"Untuk maklumat lanjut tentang Larian Sebatu Diraja dan Larian Sebatu Tuanku Raja Perempuan sila datang ke kaunter TOT semasa Minggu TOT di foyer DTSP pada 15-19 Mac 2010"
LARIAN SEBATU DIRAJA
Acara Larian Sebatu DiRaja di perkenalkan pada Temasya Olahraga Tahunan KE-15 , 1989. DYMM Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail selaku Canselor USM telah berkenan menyumbangkan sebuah piala pusingan bagi rebutan para atlet jarak sederhana di Utara Semenanjung Malaysia.
Keunikan acara terbuka ini ialah dapat mempertemukan atlet-atlet dalam perlumbaan larian jarak sebatu (Sejauh 1.6KM). Acara ini dikelolakan oleh mahasiswa/i USM di Stadium Balapan Sintetik USM. Objektif utama acara ini dijalankan untuk memberikan kesempatan kepada masyarakat Universiti Sains Malaysia menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan masyarakat luar disamping menyemaikan konsep Malaysia Cergas kepada semua lapisan masyarakat.
Acara ini telah dimenangi oleh En. Govindamurthi pada Temasya Olahraga Tahunan ke-15 dengan catatan masa 4:35:05 saat. Pada TOT ke-20, rekod telah dipecahkan oleh En. K.Baskaran dengan catatan masa 4:26:09 saat.
LARIAN SEBATU
TUANKU RAJA PEREMPUAN
Acara Larian Sebatu Tuanku Raja Perempuan ini telah mendapat pengiktirafan Di Raja pada Temasya Olahraga Tahunan Ke-19. Sebuah piala pusingan telah disumbangkan oleh DYMM Tuanku Tengku Budriah untuk dimenangi oleh peserta wanita dalam acara terbuka jarak sederhana ini.
Acara ini buat pertama kalinya diperkenalkan pada Temasya Olahraga Tahunan Ke-16. Objektif utama acara ini adalah untuk memberikan peluang kepada peserta wanita beradu tenaga bagi merebut gelaran pelari jarak sebatu terpantas di Utara Semenanjung Malaysia. Selain daripada itu, acara terbuka ini juga merupakan satu-satunya acara dalam TOT yang memberikan peluang kepada atlet-atlet wanita USM untuk bertanding secara individu dengan atlet-atlet wanita dari luar.
Allahyarham Cik Rabiah Abdul Salam telah memenangi acara ini semasa TOT Ke-16 dengan catatan masa 5:58:04 saat. Beliau juga berjaya mempertahankan catatan masanya sendiri apabila beliau memenangi acara ini pada TOT Ke-17 dengan kepantasan masa 5:38:00 saat. Pada TOT Ke-26, rekod ini telah dapat dipecahkan oleh Cik G.Suria Devi dengan catatan masa 5:34:85 saat.