga, masyarakat, institusi dan negara amnya.

Menyedari hakikat bahawa wanita sangat berperanan dalam memberi sumbangan yang besar nilainya kepada pembangunan sesebuah institusi pengajian tinggi seperti USM maka pada ketika itu telah timbul cadangan untuk mewujudkan sebuah persatuan khusus untuk staf wanita dengan tujuan memberi tumpuan kepada kemajuan dan pembangunan staf wanita melalui pelbagai aktiviti yang bakal dijalankan. Hasrat murni ini telah dipersetujui oleh Naib Canselor USM yang pertama dan sebagai memberi sokongan beliau telah bermurah hati memperuntukkan geran bernilai RM10,000.00 bagi membentuk sebuah Persatuan Wanita USM serta menggubal perlembagaan berkaitannya. Atas usaha yang dilakukan oleh sebuah jawatankuasa ad hoc maka pada 3 September 1975 Persatuan Wanita Universiti Sains Malaysia (PWUSM) telah diisytiharkan sebagai sebuah badan rasmi yang bertindak sebagai pusat pelbagai kegiatan staf wanita. Sebagai permulaan sebuah jawatankuasa telah dibentuk yang dianggotai oleh seramai 17 orang ahli dan dipengerusikan oleh Presiden pertamanya iaitu Puan Fakhitah Shahrom. Selanjutnya bagi melaksanakan setiap aktiviti yang dirancang pihak universiti telah memperuntukkan sebuah pejabat yang menjadi lokasi bagi menggerakkan semua aktiviti yang dirancang.

Tahun 2006 ini Persatuan Wanita USM genap usianya 31 tahun. Dengan mengekalkan misi dan visi yang sama, persatuan ini tetap aktif merencana pelbagai aktiviti yang berfaedah untuk staf tanpa mengenepikan agenda utamanya iaitu untuk mempereratkan silaturrahim, meningkatkan pengetahuan serta memelihara kebajikan ahli dan keluarga melalui aktiviti-aktiviti sosial yang dilaksanakan. Antara program-program yang dijalankan ialah program berbentuk pendidikan iaitu meningkatkan pengetahuan dalam bidang pendidikan, kesihatan, agama, ekonomi, politik, sosio budaya dan perundangan.

Kejayaan PWUSM melaksanakan peranan-peranan ini telah terbukti melalui sambutan yang diberikan terhadap pelbagai program yang dirancang bukan saja daripada kalangan masyarakat dalam kampus malah masyarakat luar kampus. Beberapa anugerah kecemerlangan untuk wanita turut diwujudkan seperti Anugerah Graduan Wanita Terbaik, Anugerah Tokoh Maal Hijrah Wanita, dan sebagainya bagi mengiktiraf individu-individu di kalangan wanita yang banyak berjasa kepada persatuan mahupun masyarakat.

Persatuan ini turut berbangga dengan program-program kebajikan yang dibuat khusus untuk masyarakat luar kampus. Dalam khidmat masyarakat, PWUSM juga telah berjaya menabur bakti kepada rumah-rumah kebajikan, kanak-kanak istimewa, ibu tunggal dan anak-anak yatim melalui majlis-majlis amal yang dianjurkan bagi mengutip derma dan sumbangan. Antara pencapaian cemerlang Persatuan ialah Program Adik Angkat yang dimulakan pada tahun 1986. Dalam program ini persatuan telah mengambil seorang bayi yang dilahirkan kurang keupayaan fizikal dan dipelihara oleh datuk dan nenek yang sudah tua. Satu tabung yayasan telah diwujudkan di bawah Amanah Raya dan sebahagian daripada tabung ini telah digunakan untuk membantu perjalanan hidup beliau sehingga dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran. Kini beliau telah berusia 21 tahun dan duit simpanan tabungnya telahpun diserahkan kepada beliau untuk memulakan perniagaan sebagai langkah pertama untuk beliau berdikari.

 

 

 

| KENALI KAMI | PERLEMBAGAAN | AKTIVITI | PENERBITAN | KEAHLIAN | HUBUNGI KAMI | PAUTAN |