maklumat profesional
etiologi
etiologi dan umur
etiologi dan onset
etiologi dan drug
gangguan yang mimik gelugut
patofisiologi
diagnosis
jenis epilepsi
rawatan
isu warga tua
isu kanak-kanak
sejarah

Etiologi dan Umur

Kanak-Kanak
Dewasa
Warga Tua
Semua Peringkat Umur         

Kadang-kala, umur seseorang pesakit pada onset gelugut buat pertama kali dapat membantu dalam menentukan jenis punca yang mungkin terlibat. Berikut merupakan ringkasan bagi beberapa faktor penyebab yang boleh mengakibatkan aktiviti gelugut:

A) Di Peringkat Kanak-kanak

1.      Gelugut Febril

Gelugut febril adalah disebabkan oleh demam yang tinggi. Ia merupakan satu-satunya jenis epilepsi yang berkaitan dengan umur dan biasanya berlaku di kalangan kanak-kanak berumur di antara tiga bulan hingga lima tahun. Gelugut jenis ini agak biasa berlaku dan didapati dalam 3% daripada jumlah kanak-kanak bawah umur lima tahun. Hampir kesemua kes gelugut febril adalah ringkas dan tidak mempunyai kesan yang berpanjangan.

2.      Vaksinasi

Bagi kanak-kanak, demam yang tinggi akibat vaksinasi boleh mencetuskan episod gelugut.  Walau bagaimanapun, keadaan ini jarang berlaku dan biasanya bersifat sementara  serta tidak mendatangkan komplikasi-komplikasi yang teruk. Terdapat segelintir golongan pakar mempercayai bahawa kanak-kanak yang mengalami kejadian neurologik berikutan DTP (diphtheria-tetanus-pertussis) mungkin memang sudah mempunyai kerosakan tertentu (seperti epilepsi ataupun pertumbuhan otak yang abnormal) di mana kerosakan tersebut dapat teraruh oleh kehadiran vaksin. Kanak-kanak dengan epilepsi boleh mengalami simptom-simptom epilepsi lebih kurang dua ataupun tiga hari selepas vaksinasi.

Secara amnya, infan yang disyaki mempunyai masalah neurologik hanya diberikan vaksinasi selepas situasi neurologiknya ditentukan, tetapi sebelum harijadi pertamanya.                

3.      Gelugut Aruhan Televisyen

Corak-corak warna tertentu yang berkelip-kelip pada kadar yang cepat dipercayai dapat mencetuskan kejadian gelugut di kalangan penonton televisyen, khasnya di kalangan kanak-kanak. Keadaan ini dikatakan terlibat dengan variasi warna dan bukan cahaya.

4.      Lain-lain

Gelugut yang berlaku pada kanak-kanak serta infan juga boleh disebabkan oleh kesukaran serta kerosakan semasa kelahiran, jangkitan, keracunan, ataupun kecederaan kepala. Melatonin, iaitu suatu remedi herbal yang digunakan untuk masalah gangguan tidur juga didapati dapat menyebabkan gelugut dalam kanak-kanak yang sudah mempunyai masalah neurologik.

 

B) Di Peringkat Dewasa

Sekiranya kejadian epilepsi berlaku buat kali pertama pada peringkat orang dewasa, punca utama yang paling mungkin ialah drug ataupun penyalahgunaan alkohol, penarikan drug-drug antidepressen, kanser, gangguan saluran darah, jangkitan ataupun diabetes.

1.      Punca Toksik

Kehadiran drug-drug tertentu dan juga penarikan bagi sesetengah bahan boleh menyebabkan aktiviti gelugut. Bahan-bahan ataupun drug-drug yang terlibat termasuklah antidepressen trisiklik, litium, antipsikotik, aminofilin dan juga dos tinggi penisilin. Sementara itu, penarikan bahan-bahan termasuklah penghentian penggunaan drug-drug seperti kokain, heroin, amfetamin dan PCP ataupun penarikan alkohol. Penarikan drug-drug preskripsi seperti barbiturat dan narkotik juga boleh menyebabkan gelugut. Tambahan pula, pendedahan secara pekerjaan kepada beberapa bahan kimia boleh menyebabkan gelugut.

2.      Jangkitan

Jangkitan pada sistem saraf pusat boleh menyebabkan penurunan ambang kejadian gelugut. Keadaan tersebut termasuklah meningitis, ensefalitis, HIV (human immunodeficiency virus) dan lain jangkitan berkaitan. Suatu kajian telah dilakukan untuk mengkaji hubungan antara gelugut epileptik dan jangkitan virus herpes-simpleks yang berlaku dalam sistem saraf pusat. Namun begitu, lebih kajian diperlukan lagi.

3.      Gangguan Metabolik

Kumpulan gangguan ini melibatkan perubahan paras bagi pelbagai jenis bahan metabolik dalam badan yang kadang-kala berkaitan dengan kejadian gelugut. Gangguan tersebut merangkumi gangguan elektrolit (seperti natrium, kalium, magnesium dan kalsium), hipoglisemia ataupun hiperglisemia, kegagalan renal dengan uremia ataupun perubahan yang berlaku sepanjang masa dialisis, kegagalan hepatik dan hipoksia.    

 

C) Di Peringkat Geriatrik

1.      Gangguan Degeneratif

Di kalangan orang tua pula, epilepsi biasanya disebabkan oleh penyakit-penyakit degeneratif pada otak (neurodegeneratif). Penyakit-penyakit tersebut termasuklah sklerosis, neurofibromatosis, penyakit Tay-Sachs, fenilketonuria (PKU) dan juga sindrom Sturge-Weber.

2.   Gangguan Serebrovaskular / Strok

Gelugut boleh berlaku pada masa serangan strok ataupun beberapa tahun kemudian. Gelugut boleh berlaku seiringan dengan strok yang menyebabkan suatu pengurangan dalam aliran darah kepada otak ataupun yang melibatkan pendarahan bagi kawasan dalam atau sekitar otak. Penyakit strok yang ringan, ataupun lebih dikenali sebagai serangan transien iskemik (TIA) biasanya susah dibezakan dengan gelugut epileptik yang ringan. Lagipun, gelugut pertama di kalangan orang dewasa boleh merupakan prekursor bagi strok.

 

C) Di Semua Peringkat Umur

1.      Kecederaan Kepala

Kecederaan otak boleh menyebabkan gelugut dengan risiko tertinggi dalam trauma kepala yang serius. Dalam keadaan tersebut, gelugut pertama boleh terjadi beberapa tahun kemudian. Seseorang dengan kecederaan kepala yang ringan (di mana melibatkan suatu keadaan hilang kesedaran untuk masa kurang daripada 30 minit), biasanya  hanya melibatkan sedikit peningkatan risiko dalam masa lima tahun selepas kecederan tersebut.     

2.      Faktor Genetik

Sebahagian epilepsi adalah bersifat keturunan. Sejak kebelakangan ini, para penyelidik telah dapat mengenalpastikan mutasi genetik yang dikatakan dapat mempengaruhi terusan-terusan dalam sel-sel saraf yang mengangkut natrium, kalium, dan kalsium. Natrium, kalium dan kalsium bertindak sebagai ion-ion dan menghasilkan caj-caj elektrik yang sentiasa dalam keadaan merangsang. Keadaan tersebut diperlukan bagi memastikan suatu aliran saraf yang stabil berpindah daripada suatu sel saraf kepada yang lain. Sekiranya terusan yang terlibat mengalami perubahan secara genetik, maka ketidakseimbangan akan menyebabkan berlakunya kejadian epilepsi.       

3.      Tumor Otak

Tumor otak, baik jenis malignan ataupun benign boleh menyebabkan gelugut di kalangan kanak-kanak dan juga orang dewasa. Lokasi anatomik bagi sesuatu abnormaliti boleh mempengaruhi kemungkinan kejadian epilepsi.

4.      Pseudoepilepsi

Dalam banyak kes, gelugut boleh disebabkan oleh tekanan psikologik, iaitu dikenali sebagai pseudoepilepsi. Keadaan tersebut dapat dibezakan daripada epilepsi sebenar melalui penggunaan EEG yang mengukur gelombang-gelombang otak. 

  Hubungi kami untuk sebarang pertanyaan atau masalah mengenai penyakit epilepsi. Kami bersedia untuk menjawab kemusykilan anda.
  [laman utama][maklumat awam][maklumat profesional][faq][bantuan kecemasan][capaian & k.sokongan] [kalender akitiviti][kenali kami]