|
Patofisiologi
Aktiviti gelugut adalah dicirikan
sebagai discaj-discaj paroksimal yang berlaku secara serentak dalam suatu
populasi besar neuron-neuron kortikal. Keadaan ini dimaparkan pada EEG (Elektroensefalogram)
sebagai gelombang yang tajam ataupun “spike”. Fisiologi asas bagi sesuatu
episod gelugut dapat dirujukkan sebagai suatu membran sel yang tak stabil
ataupun sel-sel sokongan yang berada di sekitarnya. Gelugut dikatakan
berasal daripada jirim kelabu bagi sebarang kawasan kortikal ataupun
subkortikal. Pada mulanya, sebilangan kecil neuron bertindak dengan
merangsang secara abnormal. Konduksi membran secara normal serta aliran
sinaptik perencatan gagal di mana perangsangan secara berlebihan berlaku,
samada secara setempat untuk menghasilkan suatu gelugut fokal ataupun secara
lebih meluas untuk menghasilkan suatu gelugut
menyeluruh. Onset tindakan tersebut
dicetuskan melalui laluan-laluan fisiologik yang seterusnya melibatkan
kawasan-kawasan
bersambungan ataupun
terpencil. Manifestasi-manifestasi
klinikal bergantung kepada tapak fokus, tahap iritabiliti bagi kawasan
persekitaran otak dan intensiti impuls.
Keabnormalan dalam konduksi kalium,
kerosakan dalam terusan ion sensitif-voltaj, ataupun defisiensi dalam
ATPase-ATPase membran berhubungan pengangkutan ion boleh menyebabkan
ketidakstabilan membran neuronal dan gelugut.
Neurotransmiter-neurotransmiter (seperti glutamat, aspatart, asetilkolin,
norepinefrin, histamin, faktor pelepas kortikotrofin, purina-purina,
peptida-peptida, sitokin-sitokin dan hormon-hormon steroid) merangsang
proses eksitabiliti dan propagasi aktiviti neuronal sementara asid γ-amonibutirik
(GABA) dan dopamine merencat aktiviti neuronal dan propagasi. Defisiensi
neurotransmitter-neurotransmiter perencatan seperti GABA ataupun peningkatan
dalam neurotransmitter-neurotransmiter perangsangan akan menggalakkan
aktiviti neuronal yang abnormal. Aktiviti neuronal yang normal juga
bergantung kepada suatu bekalan yang mencukupi bagi glukosa, oksigen,
natrium, kalium, klorida, kalsium serta asid-asid amino. pH sistemik juga
merupakan suatu faktor dalam mencetuskan gelugut. Epilepsi yang berlainan
jenis dikatakan terjadi akibat keabnormalan fisiologik yang berbeza-beza.
Tindakan drug-drug antiepileptik
dalam kawalan aktiviti-aktiviti neuronal yang abnormal adalah melalui
peningkatan paras ambang neuron-neuron terhadap rangsangan elektrikal atau
kimia, ataupun dengan menghadkan propagasi bagi discaj gelugut daripada
originnya. Peningkatan dalam paras ambang dikatakan melibatkan kestabilan
membran-membran neuronal, sementara penghadan propagasi melibatkan depresi
bagi transmisi serta reduksi bagi konduksi saraf.
Semasa berlaku gelugut, permintaan
terhadap aliran darah kepada otak untuk menyingkirkan CO2 dan
menghantarkan substrat-substrat untuk aktiviti metabolik neuronal meningkat.
Otak mempunyai kapasiti yang terhad untuk meningkatkan aliran darah. Semasa
berlaku gelugut, otak sebenarnya menggunakan tenaga lebih daripada yang
dihasilkannya. Semakin panjang kejadian sesuatu gelugut, maka semakin besar
kemungkinan otak akan mengalami iskemia yang seterusnya boleh membawa kepada
detruksi neuronal dan kerosakan otak. Tambahan pula, otak yang sedang
berkembang adalah lebih terdedah kepada kecederaan. Namun begitu, gangguan
gelugut yang sedemikian biasanya tidak menyebabkan kemerosotan tahap
kecerdikan yang signifikan.
Seizures beget seizures.1
Secara amnya, terdapat suatu korelasi yang positif antara penggunaan
drug-drug antiepileptik yang bersesuaian pada peringkat awal dengan
kebolehan
untuk mengawal aktiviti gelugut. Kegagalan mengawal gelugut dikatakan dapat
membawa kepada peningkatan dalam aktiviti gelugut dan juga kejadian jenis
gelugut yang berlainan. Oleh hal yang demikian, terapi yang bersesuaian perlu
dimulakan awal sebaik sahaja selepas sesuatu diagnosis epilepsi.
 
|