Definisi Mentor |
|
Mentor berasal dari perkataan Greek yang bermaksud rakan, kaunselor atau guru yang boleh dipercayai. Mentor biasanya terdiri dari orang yang mempunyai pengalaman dalam memberi pertolongan kepada mereka yang memerlukannya. Mentee pula dirujukan kepada individu yang menerima pertolongan. Dalam memberi khidmat menolong, mentor yang berpengetahuan dan berpengalaman bertindak sebagai pembimbing, rakan dan guru kepada mentee yang memerlukan bantuan untuk menambahbaikan lagi dirinya sama ada dalam konteks pembentukan kerjaya, pendidikan, kerohanian, kesihatan mental dan dalam apa jua aspek-aspek pembangunan diri. Terdapat pelbagai jenis program mentor-mentee. Program mentor-mentee boleh diperkenalkan dalam konteks yang lebih formal atau informal. Sama ada program itu diperkenalkan secara formal atau informal objektifnya adalah sama. Program mentor-mentee yang berbentuk formal mempunyai struktur yang lebih teratur dan ia sering diperkenalkan di organisasi-organisasi yang lebih mantap dan teguh. Program mentor-mentee yang formal mempunyai objektif yang tertentu, sistem pencapaian dan penilaian diatur untuk melihat keberkesanan program yang berkenaan. Setiap staf perlu mencapai sesuatu dalam jangka masa yang telah ditetapkan. Tujuan utamanya ialah untuk membolehkan mentee (biasanya pekerja yang baru dan kurang berpengalaman) mendapat bimbingan yang betul dan berkesan tentang misi dan objektif organisasi demi untuk meningkatkan kualiti kerja dan imej organisasi yang berkenaan. Dalam situasi ini mentee yang menerima bimbingan dapat berpegang kepada objektif organisasi demi untuk menjaga kualiti yang berterusan. Program mentor-mentee yang informal biasanya tidak memerlukan struktur yang rigid. Ia lebih kepada membantu rakan sekerja mendapatkan nasihat, bimbingan yang betul tanpa mempunyai ekpektasi yang ditetapkan. |
|